Iran lancar operasi di Iraq sedang serangan dron, peluru berpandu terus cengkam Asia Barat
Iran lancar operasi di Iraq sedang serangan dron, peluru berpandu terus cengkam Asia Barat
TEHERAN: Ketegangan di Asia Barat terus memuncak apabila Iran melancarkan operasi ketenteraan terhadap kumpulan Kurdi di wilayah separa autonomi Kurdistan di Iraq, ketika negara itu juga memulakan gelombang ke-19 serangan peluru berpandu dan dron terhadap Israel.
Amerika Syarikat dan Israel terus melancarkan serangan udara ke atas Iran pada 5 Mac, mengorbankan sekurang-kurangnya 1,045 orang sejak 28 Februari lalu, ketika tentera Israel turut memperhebat serangan di Lebanon.
Serangan terbaru itu berlaku ketika perang antara Iran dengan Amerika Syarikat dan Israel memasuki hari keenam pada 5 Mac yang menyaksikan gelombang serangan terbaru Iran memaksa jutaan penduduk Tel Aviv bergegas ke tempat perlindungan bom.
Saluran Channel 12 Israel melaporkan sistem pertahanan udara negara itu berjaya memintas dua dron di wilayah Galilee Barat. Ketika ketegangan merebak di seluruh rantau, beberapa negara Teluk turut menjadi sasaran serangan dron dan peluru berpandu.
Arab Saudi memaklumkan bahawa pihaknya berjaya memintas beberapa peluru berpandu dan dron yang dilancarkan ke arah wilayahnya. Jurucakap Kementerian Pertahanan Arab Saudi berkata tiga peluru berpandu jelajah berjaya dipintas di luar bandar Al-Kharj. “Tiga peluru berpandu jelajah berjaya dipintas dan dimusnahkan di luar bandar Al-Kharj,” katanya dalam satu kenyataan. Menurut beliau, tentera Saudi juga memintas tiga dron di timur wilayah Al-Kharj serta satu lagi dron di timur wilayah Al-Jouf di utara negara itu.
Kawasan sekitar Kedutaan Amerika Syarikat di Qatar dikosongkan, menurut pihak berkuasa pada 5 Mac, lapor Agensi Berita Jerman (dpa). Penduduk di bangunan berhampiran turut dipindahkan sementara ke tempat selamat sebagai langkah berjaga-jaga, menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri Qatar.
Sementara itu, Israel berkata ia melancarkan serangan di Beirut yang menyasarkan kumpulan bersenjata Hezbollah yang disokong Iran. Media pemerintah Lebanon pula melaporkan serangan dron Israel mengorbankan seorang pegawai Hamas.
Lebanon secara rasmi terheret ke dalam konflik pada 2 Mac lalu apabila Hezbollah melancarkan serangan ke atas Israel sebagai tindak balas terhadap pembunuhan pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, dalam serangan udara Amerika Syarikat dan Israel pada 28 Februari.
Sejak itu, Israel melancarkan beberapa serangan di seluruh Lebanon dan menghantar pasukan darat ke bandar sempadan. Agensi berita negara Lebanon NNA melaporkan beberapa serangan berlaku awal pagi 5 Mac termasuk dua serangan di kawasan kubu kuat Hezbollah di selatan Beirut. Rakaman AFPTV menunjukkan asap tebal naik dari kawasan yang diserang.
Di Iraq, media Iran melaporkan operasi tentera Iran menyasarkan kumpulan yang disifatkan sebagai “pasukan pemisah anti-Iran”, walaupun lokasi tepat serangan tidak dinyatakan secara terperinci. Beberapa letupan dilaporkan berlaku di wilayah Sulaimaniyah di utara Iraq.
Media tempatan melaporkan sekurang-kurangnya empat letupan kedengaran berhampiran kawasan Arabat, Zarkuiz dan Surdash. Rakaman video yang disiarkan oleh Press TV menunjukkan langit malam diterangi letupan ketika operasi ketenteraan itu berlangsung.
Di Washington, usaha untuk menghentikan kempen serangan udara Amerika Syarikat terhadap Iran gagal apabila Senat menolak resolusi yang bertujuan mengehadkan kuasa Presiden Donald Trump. Resolusi tersebut bertujuan memastikan sebarang tindakan ketenteraan memerlukan kelulusan Kongres.
Namun undian Senat menunjukkan 53 ahli menolak usul itu manakala 47 menyokongnya.
Sebahagian besar senator Republikan mengundi menolak usul tersebut manakala hampir semua senator Demokrat menyokongnya. Keputusan itu bermakna Presiden Trump masih mempunyai kuasa luas untuk meneruskan operasi ketenteraan terhadap Iran.
Konflik juga semakin meluas apabila sebuah kapal selam Amerika Syarikat dilaporkan menenggelamkan kapal perang Iran berhampiran Sri Lanka pada 4 Mac. Serangan itu mengorbankan sekurang-kurangnya 80 orang.
Dalam perkembangan lain, sistem pertahanan udara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) dilaporkan memintas peluru berpandu balistik Iran yang dilancarkan ke arah Turkey. Insiden itu menandakan kali pertama Turkey yang berkongsi sempadan dengan Iran dan memiliki tentera kedua terbesar dalam Nato terlibat secara langsung dalam konflik tersebut.
Namun tentera Iran menafikan pihaknya menyasarkan wilayah Turkey. “Angkatan Tentera Iran menghormati kedaulatan Turki dan menafikan telah melancarkan sebarang peluru berpandu ke arah wilayah negara itu,” menurut kenyataan tentera Iran yang disiarkan media pemerintah pada 5 Mac.
Perang yang berterusan turut mengganggu laluan perkapalan melalui Selat Hormuz, laluan utama bagi penghantaran minyak dan gas dari Asia Barat ke pasaran global. Sekitar 200 kapal dilaporkan masih berlabuh di luar kawasan selat tersebut.
Presiden Trump berkata Amerika Syarikat akan menyediakan insurans serta pengiring tentera laut bagi kapal-kapal komersial untuk mengekang kenaikan kos penghantaran. Namun Setiausaha Tenaga Amerika Syarikat, Encik Chris Wright, berkata keutamaan Washington ketika ini adalah operasi ketenteraan.
“Belum lagi. Kami akan melakukannya secepat mungkin, tetapi buat masa ini tentera laut dan tentera kami sedang memberi tumpuan kepada usaha melucutkan kemampuan rejim Iran,” katanya kepada Fox News.
Konflik tersebut turut memberi kesan kepada ekonomi global. Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Kristalina Georgieva, memberi amaran bahawa konflik yang kembali memuncak di Asia Barat kini sekali lagi menguji ketahanan ekonomi global.
“Jika konflik ini berlarutan, ia berpotensi menjejaskan harga tenaga global, sentimen pasaran, pertumbuhan ekonomi dan kadar inflasi,” katanya dalam persidangan “Asia in 2050”. “Situasi ini juga akan meletakkan tekanan baharu kepada pembuat dasar di seluruh dunia.”
Sementara itu, Iran menangguhkan rancangan pengebumian Ayatollah Ali Khamenei, 86 tahun, yang terbunuh dalam serangan udara Israel pada 28 Februari. Jenazah beliau sebelum ini dijangka dibawa ke sebuah masjid besar di Tehran untuk penghormatan terakhir bermula 4 Mac. Namun pemerintah Iran mengumumkan bahawa tiga hari upacara berkabung telah ditangguhkan tanpa tarikh baharu diumumkan.
Dua sumber Iran memberitahu Reuters bahawa anak Khamenei, Encik Mojtaba Khamenei, tidak berada di Teheran ketika bapanya terbunuh. Majlis Pakar Iran yang bertanggungjawab memilih pemimpin tertinggi baharu dijangka mengumumkan keputusan tidak lama lagi.
Ahli majlis tersebut, Ayatollah Ahmad Khatami, berkata calon-calon telah dikenal pasti tetapi enggan mendedahkan nama mereka. Israel pula memberi amaran bahawa pihaknya akan memburu sesiapa sahaja yang dilantik menggantikan Khamenei. Antara nama yang disebut sebagai calon ialah Encik Hassan Khomeini, cucu kepada pengasas Republik Islam Iran yang juga dikenali sebagai tokoh reformis. - Agensi berita

