DUBAI: Iran berkata ia telah melaksanakan hukuman mati pada 10 Jun terhadap sembilan militan ISIS yang ditahan selepas serangan 2018.
Agensi berita badan kehakiman Iran, Mizan, menyatakan bahawa hukuman mati telah dikekalkan oleh mahkamah tertinggi negara itu.
Ia menyatakan kesemua militan itu ditahan selepas mereka bertempur di wilayah barat negara itu dengan Pengawal Revolusi separa tentera Iran. Dalam pertempuran itu, tiga askar dan beberapa militan kumpulan ISIS terbunuh.
Pihak berkuasa berkata mereka telah merampas simpanan senjata tempur, termasuk mesingan dan 50 bom tangan, selepas mengepung tempat persembunyian militan di barat negara itu.
Kumpulan pelampau itu, yang pernah menguasai wilayah luas di seluruh Iraq dan Syria dalam khalifah yang diisytiharkan sendiri pada 2014, akhirnya dikalahkan oleh tentera pimpinan Amerika Syarikat.
Akibatnya, kumpulan tersebut menjadi kucar-kacir, walaupun ia telah melancarkan serangan besar.
Di negara jiran Iran, Afghanistan, misalnya, ISIS dipercayai semakin kuat sejak kejatuhan pemerintah yang disokong Barat di sana kepada Taliban pada 2021.
Kumpulan itu sebelum ini mendakwa serangan Jun 2017 di Tehran ke atas parlimen dan makam Ayatollah Ruhollah Khomeini yang membunuh sekurang-kurangnya 18 orang dan mencederakan lebih daripada 50.
Ia telah mendakwa melakukan serangan lain di Iran, termasuk dua pengeboman berani mati pada 2024 yang menyasarkan upacara peringatan untuk jeneral Iran yang terbunuh dalam serangan dron.
Serangan itu membunuh sekurang-kurangnya 94 orang.
Pertembungan dengan Pengawal Revolusi pada 2018 menandakan titik ketegangan yang meningkat antara Iran dengan lumpulan militan.
Iran melancarkan peluru berpandu balistik di bahagian timur Syria, berikrar membalas dendam selepas militan menyamar sebagai tentera dan melepaskan tembakan ke arah perarakan tentera di barat daya Republik Islam itu.
Serangan itu membunuh sekurang-kurangnya 25 orang Kumpulan IS dan pemisah tempatan mengaku bertanggungjawab ke atas serangan maut itu.
Penganalisis berkata IS boleh mengambil kesempatan daripada kekosongan keselamatan di Syria, berikutan kejatuhan rejim Bashar al-Assad pada 2024, untuk bangkit semula. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg