Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Iran nafi bakal sertai rundingan nuklear baru

Jun 27, 2025 | 11:49 AM
Teheran, nuklear, Israel, Amerika Syarikat
Para pengusung membawa keranda seorang askar Iran yang dibalut bendera negara, yang terkorban dalam serangan Israel beberapa hari lalu, semasa perarakan pengebumiannya di Teheran pada 26 Jun 2025. - Foto AFP

TEHERAN: Iran menolak sekeras-kerasnya dakwaan ia bersedia menyambung semula rundingan nuklear dengan Amerika Syarikat, selepas berakhirnya perang berdarah selama 12 hari dengan Israel.

Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, menyifatkan dakwaan itu sebagai “spekulasi yang tidak berasas” dan menegaskan, tiada perbincangan atau persiapan rasmi dibuat untuk memulakan rundingan baru dengan Washington.

“Saya ingin menyatakan dengan jelas bahawa tiada sebarang perjanjian, perbincangan mahupun rancangan untuk memulakan semula rundingan,” kata Encik Araghchi dalam satu siaran langsung di televisyen kebangsaan.

“Perkara ini tidak harus dianggap serius,” tambahnya.

Kenyataan itu dibuat hanya beberapa hari selepas Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mengumumkan Washington akan mengadakan rundingan dengan Teheran minggu depan.

Utusan khasnya, Encik Steve Witkoff, menyuarakan harapan agar satu perjanjian damai menyeluruh dapat dicapai antara kedua-dua negara.

Namun, suasana di Teheran menunjukkan sebaliknya.

Parlimen Iran telah meluluskan satu rang undang-undang baru yang bersifat “mengikat” untuk menggantung kerjasama dengan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), sebagai reaksi balas terhadap serangan Amerika ke atas kemudahan nuklear Iran.

Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, dalam ucapan umum pertamanya sejak gencatan senjata dengan Israel diumumkan, menyifatkan tindakan Amerika itu sebagai satu kegagalan besar dan mendakwa Iran telah mencapai kemenangan besar dalam perang tersebut.

“Presiden Amerika memperbesarkan kejadian itu dengan cara yang luar biasa. Jelas sekali beliau memerlukan ‘drama’ itu,” kata Encik Khamenei.

“Hakikatnya, serangan itu tidak membawa kesan besar terhadap prasarana nuklear kami,” tambahnya.

Walaupun Encik Khamenei memperkecil kesan serangan itu, Encik Araghchi mengakui kerosakan yang berlaku adalah “serius” dan berkata penilaian terperinci masih sedang dijalankan oleh pihak berkuasa Iran.

Presiden Trump pula menegaskan bahawa serangan udara menggunakan pengebom B-2 ke atas tapak pengayaan uranium bawah tanah Fordow itu telah “memusnahkan sepenuhnya” kemudahan tersebut.

Dalam kenyataan di platform Truth Social, beliau menolak dakwaan Iran sempat memindahkan uranium yang diperkaya sebelum serangan itu berlaku.

“Tiada apa yang dikeluarkan dari tapak tersebut... terlalu berbahaya, berat dan sukar untuk dipindahkan,” tulis Encik Trump.

Beliau turut menyatakan bahawa imej satelit hanya menunjukkan lori simen di tapak tersebut kerana pekerja Iran sedang menutup terowong dengan konkrit.

Encik Khamenei menolak dakwaan Encik Trump dan menegaskan Iran bukan sahaja bertahan, malah berjaya membalas serangan dengan pelancaran peluru berpandu yang hampir “melumpuhkan” Israel.

Beliau menyifatkan tindak balas itu sebagai “tamparan hebat kepada Amerika”.

Kedua-dua pihak kini mendakwa mereka sebagai pemenang.

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, menyifatkan kempen ketenteraan itu sebagai “kemenangan bersejarah”, manakala Encik Khamenei pula menyatakan bahawa tindak balas peluru berpandu Iran telah menyebabkan Israel hampir runtuh. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg