Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pascaperang 12 hari, Iran hadapi ujian kepimpinan terbesar

Di sebalik retorik kemenangan, Iran bergelut tekanan ekonomi, ketidakstabilan politik dan kekacauan sosial yang kian mendalam
Jul 7, 2025 | 5:30 AM
Kesan selepas serangan Israel ke atas Penjara Evin, di Teheran, Iran yang berlaku pada 23 Jun 2025.
Kesan selepas serangan Israel ke atas Penjara Evin, di Teheran, Iran yang berlaku pada 23 Jun 2025. - Foto REUTERS

TEHERAN: Selepas 12 hari konflik bermula 13 Jun dengan Israel dan penglibatan langsung Amerika Syarikat, Republik Islam Iran kini berada di persimpangan sejarah.

Di sebalik retorik kemenangan oleh pemimpin tertinggi Ayatollah Ali Khamenei, negara itu sedang bergelut dengan tekanan ekonomi, ketidakstabilan politik, dan kekacauan sosial yang semakin mendalam.

Bagi warga Iran-Amerika, Cik Roxana Saberi, yang pernah ditahan di Penjara Evin pada 2009, imej serangan udara Israel ke atas penjara berkenaan mencetuskan kenangan hitam.

“Saya teringat kembali malam-malam sunyi di dalam sel kurungan bersendirian, soal siasat tanpa henti, dan perbicaraan yang dibuat-buat.

“Namun kali ini, saya juga rasakan sesuatu yang berbeza seolah-olah masa depan sedang terbuka walaupun di tengah kemusnahan,” katanya.

Seperti ramai warga Iran di dalam dan luar negara, Cik Saberi, berbelah bahagi antara harapan menyaksikan perubahan rejim dengan kebimbangan terhadap keselamatan keluarga serta insan tersayang di tanah air.

Perasaan ingin menyaksikan kebebasan dan keinginan adanya gencatan senjata bertembung dalam hati rakyat.

“Saya membayangkan dapat kembali ke Iran sebelum saya meninggal dunia,” ujarnya.

“Tapi saya juga tahu, rejim ini telah bazirkan puluhan tahun menuduh aktivis dan pembela hak wanita sebagai pengintip walhal pengintip sebenar berjaya menembusi pemerintah mereka sendiri.”

Presiden Masoud Pezeshkian, yang dianggap sederhana, menyifatkan konflik itu sebagai “peluang keemasan untuk berubah”.

Namun, ramai penganalisis melihat keadaan Iran kini sebagai amat rapuh.

Serangan udara telah melumpuhkan sebahagian besar prasarana nuklear dan ketenteraan negara itu, manakala reputasi “paksi penentangan” yang selama ini dibanggakan termasuk sokongan kepada proksi di Lebanon, Syria dan Yaman, kelihatan sudah berpecah.

Ayatollah Khamenei dalam satu rakaman video pada 26 Jun dari lokasi rahsia menegaskan dengan berkata: “Republik Islam telah menang.”

Namun, Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, memberi pandangan berbeza apabila mengakui bahawa kemudahan nuklear negara telah mengalami “kerosakan serius”.

Penganalisis, Encik Sanam Vakil, dari Chatham House, berkata: “Bagi Khamenei dan elit di sekelilingnya, kelangsungan rejim adalah kemenangan sebenar, walaupun dengan kos reputasi, ekonomi dan nyawa rakyat.”

Encik Pezeshkian membayangkan perlunya perubahan terhadap cara pemerintahan.

Meskipun tidak jelas maksud sebenarnya, banyak pihak menyokong pengukuhan institusi pilihan raya dan menjadikan pemimpin agung sebagai figura simbolik bukan pemegang kuasa mutlak.

Namun, bagi golongan konservatif dan anggota Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) yang memegang kuasa ekonomi dan politik, sebarang perubahan dilihat sebagai langkah ke arah kehancuran.

Golongan itu mengingatkan kepada kejatuhan Kesatuan Soviet dan revolusi warna di Eropah Timur sebagai contoh buruk tolak ansur dengan Barat.

Revolusi warna merujuk kepada satu siri bantahan besar-besaran dan peralihan kuasa secara aman yang berlaku di beberapa negara bekas Kesatuan Soviet dan negara lain sejak awal era 2000-an.

“Bagi IRGC, kehilangan kuasa bermakna kehilangan segalanya. Mereka tidak akan berdiam diri,” kata Encik Vakil.

Seperti dalam kejadian pada2009 dan 2022, pihak berkuasa dilapor telah meningkatkan kawalan keselamatan dalam usaha mengekalkan ketenteraman awam selepas berlakunya ketegangan politik dan sosial.

Beberapa laporan tempatan menyebut bahawa hukuman mati telah dilaksanakan dan sejumlah individu ditahan dalam tempoh terkini.

Di kawasan yang dikenal pasti berisiko seperti Kurdistan, kehadiran pasukan keselamatan seperti IRGC dan militia Basij turut dipertingkatkan.

“Rakyat ingin melihat kebertanggungjawaban yang jelas atas pelbagai cabaran yang dihadapi negara, termasuk beberapa kekalahan strategik.

“Tapi tiada tokoh berani mencabar rejim secara terbuka,” kata penganalisis politik dari Amiriah Arab Bersatu (UAE), Dr Abdulkhaleq Abdulla.

Ramai pengamat antarabangsa melihat Iran kini sebagai negara yang hampir kehilangan keupayaan mempertahankan diri.

Keupayaan bertahan sama ada program nuklear, peluru berpandu mahupun proksi luar negara kini berada dalam keadaan parah.

“Saya bayangkan, apa yang paling merisaukan Khamenei sekarang ialah bagaimana untuk membina semula keupayaan pertahanan.

“Dia mungkin selamat, tapi institusinya kini sangat lemah,” kata Zamil Kanan di Institusi Brookings, Encik Jeffrey Feltman.

Sejak revolusi 1979, Iran berada dalam ketegangan antara kehendak rakyat terhadap liberalisme dengan pendirian teokratik pemimpinnya.

Janji kebebasan oleh Ayatollah Khomeini berubah menjadi pemerintahan ketat ulama, dengan ribuan dibunuh dan presiden pertama dipecat.

Perang dengan Iraq dari 1980 hingga 1988 membunuh setengah juta rakyat Iran, membentuk generasi elit politik dan ketenteraan hari ini yang percaya kepada konspirasi Barat dan mengagungkan semangat ketahanan.

“Pandangan dunia mereka dibentuk oleh peperangan dan rasa curiga mendalam terhadap Amerika Syarikat. Ini telah menjadikan sistem Iran sangat sukar untuk berubah,” ujar Encik Vakil.

Filem Impasse arahan Bahman Kiarostami dan Rahi Rabani yang diharamkan di Iran, menggambarkan perpecahan keluarga akibat perbezaan pandangan terhadap rejim.

Dalam satu adegan, seorang bapa berkeras mempertahankan pemerintahan ulama, manakala anak perempuannya menolak sepenuhnya.

“Kami mahu Republik Islam,” kata si bapa.

“Kami tak mahu Republik Islam. Maka tiada jalan tengah,” jawab anaknya.

Pandangan yang lebih sederhana muncul daripada generasi lebih muda dalam filem itu:

“Kalau mereka tak pakai tudung dan masuk neraka, itu urusan mereka,” kata seorang remaja perempuan sambil tersenyum.

Diaspora Iran di seluruh dunia, termasuk di Dubai dan Amerika, memendam keinginan untuk kembali membina tanah air.

Cik Saberi mengaku sempat memegang semula pasport Iran miliknya sewaktu konflik memuncak, meskipun sedar kepulangannya akan menjadi “tiket sehala”.

“Iran ada dalam darah kami. Saya tahu ramai yang akan kembali jika rejim ini tumbang,” katanya.

Namun, majoriti rakyat Iran kini berada dalam dilema – penat dengan penindasan, tetapi juga bimbang dengan ketidakstabilan.

“Rakyat Iran sudah letih jadi pariah. Malah ada yang lebih sedih apabila gencatan senjata diumumkan berbanding ketika perang berlangsung,” ujar tokoh dari UAE, Encik Dherar Belhoul al-Falasi.

Buat masa ini, tiada tanda jelas akan berlaku perubahan rejim dalam masa terdekat. Negara-negara Teluk sendiri tidak mahu ketidakstabilan baru di rantau itu.

“Buat masa ini, tiada kuasa yang benar-benar bersatu untuk menjatuhkan rejim.

“Tetapi jika Iran cuba bina semula program nuklear atau peluru berpandu, Israel pasti akan bertindak semula,” tambah Encik Feltman.

Iran kini ibarat menemui jalan buntu – persimpangan antara pembaharuan dengan kesinambungan status quo.

Sama ada negara itu memilih untuk membuka ruang kepada perubahan yang lebih bersifat terangkum, atau mengekalkan pendekatan lama yang semakin dipersoal.

Hanya masa akan menentukan arah yang bakal diambil. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg