Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Serangan AS dilapor gagal lumpuhkan sepenuhnya program nuklear Iran

Meskipun Trump dakwa sebaliknya; serangan dikatakan sekadar hambat dan lambatkan program nuklear Iran sebulan dua
Jun 25, 2025 | 11:41 AM
Gambar gabungan menunjukkan imej satelit pintu masuk terowong di Pusat Penyelidikan Teknologi Nuklear Isfahan di Iran, sebelum dan selepas diserang oleh tentera udara Amerika Syarikat yang berlaku di tengah-tengah konflik Iran-Israel, pada 20 Jun 2025.
Gambar gabungan menunjukkan imej satelit pintu masuk terowong di Pusat Penyelidikan Teknologi Nuklear Isfahan di Iran, sebelum dan selepas diserang oleh tentera udara Amerika Syarikat yang berlaku di tengah-tengah konflik Iran-Israel, pada 20 Jun 2025. - Foto REUTERS

WASHINGTON/TEL AVIV/TEHERAN: Serangan udara Amerika Syarikat dilaporkan gagal memusnahkan sepenuhnya kemampuan nuklear Iran dan hanya melambatkannya selama beberapa bulan.

Demikian menurut penilaian awal risikan Amerika, ketika gencatan senjata rapuh yang diusahakan Presiden Donald Trump mula dikuatkuasakan antara Iran dengan Israel.

Penilaian awal perisikan Amerika mendapati serangan udara terhadap tiga tapak nuklear utama Iran gagal memusnahkan komponen teras program nuklear negara itu.

Ia sekali gus bercanggah dengan dakwaan Encik Trump yang mengatakan pihaknya telah memusnahkan sepenuhnya kemudahan itu.

Serangan yang dilancarkan pada 22 Jun menyasarkan kemudahan di Fordow, Natanz dan Isfahan dengan menggunakan bom bunker-buster seberat 30,000 paun.

Pada 24 Jun, Iran dan Israel masing-masing memberi isyarat bahawa perang udara antara mereka telah berakhir sekurang-kurangnya buat masa ini selepas Encik Trump menegur kedua-dua pihak kerana melanggar gencatan senjata yang beliau umumkan.

Kedua-dua negara mula menarik balik sekatan awam selepas 12 hari berperang, termasuk serangan Amerika terhadap kemudahan pengayaan uranium Iran, sambil masing-masing mendakwa telah mencapai kemenangan.

Encik Trump sebelum ini menyatakan bahawa penghantaran bom seberat 30,000 paun oleh tenteranya telah “menghapuskan sepenuhnya” program nuklear Iran.

Namun dakwaan itu bercanggah dengan penilaian awal oleh salah satu agensi risikan pentadbirannya, menurut tiga individu yang mengetahui tentang perkara tersebut.

Salah seorang daripada mereka mendedahkan bahawa bekalan uranium diperkaya milik Iran masih belum dihapuskan, dan program nuklear negara itu yang kebanyakannya terletak di bawah tanah hanya dilambatkan sekitar sebulan dua.

Iran menegaskan penyelidikan nuklearnya bertujuan untuk tenaga awam.

Rumah Putih pula menolak penilaian itu dan menyifatkannya sebagai “salah sama sekali”.

Menurut laporan yang disediakan oleh Agensi Risikan Pertahanan (DIA), serangan itu hanya menutup pintu masuk ke dua kemudahan, tanpa meruntuhkan struktur bawah tanah, kata salah seorang sumber.

Akhbar Washington Post melaporkan bahawa beberapa alat pengempar – mesin pengasing bahan pepejal daripada cecair yang berputar ligat – masih utuh selepas serangan itu, kata sumber yang memahami tentang kandungan laporan berkenaan.

Encik Trump membidas laporan media Amerika itu dan menulis di platform Truth Social: “TAPAK NUKLEAR IRAN TELAH DIMUSNAHKAN SEPENUHNYA!”

Bagaimanapun, pentadbirannya memaklumkan kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 24 Jun bahawa serangan terhadap kemudahan nuklear Iran hanya “melemahkan” program tersebut, tidak seperti dakwaan awal Encik Trump bahawa ia telah “dihapuskan sepenuhnya”.

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, pula berkata serangan itu telah menamatkan ancaman pemusnahan nuklear dan menegaskan beliau akan terus menghalang sebarang cubaan Teheran untuk menghidupkan semula program senjata.

“Kami telah menghapuskan dua ancaman yang wujud terhadap negara kami, ancaman pemusnahan nuklear dan ancaman 20,000 peluru berpandu balistik,” katanya dalam rakaman video yang dikeluarkan pejabatnya.

Presiden Iran, Encik Masoud Pezeshkian, pula menyifatkan negaranya telah menamatkan perang dengan satu “kemenangan besar”, lapor media Iran.

Beliau turut memaklumkan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman, bahawa Teheran bersedia menyelesaikan perbezaan dengan Amerika, kata agensi berita rasmi Iran, Irna.

Israel memulakan perang udara mengejut pada 13 Jun dengan menyerang kemudahan nuklear Iran dan membunuh beberapa komander tentera tertinggi negara itu – serangan terburuk terhadap Republik Islam itu sejak perang dengan Iraq pada 1980-an.

Sebagai balasan, Iran yang menafikan mahu membina senjata nuklear, melancarkan peluru berpandu terhadap tapak tentera dan bandar di Israel.

Tentera Israel menarik balik sekatan di seluruh negara pada 8 malam waktu tempatan (1 pagi pada 25 Jun waktu Singapura), dan Lapangan Terbang Ben Gurion berhampiran Tel Aviv dibuka semula.

Iran turut dilaporkan akan membuka semula ruang udaranya, menurut Nournews yang berhubung dengan kerajaan.

Pegawai kanan Rumah Putih menyatakan bahawa Encik Trump menjadi orang tengah yang mengusahakan perjanjian gencatan senjata bersama Encik Netanyahu, dan beberapa pegawai lain turut berhubung dengan Iran.

Namun gencatan senjata itu masih goyah. Kedua-dua pihak mengambil masa beberapa jam untuk mengesahkan penerimaan mereka terhadap gencatan senjata dan saling menuduh satu sama lain melanggarnya.

Encik Trump memberi teguran keras kepada kedua-dua pihak, namun lebih banyak kritikan ditujukan kepada Israel dengan menyuruh sekutunya itu untuk “bertenang sekarang”.

Beliau turut menyatakan bahawa Israel telah menghentikan serangan atas arahannya.

Menteri Pertahanan Israel, Encik Israel Katz, berkata beliau telah memaklumkan kepada rakan sejawatannya dari Amerika, Encik Pete Hegseth, bahawa negaranya akan mematuhi gencatan senjata selagi Iran juga berbuat demikian.

Menurut media Iran, Presiden Pezeshkian turut menyatakan bahawa Iran akan menghormati perjanjian tersebut selagi Israel tidak melanggarnya.

Sama ada gencatan senjata itu akan bertahan kekal menjadi tanda tanya besar, memandangkan wujudnya jurang ketidakpercayaan mendalam antara kedua-dua negara.

Namun keupayaan Encik Trump memeterai perjanjian itu menunjukkan Washington masih mempunyai pengaruh di rantau yang bergolak ini.

Ketua Staf Angkatan Tentera Israel, Encik Eyal Zamir, berkata satu “bab penting” konflik telah tamat tetapi kempen terhadap Iran belum berakhir.

Tentera Israel kini akan memberi tumpuan semula kepada perangnya terhadap kumpulan Hamas di Gaza yang disokong Iran.

Pihak tentera Iran pula memberi amaran kepada Israel dan Amerika agar mengambil pengajaran daripada “tamparan hebat” yang diterima semasa konflik.

Pihak berkuasa Iran memaklumkan serangan Israel mengorbankan 610 rakyatnya dan mencederakan 4,746 orang.

Serangan balas Iran pula membunuh 28 orang di Israel, menandakan kali pertama sistem pertahanan udara Israel ditembusi secara besar-besaran oleh peluru berpandu Iran.

Harga minyak sejagat jatuh dan pasaran saham meningkat – satu petanda keyakinan pasaran yang dipulihkan oleh gencatan senjata itu, yang meredakan kebimbangan terhadap gangguan bekalan minyak dari Teluk.

Awal dari itu pada hari yang sama, Encik Trump memberi teguran kasar kepada Israel dalam satu luahan luar biasa terhadap sekutu rapatnya itu – meskipun Amerika baru menyertai perang dua hari sebelumnya dengan menjatuhkan bom pemusnah kubu terhadap kemudahan nuklear Iran di bawah tanah.

Sebelum berangkat ke sidang puncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) di Eropah, Encik Trump memberitahu wartawan bahawa beliau kecewa dengan kedua-dua pihak kerana melanggar gencatan senjata – namun lebih terganggu dengan Israel yang menurutnya telah “menyerang sebaik sahaja bersetuju dengan perjanjian”.

“Saya perlu tenangkan Israel,” kata Encik Trump. “Iran dan Israel sudah lama berperang hinggakan mereka sendiri tak tahu apa yang mereka lakukan.”

Pejabat Encik Netanyahu mengesahkan Israel telah mengebom tapak radar berhampiran Teheran sebagai tindak balas terhadap peluru berpandu Iran yang dilancarkan tiga setengah jam selepas waktu gencatan senjata sepatutnya bermula.

Namun tiada penjelasan sama ada serangan radar itu berlaku sebelum atau selepas perbualan antara kedua-dua pemimpin berlangsung.

Republik Islam itu menafikan melancarkan sebarang peluru berpandu dan menyatakan Israel telah meneruskan serangan selama satu setengah jam selepas masa gencatan bermula.

“Siapa yang menjadi orang tengah atau bagaimana ia berlaku tak penting,” kata Encik Reza Sharifi, 38 tahun, yang pulang ke Teheran dari Rasht di Laut Kaspia, tempat beliau berlindung bersama keluarganya.

“Perang dah berakhir. Ia tak sepatutnya berlaku sejak awal lagi,” katanya. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg