Topik diikuti
Pergi ke BHkuPasukan Piala Dunia Iran berlepas ke Mexico, kemuka protes
Pasukan Piala Dunia Iran berlepas ke Mexico, kemuka protes
Kedutaan Iran di Turkey kemuka bantahan dengan dakwa 15 kakitangan sokongan, pentadbiran dan pengurusan dinafikan visa
Pasukan Piala Dunia Iran berlepas ke Mexico, kemuka protes
TIJUANA (Mexico): Skuad Piala Dunia Iran berlepas dari Turkey ke Mexico pada 6 Jun di tengah-tengah pertikaian diplomatik antara Teheran dengan Washington selepas Amerika Syarikat menolak permohonan visa sebahagian kakitangan sokongan pasukan itu.
Pertikaian itu tercetus hanya beberapa hari sebelum bermulanya Piala Dunia pada 11 Jun, yang dianjurkan bersama oleh Amerika, Mexico dan Canada.
Pasukan Iran berlepas sekitar jam 6.10 petang waktu tempatan ke Tijuana di barat laut Mexico, pangkalan mereka sepanjang kejohanan, dalam penerbangan yang dijangka mengambil masa 20 jam, menurut televisyen negara Iran.
Iran akan mengharungi ketiga-tiga perlawanan kumpulan di Amerika, menjadikan Piala Dunia 2026 edisi pertama yang melibatkan negara tuan rumah dan negara yang sedang berperang dengannya.
Iran menukar pangkalan mereka daripada pangkalan asal di Tucson, Arizona, ke Tijuana pada akhir Mei.
Pasukan itu menjalani hampir tiga minggu latihan di Antalya, Turkey, sambil menguruskan permohonan visa ke Mexico, Canada dan Amerika.
Pada malam sebelum berlepas, para pemain menerima visa Amerika mereka, kata Duta Amerika ke Turkey, Encik Tom Barrack, menerusi laman X pada 5 Jun.
Namun, Kedutaan Iran di Turkey mengemukakan bantahan dengan mendakwa 15 kakitangan sokongan, pentadbiran dan pengurusan dinafikan visa, menurut seorang diplomat Iran dan televisyen negara.
“Anda kini telah meningkatkan layanan diskriminasi terhadap pasukan Iran ke tahap tertinggi,” kata kedutaan itu di X pada 6 Jun, sambil menggesa Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) mengambil tindakan terhadap Amerika.
Ketegangan bertambah apabila Duta Iran ke Mexico, Encik Abolfazl Pasandideh, berkata pasukan itu dimaklumkan perlu memasuki dan meninggalkan Amerika pada hari perlawanan.
“Kami boleh masuk pada waktu pagi dan mesti keluar hari yang sama,” katanya kepada wartawan.
Bagaimanapun, kenyataan itu bercanggah dengan jurucakap pasukan, Encik Amir Mahdi Alavi, yang sebelum ini memberitahu televisyen negara bahawa pasukan itu menerima visa kemasukan berbilang kali dan boleh tiba satu atau dua hari sebelum perlawanan.
Peraturan Fifa mewajibkan jurulatih pasukan menghadiri sidang media di lokasi perlawanan pada malam sebelum perlawanan.
Persekutuan Bola Sepak Iran, yang ketuanya Encik Mehdi Taj dilaporkan antara individu yang dinafikan visa, menyifatkan keputusan itu sebagai “campur tangan politik dalam sukan”.
Seorang pegawai Amerika pula berkata visa atlet dan kakitangan sokongan telah dikeluarkan, sambil menegaskan sistem visa tidak akan disalahgunakan untuk menyeludup pengganas ke Amerika dengan alasan palsu.
Pada April, Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, membangkitkan kebimbangan mengenai individu yang berkaitan dengan Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC), yang disenaraikan Washington sebagai organisasi pengganas.
Encik Taj sendiri merupakan bekas anggota IRGC, menurut laporan media Iran di diaspora.
Perang di Timur Tengah bermula selepas Amerika dan Israel menyerang Iran pada 28 Februari, manakala gencatan senjata 8 April kini terjejas selepas pertukaran tembakan terbaru antara Washington dan Teheran.
Iran, atau Team Melli, berada dalam Kumpulan G dan bakal menentang New Zealand serta Belgium di Los Angeles pada 15 dan 21 Jun sebelum berdepan Mesir di Seattle pada 26 Jun.
Menjelang keberangkatan ke Mexico, Iran menewaskan Mali 2-0 dalam aksi persahabatan di Antalya selepas turut mengalahkan Gambia dalam perlawanan pemanas badan sebelumnya. – Agensi berita.
