Iran lantik anak Khamenei, Mojtaba sebagai pengganti pemimpin tertinggi Iran

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Iran lantik anak Khamenei, Mojtaba sebagai pengganti pemimpin tertinggi Iran

Mar 9, 2026 | 9:46 AM

Iran lantik anak Khamenei, Mojtaba sebagai pengganti pemimpin tertinggi Iran

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Republik Islam Iran dilapor telah memuktamadkan pelantikan Mojtaba Khamenei, anak kedua kepada Ayatollah Ali Khamenei, sebagai Pemimpin Agung baharu negara itu.
Republik Islam Iran dilapor telah memuktamadkan pelantikan Mojtaba Khamenei, anak kedua kepada Ayatollah Ali Khamenei, sebagai Pemimpin Agung baharu negara itu. - Foto REUTERS

TEHERAN: Iran secara rasmi melantik Encik Mojtaba Khamenei, anak kepada pemimpin tertinggi negara itu yang terbunuh pada 28 Februari lalu sebagai pengganti kepada ayahnya, Ayatollah Ali Khamenei.

Pengumuman itu dibuat awal pagi 9 Mac menerusi kenyataan ulama kanan yang disiarkan oleh media pemerintah Iran.

Pelantikan Encik Mojtaba, 56 tahun, dilihat sebagai langkah nekad Teheran mengekalkan kelangsungan ideologi tegar bapanya, sekali gus menghantar isyarat penentangan terbuka terhadap pentadbiran, Encik Donald Trump, yang kini kembali menerajui Washington.

Pemilihan Encik Mojtaba dibuat di tengah-tengah konflik ketenteraan yang semakin memuncak di Asia Barat dan memasuki hari kesembilan.

Majlis Pakar dilapor mencapai kata sepakat majoriti untuk melantik beliau bagi mengelakkan kekosongan kuasa dalam keadaan perang.

Walaupun sebelum ini terdapat tentangan mengenai sistem pewarisan takhta dalam sebuah republik, pengaruh kuat Encik Mojtaba dalam Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) dan penguasaannya terhadap pejabat Pemimpin Agung sejak sekian lama menjadi faktor penentu.

Beliau dianggap sebagai watak paling layak untuk menyatukan kekuatan ketenteraan dan keselamatan Iran ketika berhadapan dengan ancaman daripada musuh luar.

Selepas pelantikannya, Iran melancarkan serangan peluru berpandu pertamanya ke atas Israel, lapor Penyiaran Republik Islam Iran (IRIB).

Iran melancarkan gelombang pertama peluru berpandu di bawah pimpinan Ayatollah Seyyed Mojtaba Khamenei, ke arah wilayah yang diduduki,” kata IRIB menerusi saluran Telegramnya.

IRIB turut menyiarkan gambar sebuah peluru berpandu yang memaparkan cogan kata, “Di bawah perintah mu, Sayyid Mojtaba,’’ satu rujukan keagamaan dalam tradisi Muslim Syiah.

Di Israel, siren amaran peluru berpandu berbunyi di sebahagian besar kawasan utara dan tengah negara itu, termasuk bandar Tel Aviv dan Haifa, kata Tentera Pertahanan Israel.

Bahrain mendakwa serangan dron Iran ke atas pulau Sitra pada lewat 8 Mac menyebabkan 32 orang cedera, ketika beberapa negara Teluk melaporkan serangan baru susulan tindakan balas Teheran di seluruh rantau itu.

Beberapa letupan turut kedengaran di ibu negara Qatar, Doha, ketika Qatar, Arab Saudi dan Kuwait turut melaporkan serangan baru.

Kementerian Pertahanan Qatar memaklumkan pasukannya berjaya memintas satu serangan peluru berpandu.

Di tempat lain di Teluk, Kementerian Pertahanan Arab Saudi berkata, kerajaan itu berjaya memintas dan memusnahkan dua dron yang menuju ke arah medan minyak Shaybah di tenggara negara itu.

Kementerian Pertahanan Kuwait pula memaklumkan sistem pertahanan udara negara itu sedang berusaha memintas serangan peluru berpandu dan dron.

Menurut angka pihak berkuasa, negara Teluk itu menjadi sasaran tujuh peluru berpandu dan lima dron.

Negara-negara Teluk menanggung sebahagian besar tindak balas Teheran selepas Amerika dan Israel melancarkan kempen serangan udara besar-besaran terhadap Iran pada 28 Februari.

Ayatollah Ali Khamenei merupakan pemimpin tertinggi Iran selama lebih tiga dekad dan dianggap tokoh paling berpengaruh dalam sistem politik Republik Islam itu.

Dengan pelantikan terkini, Encik Mojtaba bukan sahaja menjadi ketua agama tertinggi negara, malah turut memegang kuasa sebagai ketua politik dan panglima tertinggi angkatan tentera Iran.

Sebelum keputusan dibuat, beberapa tokoh lain turut disebut sebagai calon untuk jawatan tersebut, termasuk Encik Alireza Arafi yang merupakan anggota majlis sementara yang mentadbir negara, agamawan tegar, Encik Mohsen Araki, serta Encik Hassan Khomeini, cucu kepada pengasas Republik Islam Iran, Ayatollah Ruhollah Khomeini.

Beberapa ahli Majlis Pakar menegaskan bahawa kriteria utama pemilihan pemimpin baharu adalah berdasarkan pesanan Ali Khamenei, iaitu individu berkenaan mestilah dibenci oleh musuh.

Dengan pelantikan Encik Mojtaba itu, Iran menegaskan kedaulatan negara itu dalam menentukan kepimpinan tertinggi tidak boleh diganggu-gugat oleh sebarang tekanan diplomatik mahupun ancaman ketenteraan dari luar.

Bagaimanapun, pelantikan Encik Mojtaba dijangka akan mengeruhkan lagi ketegangan serantau memandangkan Israel dan Encik Trump sebelum ini menyatakan hasrat untuk mencampuri proses pemilihan pemimpin baharu Iran, tetapi ditolak keras oleh Teheran – sekali gus menambah ketegangan sedia ada.

Di peringkat dalam negara, Encik Mojtaba berdepan tugas berat untuk mengukuhkan legitimasi kepimpinannya di tengah-tengah keresahan ekonomi dan serangan udara yang masih berterusan.

Dunia kini memerhati dengan teliti sejauh manakah gaya kepimpinan baharu Encik Mojtaba akan membawa Iran sama ada ke arah rundingan atau peperangan yang lebih besar di bawah bayang-bayang dasar luar Encik Trump yang agresif.

Pelantikan Encik Mojtaba segera menerima reaksi keras dari Washington dan Israel.

Tentera Israel sebelum ini memberi amaran sesiapa sahaja yang menggantikan Ayatollah Ali Khamenei mungkin menjadi sasaran mereka.

Encik Trump pula menyifatkan pemilihan Encik Mojtaba sebagai sesuatu yang “tidak boleh diterima”.

Dalam wawancara dengan ABC News, beliau memberi amaran bahawa pemimpin tertinggi Iran yang baru itu “tidak akan bertahan lama tanpa persetujuan Amerika Syarikat”.

Pelantikan Encik Mojtaba disambut dengan sokongan kuat oleh pasukan keselamatan dan kelompok politik garis keras Iran.

Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), institusi ketenteraan paling berpengaruh di Iran, menyatakan sokongan terbuka kepada pemimpin baru itu.

Dalam kenyataan rasmi, IRGC menyifatkan pelantikan Encik Mojtaba sebagai “permulaan fasa baru bagi revolusi dan pemerintahan Republik Islam”.

Hubungan rapat antara Mojtaba dengan IRGC telah lama diketahui.

Beliau pernah berkhidmat dalam unit tempur pasukan tersebut pada penghujung perang Iran-Iraq dari 1980 hingga 1988.

Pegawai Keselamatan Tertinggi Iran, Encik Ali Larijani, berkata pemilihan Encik Mojtaba membuktikan bahawa usaha musuh untuk melemahkan Iran telah gagal.

“Walaupun musuh berharap kematian Imam Khamenei akan membawa negara ini ke jalan buntu, proses undang-undang tetap berjalan dan Mojtaba Khamenei dipilih secara sah,” katanya dalam kenyataan kepada media pemerintah.

Beliau turut menyeru semua kelompok politik di Iran supaya bersatu di bawah kepimpinan baharu.

“Pemimpin tertinggi harus menjadi lambang perpaduan negara. Semua pihak perlu mengetepikan perbezaan dan menyokong kepimpinan baharu ini,” katanya.

Angkatan tentera Iran turut mengumumkan ikrar taat setia kepada Mojtaba Khamenei.

Dalam kenyataan yang dipetik agensi berita, Fars, tentera Iran berkata mereka akan “berdiri lebih kuat dan lebih teguh dalam mempertahankan pencapaian Revolusi Islam di bawah kepimpinan pemimpin tertinggi”.

Walaupun media pemerintah menyiarkan gambar orang ramai meraikan pelantikan Encik Mojtaba di beberapa bandar, tanda-tanda tentangan masih kedengaran di dalam negara.

Penduduk di Teheran melaporkan sesetengah pihak menjerit menentang pemimpin baharu itu dari tingkap rumah dan bumbung bangunan.

Seorang jurutera dari Teheran yang hanya dikenali sebagai Encik Alireza berkata pelantikan Encik Mojtaba mungkin membawa kepada pendekatan yang lebih keras dalam dasar negara.

“Ini petanda keadaan akan menjadi lebih buruk,” katanya.

“Ramai menjangka kepimpinan baharu ini akan bertindak lebih tegas dan meningkatkan permusuhan terhadap Amerika Syarikat dan Israel.”

Selama bertahun-tahun, Encik Mojtaba sering dianggap sebagai tokoh berpengaruh di belakang tabir dalam politik Iran.

Walaupun tidak memegang jawatan rasmi dalam pemerintah, beliau dipercayai memainkan peranan penting dalam rangkaian keselamatan dan politik negara.

Beliau juga dikenakan sekatan oleh Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat pada 2019, yang mendakwa beliau mewakili kuasa ayahnya walaupun tidak memegang jawatan rasmi.

Beberapa pihak turut menuduh beliau terlibat dalam tindakan keras terhadap bantahan besar yang tercetus selepas pilihan raya presiden Iran pada 2009.

Seorang sumber dari negara Teluk yang mengetahui pemikiran pemerintah serantau berkata pelantikan Encik Mojtaba menghantar mesej jelas kepada Washington.

“Ini memberi isyarat kepada Trump bahawa Iran tidak akan berundur. Mereka akan terus berjuang hingga ke penghujung,” katanya.

Penganalisis dari Institut Timur Tengah, Dr Paul Salem, yang berpangkalan di Washington, Amerika Syarikat berkata langkah Iran memilih pemimpin tegar menunjukkan negara itu bersedia meneruskan konfrontasi.

“Mereka menggandakan pendekatan keras,” katanya. – Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg