Topik diikuti
Pergi ke BHkuIran lancar gelombang serangan dron, peluru berpandu di Teluk
Iran lancar gelombang serangan dron, peluru berpandu di Teluk
Tentera Amerika dakwa semua serangan Iran berjaya dipintas, gagal capai sasaran
Iran lancar gelombang serangan dron, peluru berpandu di Teluk
TEHERAN: Iran melancarkan gelombang serangan peluru berpandu dan dron ke arah Bahrain, Kuwait serta laluan perkapalan awam di Teluk pada awal pagi 3 Jun.
Ia sekali gus meningkatkan semula ketegangan di Asia Barat walaupun gencatan senjata rapuh antara Teheran dengan Washington masih berkuat kuasa.
Tentera Amerika Syarikat mendakwa semua serangan Iran berjaya dipintas dan gagal mencapai sasaran.
Dalam satu kenyataan, Pentadbiran Pusat Amerika (Centcom) berkata Iran melancarkan beberapa peluru berpandu balistik ke arah negara jiran di rantau Teluk.
“Iran melancarkan beberapa peluru berpandu balistik ke arah negara jiran serantau, namun semuanya gagal mengenai sasaran yang dimaksudkan,” menurut Centcom.
Centcom berkata dua peluru berpandu yang dilancarkan ke arah Kuwait jatuh sebelum tiba atau pecah ketika dalam penerbangan.
Tiga lagi peluru berpandu yang disasarkan ke Bahrain pula dipintas segera oleh sistem pertahanan udara Amerika dan Bahrain.
Dalam masa sama, tentera Amerika turut menembak jatuh tiga dron serangan sehala Iran yang didakwa menuju ke arah kapal awam yang sedang melalui perairan rantau itu.
Menurut Centcom, Amerika kemudian melancarkan serangan “pertahanan diri” terhadap sebuah stesen kawalan tentera Iran di Pulau Qeshm, hab minyak utama Iran yang terletak berhampiran Selat Hormuz.
“Gelombang tambahan dron Iran yang cuba menyerang tentera Amerika di Kuwait juga gagal mencapai sasaran malam ini,” menurut kenyataan Centcom sekitar jam 5.30 pagi 3 Jun.
Pulau Qeshm terletak di Selat Hormuz, laluan strategik utama dunia bagi penghantaran minyak dan gas dari Teluk.
Ketegangan di kawasan itu semakin memuncak sejak Iran menutup laluan tersebut selepas perang dengan Amerika dan Israel tercetus pada akhir Februari.
Di Kuwait, Angkatan Tentera Kuwait mengesahkan sistem pertahanan udara negara itu sedang memintas “serangan peluru berpandu dan dron musuh”.
Tentera Kuwait turut menjelaskan bahawa bunyi letupan yang didengari penduduk adalah hasil operasi pemintasan pertahanan udara.
Di Bahrain pula, pihak berkuasa mengaktifkan siren serangan udara di seluruh negara.
Kementerian Dalam Negeri Bahrain meminta orang ramai supaya bertenang, segera bergerak ke lokasi selamat dan mengikuti arahan rasmi kerajaan.
Bagaimanapun, Iran memberikan versi berbeza mengenai insiden tersebut.
Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) mendakwa konfrontasi bermula selepas sebuah kapal tangki minyak Iran berhampiran Selat Hormuz diserang peluru udara Amerika pada malam 2 Jun.
Menurut IRGC, serangan itu menyebabkan kerosakan pada bahagian enjin kapal berkenaan.
Sebagai tindak balas, IRGC mendakwa mereka melancarkan peluru berpandu ke arah sebuah kapal yang digelar sebagai kapal “Amerika-Zionis” bernama Panaya.
IRGC mendakwa Amerika kemudian menyerang menara komunikasi mereka di selatan Pulau Qeshm sebelum Iran bertindak balas dengan melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke atas pangkalan udara Amerika dan ibu pejabat Armada Kelima Tentera Laut Amerika di Bahrain.
Namun Centcom segera menafikan dakwaan itu.
“Palsu. Semua serangan Iran terhadap tentera Amerika gagal,” menurut kenyataan Centcom di platform X.
Insiden terbaru itu berlaku ketika rundingan bagi mencapai gencatan senjata kekal antara Amerika dengan Iran terus menemui jalan buntu.
Gencatan senjata sementara antara kededua pihak mula berkuat kuasa pada 8 April selepas perang besar yang tercetus pada 28 Februari akibat serangan Israel dan Amerika ke atas Iran.
Konflik tersebut kemudian merebak ke seluruh rantau apabila Iran melancarkan serangan balas ke atas negara Teluk manakala kumpulan Hezbollah turut terlibat dalam pertempuran rentas sempadan dengan Israel.
Pada 2 Jun, Tehran menyatakan rundingan dengan Washington telah gagal.
Namun Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, berkata Iran masih perlu menerima sekatan ketat dan jangka panjang terhadap program nuklearnya jika mahu mencapai perjanjian damai kekal.
Beliau turut menegaskan bahawa sebarang pengurangan sekatan ekonomi hanya akan berlaku jika Iran menghentikan usaha membangunkan senjata nuklear.
Ketegangan di Teluk turut memberi kesan kepada sektor penerbangan dan perkapalan antarabangsa.
Data FlightRadar24 menunjukkan beberapa pesawat komersial terpaksa berpusing di ruang udara Teluk sebelum operasi kembali normal selepas beberapa ketika.
Di Lapangan Terbang Dubai, beberapa penerbangan dari Kuwait, Bahrain dan Jordan dibatalkan, walaupun kebanyakan penerbangan lain masih berjalan seperti biasa.
Centcom turut memaklumkan bahawa tentera Amerika kini telah mengalihkan 122 kapal dagang komersial bagi melaksanakan langkah berkaitan sekatan di Selat Hormuz. –Agensi berita.
