Pembatalan terkini beberapa penerbangan tertentu Singapore Airlines (SIA) dan Scoot ke Timur Tengah tidak menjejas jemaah umrah Singapura, dengan ejen pelancongan atau ejen penjualan (GSA) yang dihubungi Berita Harian (BH) berkata laluan terjejas secara umum tidak digunakan bagi pakej umrah mereka.

Namun, mereka menegaskan bahawa mereka memantau teliti perkembangan semasa dan antara lain, bersedia menangguhkan keberangkatan, menukar syarikat penerbangan, atau menyemak semula jadual perjalanan jika konflik Amerika Syarikat-Iran di laluan itu kian meruncing.

Perkembangan terkini menyusuli keputusan SIA melanjutkan pembatalan penerbangannya antara Singapura dengan Dubai sehingga 24 Oktober, manakala syarikat penerbangan tambang rendahnya, Scoot, membatalkan penerbangan antara Singapura dengan Jeddah sehingga 27 Julai.

Penerbangan yang terjejas adalah SQ494 (Singapura-Dubai), SQ495 (Dubai-Singapura), TR796 (Singapura-Jeddah), dan TR797 (Jeddah-Singapura).

Menurut satu kenyataan media pada 15 Julai, SIA berkata pembatalan penerbangannya adalah disebabkan oleh “keadaan geopolitik di Timur Tengah”.

“Memandangkan keadaan masih tidak menentu, penerbangan SIA yang lain juga mungkin terjejas,” kongsi SIA.

Kedua-dua syarikat penerbangan itu berkata penumpang yang terjejas akibat pembatalan penerbangan boleh memohon bayaran balik penuh bagi bahagian tiket yang belum digunakan.

Ketika dihubungi BH, Setiausaha Kehormat Persatuan Agensi Pelancongan Islam Singapura (Amtas), Ustazah Juyda Noor Mohamad, berkata pembatalan tersebut tidak menjejas jemaah umrah tempatan.

Menurut beliau, ini kerana agensi pelancongan di Singapura, apabila berpeluang berbuat demikian, memilih syarikat penerbangan alternatif termasuk Saudia Airlines berbanding laluan yang terjejas.

“Sebelum ketegangan di Timur Tengah berlaku, ada agensi pelancongan yang menggunakan penerbangan Scoot dari Singapura ke Jeddah bagi pakej umrah mereka.

“Namun, apabila keadaan menjadi tidak menentu, agensi pelancongan di Singapura menggunakan syarikat penerbangan lain seperti Qatar Airways, Emirates, Etihad Airways, Gulf Air, Malaysia Airlines dan Saudia Airlines,” jelas Ustazah Juyda, yang juga Pengarah Noor Mohamad Services & Travel.

Menyentuh tentang penerbangan SIA yang dibatalkan itu, beliau menambah laluan Singapura-Dubai itu memang bukan pilihan jemaah umrah Singapura.

“Secara keseluruhan, rakyat Singapura, sama ada yang mengatur perjalanan sendiri mahupun melalui agensi pelancongan, tidak menggunakan laluan Singapura-Dubai menerusi SIA bagi perjalanan umrah.

“Jika memilih transit di Dubai sekali pun, mereka menggunakan Emirates,” kata Ustazah Juyda.

Sehubungan itu, pengalaman berdepan gangguan penerbangan sebelum ini bagi Halijah Travels telah mendorong GSA itu menukar pendekatannya dalam mengatur pakej umrah.

Pengurus Besar GSA itu, Encik Haffidz Abdul Hamid, berkata syarikatnya tidak lagi menggunakan Scoot sejak keadaan di Timur Tengah menjadi tidak menentu, dan kini menggunakan syarikat penerbangan lain seperti Saudia Airlines, Qatar Airways, Emirates, dan Etihad Airways.

“Pengalaman kami menunjukkan bahawa setiap kali keadaan di Timur Tengah menjadi tidak menentu, Scoot lazimnya akan membatalkan penerbangannya.

“Justeru, kami mengambil keputusan untuk tidak menggunakan syarikat penerbangan itu sehingga keadaan geopolitik di Timur Tengah lebih mantap dan menentu.

“Scoot pernah menyambung semula penerbangannya seketika sebelum membatalkannya semula. Kami faham keputusan itu dibuat berdasarkan protokol keselamatan yang ditetapkan oleh SIA,” ujarnya.

Sebelum ini, Scoot telah membatalkan penerbangannya antara Singapura dengan Jeddah sejak 28 Februari, berikutan konflik antara Amerika dengan Iran, sebelum menyambung semula perkhidmatan tiga kali seminggu pada 22 Jun selepas gencatan senjata diumumkan.

Pengarah TravelConnect.sg, Ustaz Mohamed Nafis Abdul Rahman, berkata pihaknya tidak terjejas oleh pembatalan penerbangan terkini itu.

Menurut beliau, syarikatnya bekerjasama dengan beberapa syarikat penerbangan, termasuk Saudia Airlines, Qatar Airways, Emirates, Etihad Airways dan Gulf Air, bergantung pada keperluan operasi serta pakej umrah yang ditawarkan.

Pada masa yang sama, Ustaz Nafis menegaskan keselamatan jemaah kekal menjadi keutamaan pihaknya.

“Meskipun keadaan di Timur Tengah masih tidak menentu, operasi umrah secara keseluruhannya masih berjalan seperti biasa, manakala syarikat-syarikat penerbangan terus memantau perkembangan semasa dan membuat pelarasan terhadap operasi mereka apabila perlu.

“Nasihat kami kepada anggota jemaah adalah supaya sentiasa mendapatkan maklumat terkini, kekal tenang, dan merujuk kepada perkembangan serta kemas kini yang disampaikan oleh agensi pelancongan masing-masing dan pihak berkuasa yang berkaitan,” jelasnya.