SPH Logo mobile
Langgan|

Trump mahu tentukan pemimpin Iran ketika Teheran tangguh pengganti Khamenei

Trump mahu tentukan pemimpin Iran ketika Teheran tangguh pengganti Khamenei

Mar 6, 2026 | 10:22 AM

Trump mahu tentukan pemimpin Iran ketika Teheran tangguh pengganti Khamenei

 pemimpin Iran Ayatollah Ali Khamenei, Encik Mojtaba Khamenei.
Anak mantan pemimpin Iran Ayatollah Ali Khamenei, Encik Mojtaba Khamenei, dikatakan tidak layak mengambil alih sebagai tempat ayahnya oleh Amerika Syarikat. - Foto EPA

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, berkata beliau mahu memainkan peranan dalam menentukan siapa yang akan menjadi pemimpin tertinggi Iran yang baharu selepas kematian Ayatollah Ali Khamenei dalam serangan Israel pada 28 Februari lalu.

Dalam wawancara bersama portal berita Axios pada 5 Mac, Encik Trump secara terbuka menolak kemungkinan anak Encik Khamenei, Encik Mojtaba Khamenei, menggantikan bapanya.

Beliau menyifatkan tokoh berusia 56 tahun itu sebagai calon yang tidak sesuai.

“Mereka membuang masa. Anak Khamenei seorang yang lemah dan tidak boleh diterima. Saya perlu terlibat dalam pemilihan itu, sama seperti yang berlaku dengan Delcy di Venezuela,” kata Encik Trump.

Beliau merujuk kepada situasi di Venezuela apabila Naib Presiden negara itu, Cik Delcy Rodríguez, mengambil alih kepimpinan sementara selepas Amerika menyingkirkan Presiden Nicolás Maduro dalam operasi ketenteraan pada awal 2026.

Encik Trump menegaskan bahawa Washington tidak mahu melihat seorang pemimpin baharu di Iran yang akan meneruskan dasar keras Encik Khamenei.

“Kami mahu seseorang yang boleh membawa keharmonian dan keamanan kepada Iran,” katanya lagi.

Menurut Encik Trump, jika Iran terus dipimpin oleh tokoh yang mengamalkan dasar konfrontasi seperti sebelum ini, konflik antara Teheran dengan Washington mungkin tercetus semula dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

“Jika mereka memilih pemimpin yang tidak sesuai, Amerika mungkin akan kembali berperang dalam tempoh lima tahun,” katanya.

Namun, kenyataan Encik Trump menimbulkan persoalan kerana pemilihan pemimpin tertinggi Iran sebenarnya ditentukan oleh Majlis Pakar, iaitu sebuah badan ulama Syiah kanan yang bertanggungjawab memilih pemimpin tertinggi negara itu.

Majoriti anggota badan tersebut terkenal dengan pendirian keras menentang Amerika.

Encik Khamenei, yang memerintah Iran sejak 1989, terbunuh pada 28 Februari lalu dalam serangan udara Israel ketika konflik besar tercetus antara Iran, Israel dan Amerika.

Encik Khamenei merupakan pemimpin tertinggi kedua Iran selepas pengasas revolusi Islam negara itu, Ayatollah Ruhollah Khomeini.

Sepanjang pemerintahannya, beliau terkenal dengan dasar keras termasuk tindakan tegas terhadap pembangkang di dalam negara serta sikap konfrontasi terhadap negara Barat dan beberapa negara jiran.

Selepas kematiannya, anak beliau, Encik Mojtaba, muncul sebagai salah seorang calon utama untuk menggantikan jawatan tersebut.

Encik Mojtaba dianggap tokoh berpengaruh di sebalik tabir politik Iran dan mempunyai hubungan rapat dengan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC).

Pihak berkuasa Iran dilaporkan menangguhkan pengumuman pengganti Encik Khamenei atas faktor keselamatan.

Dua pegawai Iran yang mengetahui perkara itu berkata kebimbangan meningkat selepas kenyataan Amerika Syarikat dan Israel yang memberi bayangan bahawa pemimpin baharu juga boleh menjadi sasaran serangan.

Menteri Pertahanan Israel, Encik Israel Katz, turut memberi amaran bahawa mana-mana individu yang dilantik sebagai pemimpin tertinggi Iran boleh menjadi sasaran ketenteraan jelas untuk dihapuskan.

Setakat ini, serangan Amerika dan Israel telah mengorbankan beberapa komander tentera Iran dan tokoh penting dalam sektor pertahanan negara itu.

Namun, pemimpin utama pemimpin seperti presiden, ketua badan kehakiman dan Speaker Parlimen masih hidup.

Penganalisis politik Asia Barat, Dr Sina Azodi, dari Universiti George Washington, berkata Iran kemungkinan akan menangguhkan pengumuman rasmi pengganti Encik Khamenei bagi mengelakkan serangan awal terhadap pemimpin baharu itu.

“Pegawai Iran akan cuba melambatkan pengumuman selagi boleh bagi mengelakkan serangan awal terhadap pemimpin baharu,” katanya.

“Namun proses pemilihan sebenarnya sudah bermula dan konsensus dalaman semakin jelas,” tambah beliau.

Menurut beliau, Encik Mojtaba kini dilihat sebagai calon paling berkemungkinan untuk mengambil alih jawatan tersebut walaupun belum ada pengumuman rasmi dibuat.

Jika Encik Mojtaba akhirnya dilantik sebagai pemimpin tertinggi Iran, langkah itu dilihat akan mengekalkan kesinambungan pemerintahan konservatif keras yang telah lama mencorakkan politik negara tersebut.

Bagaimanapun, kenyataan Encik Trump yang mahu campur tangan dalam pemilihan pemimpin Iran dianggap luar biasa dan menimbulkan kebimbangan baharu mengenai hala tuju konflik antara Washington dengan Teheran. – Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg