DAMSYIK: Lebih 13 orang dilaporkan terbunuh dalam satu insiden keganasan sektarian pada Selasa di bandar Jaramana, sebuah kawasan majoriti Druze di tenggara ibu negara Syria, Damsyik. Pergolakan tercetus selepas tersebarnya satu rakaman suara didakwa milik seorang lelaki Druze yang menghina Nabi Muhammad saw, sekali gus mencetuskan kemarahan kumpulan bersenjata Sunni, menurut sumber penyelamat dan keselamatan tempatan.
Insiden berdarah ini menambah kepada siri keganasan antara kumpulan agama yang semakin meningkat di Syria sejak kumpulan pemberontak yang dipimpin Islamis menggulingkan bekas Presiden Bashar al-Assad pada Disember lalu dan menubuhkan pemerintahan serta pasukan keselamatan mereka sendiri.
Ketegangan dalam kalangan kumpulan minoriti semakin meningkat sejak ratusan penduduk Alawiyah dibunuh pada bulan Mac dalam satu serangan balas dendam yang dipercayai berkait dengan serangan sebelumnya oleh penyokong Assad.
Menurut sumber keselamatan, pertempuran bermula semalaman apabila kumpulan bersenjata dari bandar berhampiran Maliha dan kawasan majoriti Sunni lain menyerbu Jaramana, menyebabkan pertempuran senjata ringan dan sederhana yang meragut 13 nyawa.
Dua daripada mangsa yang terbunuh merupakan anggota Perkhidmatan Keselamatan Am Syria, satu pasukan keselamatan baru yang kebanyakannya terdiri daripada bekas pemberontak, menurut jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Mustafa al-Abdo.
Namun begitu, Abdo menafikan dakwaan bahawa kumpulan bersenjata menyerang Jaramana. Sebaliknya, beliau berkata, “Kumpulan orang awam yang marah dengan rakaman suara itu berhimpun secara aman, tetapi mereka diserang oleh kumpulan Druze bersenjata.”
Kementerian Dalam Negeri turut mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa pihaknya sedang menyiasat punca sebenar rakaman suara tersebut dan menyeru rakyat agar bertenang serta tidak membiarkan emosi mencetuskan keganasan atau merosakkan harta awam.
Bagi mengelakkan keadaan terus meruncing, para pemimpin komuniti Druze mengadakan pertemuan dengan pihak keselamatan. Tokoh agama Druze, Sheikh Yousef Jarbou berkata:
“Apa yang diucapkan oleh segelintir individu terhadap Nabi kami hanya mewakili diri mereka sendiri dan ditolak sepenuhnya oleh kami dan seluruh masyarakat.”
Beliau turut menyeru semua pihak agar menolak sebarang usaha untuk membakar semangat perpecahan antara agama.
Perang yang berlarutan hampir 14 tahun di Syria telah membahagikan negara itu kepada pelbagai zon pengaruh. Kaum Druze – minoriti Arab yang mengamalkan kepercayaan tersendiri berasaskan Islam – telah lama menubuhkan pasukan bersenjata sendiri bagi mempertahankan kawasan mereka.
Pimpinan baru yang dikuasai kumpulan Islamis di Damsyik menyeru agar semua senjata diletakkan di bawah kuasa mereka, tetapi para pejuang Druze enggan menurut kerana mendakwa kerajaan pusat gagal menjamin keselamatan mereka daripada ancaman kumpulan militan.
Pemimpin-pemimpin komuniti tempatan menyalahkan kerajaan kerana gagal menghalang serangan pada 29 April, dan memberi amaran bahawa mereka akan menanggung akibat jika keganasan berulang.
“Pihak berkuasa bertanggungjawab memastikan keselamatan penduduk,” kata Rabei Munzir, seorang aktivis Druze tempatan di Jaramana.
Dalam perkembangan berkaitan, Israel turut menyatakan kesediaannya untuk campur tangan di Syria bagi melindungi komuniti Druze, memandangkan ribuan daripada mereka juga tinggal di wilayah Israel dan Dataran Tinggi Golan yang diduduki sejak Perang Enam Hari pada tahun 1967. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg