TEHRAN: Kabinet Iran telah meluluskan rancangan untuk membuang empat sifar daripada mata wang negara, rial, namun pelaksanaan langkah itu masih memerlukan kelulusan Parlimen dan Majlis Perlembagaan.
Jurucakap pemerintah, Cik Fatemeh Mohajerani, berkata keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat kabinet di Tehran selepas minggu lalu Jawatankuasa Ekonomi Parlimen memberi lampu hijau terhadap cadangan itu.
“Mata wang negara akan kekal dinamakan rial, yang dibahagikan kepada unit gheran. Proses peralihan ini akan dilakukan secara berperingkat, dan buat sementara waktu, kedua-dua denominasi lama dan baru akan digunakan serentak,” katanya kepada pemberita.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Parlimen, Encik Shamseddin Hosseini, menjelaskan bahawa pembaharuan ini bertujuan memudahkan urusan kewangan. “Satu rial baru akan bersamaan dengan 10,000 rial lama dan dibahagikan kepada 100 gheran,” ujarnya.
Pada kadar rasmi, 1 dolar Amerika Syarikat ($1.28) kini bernilai hampir 40,000 rial, namun di pasaran bebas ia mencecah lebih 90,000 rial.
Rial Iran mengalami penyusutan nilai ketara sejak Amerika Syarikat menarik diri daripada perjanjian nuklear 2015 pada Mei 2018 dan mengenakan semula sekatan ekonomi. Inflasi tahunan kekal tinggi, dengan kadar mencecah 38.7 peratus pada Mei 2025.
Ahli ekonomi, Encik Ahmad Alavi, menegaskan langkah membuang sifar hanyalah penyelesaian sementara. “Ia memberi kesan psikologi dan memudahkan pengiraan, tetapi tidak menangani punca sebenar iaitu inflasi struktur, kegagalan dasar, dan ekonomi yang sarat dengan rasuah,” katanya.
Menurut beliau, selagi struktur ekonomi dan pentadbiran tidak berubah secara menyeluruh, masalah asas akan berterusan dan nilai rial akan terus merosot.
Rancangan pengguguran sifar ini pernah dicadangkan pada 2019 tetapi ditangguhkan. Rang undang-undang semasa perlu melalui undian Parlimen sebelum dihantar ke Majlis Perlembagaan untuk kelulusan akhir.
“Mesyuarat Jawatankuasa Ekonomi hari ini meluluskan nama ‘rial’ sebagai mata wang negara serta langkah membuang empat sifar,” kata Encik Hosseini. Beliau bagaimanapun tidak memberikan tarikh jelas bila undian Parlimen akan diadakan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg