Topik diikuti
Pergi ke BHkuIran mungkin kecewa tersingkir dari Piala Dunia, namun diraikan rakyat Mexico
Iran mungkin kecewa tersingkir dari Piala Dunia, namun diraikan rakyat Mexico
Iran mungkin kecewa tersingkir dari Piala Dunia, namun diraikan rakyat Mexico
TIJUANA (Mexico): Walaupun tersingkir secara menyakitkan daripada Piala Dunia 2026, skuad bola sepak Iran meninggalkan Mexico dengan kenangan manis selepas menerima layanan luar biasa daripada penduduk bandar Tijuana yang disifatkan sebagai “rumah kedua” mereka sepanjang kejohanan itu.
Iran tersingkir daripada saingan Piala Dunia pada 27 Jun selepas Austria menjaringkan gol penyamaan lewat permainan ketika menentang Algeria, sekali gus menyebabkan Iran gagal menduduki antara lapan pasukan tempat ketiga terbaik untuk mara ke pusingan kalah mati.
Kegagalan itu menamatkan kempen penuh emosi Iran yang bukan sahaja berdepan cabaran di atas padang, malah turut dihimpit tekanan politik dan logistik susulan ketegangan antara Teheran dan Amerika Syarikat, hos bersama Piala Dunia kali ini.
Menjelang kejohanan, Iran terpaksa memindahkan kem latihan mereka dari Arizona ke Tijuana, Mexico, kerana bimbang masalah visa dan sekatan perjalanan berkaitan konflik antara kedua-dua negara.
Skuad Iran juga hanya dibenarkan memasuki Amerika sehari sebelum perlawanan berlangsung dan perlu segera meninggalkan negara itu beberapa jam selepas wisel penamat dibunyikan.
Walaupun pihak Iran beberapa kali meminta perlawanan mereka dipindahkan keluar dari Amerika, permintaan itu tidak dilayan.
Namun di sebalik kesukaran tersebut, rakyat Mexico khususnya di Tijuana menyambut ketibaan pasukan Iran dengan penuh mesra.
Sejak hari pertama tiba di bandar sempadan itu, penyokong Mexico memenuhi kawasan sekitar hotel pasukan Iran sebelum dan selepas setiap perlawanan.
Mereka membawa poster, meminta tandatangan pemain dan bergambar bersama anggota skuad bergelar ‘Team Melli’ itu.
Hubungan akrab yang terjalin sepanjang tiga minggu itu turut mendapat perhatian meluas di media sosial apabila ramai pengguna Internet memuji layanan rakyat Mexico terhadap pasukan Iran.
Dalam satu kenyataan di saluran WhatsApp rasmi pasukan, Iran menyifatkan Mexico sebagai “rumah kedua dan pasukan kedua” mereka.
“Tuan rumah sebenar adalah mengenai rasa hormat, kemanusiaan dan maruah. Kami tidak akan melupakan kebaikan rakyat Tijuana,” menurut kenyataan itu.
“Mulai hari ini, Mexico akan sentiasa lebih daripada sekadar negara tuan rumah kepada kami. Ia adalah rumah kedua dan pasukan kedua kami.”
Kedutaan Iran di Mexico turut mengucapkan penghargaan kepada penduduk Tijuana atas layanan yang diberikan.
“Terima kasih atas profesionalisme, sokongan dan liputan terhadap perjalanan pasukan kami termasuk layanan tidak adil dan tidak bersukan yang dihadapi delegasi Iran sepanjang kejohanan,” menurut kenyataan dimuat naik di platform X.
“Kenangan yang kami bina di sini, persahabatan yang terjalin dan kasih sayang yang kami terima akan kekal selamanya dalam hati setiap anggota pasukan kebangsaan Iran.”
Video di media sosial menunjukkan pemain Iran meluangkan masa bersama penyokong di Tijuana dengan menandatangani bola rasmi Piala Dunia, album pelekat Panini dan bergambar bersama peminat.
Pada hari keberangkatan pasukan itu, beberapa penyokong Mexico berkumpul di luar hotel sambil memakai topi tertera tulisan: “Iran, saudara, kamu kini rakyat Mexico.”
Duta Iran ke Mexico, Encik Abolfazl Pasandideh, dan Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak Iran (FFIRI), Encik Hedayat Mombeini, turut bertemu penyokong serta media bagi menyampaikan penghargaan kepada Mexico.
Dalam masa sama, Iran secara terbuka mengkritik layanan yang diterima sepanjang kejohanan.
Ketua jurulatih Iran, Amir Ghalenoei, dan kapten pasukan, Mehdi Taremi, berkata skuad mereka tidak diberikan layanan sama rata seperti pasukan lain.
Iran mendakwa beberapa keputusan logistik dan pengurusan kejohanan menjejaskan prinsip keadilan pertandingan.
“Kami meninggalkan Piala Dunia ini dengan rasa bangga, tetapi juga dengan satu persoalan penting: Adakah semua pasukan benar-benar bersaing di bawah syarat dan standard profesional yang sama?” menurut kenyataan pasukan itu.
Walaupun tidak menamakan secara langsung Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), penganjur kejohanan atau pihak berkuasa Amerika, Iran menyebut wujud “beberapa keputusan dan pengaturan logistik” yang menjejaskan rasa keadilan.
Iran juga kecewa selepas gol kemenangan pada masa kecederaan ketika menentang Mesir dibatalkan akibat keputusan ofsaid tipis, yang sepatutnya membawa mereka ke pusingan 32 terbaik.
“Bagi kami, Fair Play bukan sekadar slogan di papan iklan. Ia adalah identiti sebenar bola sepak,” menurut kenyataan itu lagi.
“Namun kejohanan ini menunjukkan masih wujud jurang besar antara kata-kata indah dan tindakan sebenar.”
Walaupun tersingkir, Iran tetap memuji Mesir sebagai lawan yang dihormati.
“Piala Dunia akan berakhir, pentadbir akan berubah, tetapi tamadun seperti Iran, Mesir dan Mexico yang dibina atas asas kebenaran, hormat dan maruah kemanusiaan akan terus kekal sepanjang sejarah,” menurut kenyataan tersebut.
Ramai pengguna media sosial dari Iran turut menyatakan sokongan kepada Mexico untuk terus mara jauh dalam kejohanan itu sebagai tanda penghargaan terhadap layanan yang diterima Team Melli sepanjang berada di Tijuana.- Agensi berita
