WASHINGTON/DOHA/ISTANBUL: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mendakwa kedua-dua Israel dan Iran telah melanggar gencatan senjata yang beliau umumkan sebelum ini.
Menurut Encik Trump, beliau tidak berpuas hati dengan kedua-dua negara tersebut, terutamanya Israel.
Semasa bertemu media sebelum berlepas ke sidang puncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) di The Hague, beliau berkata Israel telah melancarkan serangan sejurus selepas bersetuju dengan perjanjian tersebut.
Dua letupan dilaporkan kedengaran di ibu kota Iran, Teheran, pada 24 Jun selepas Encik Trump mengumumkan gencatan senjata tersebut.
Sebelum itu, keraguan mengenai komitmen terhadap gencatan senjata dalam konflik Iran-Israel timbul selepas Menteri Pertahanan Israel, Encik Israel Katz, berkata beliau telah mengarahkan serangan tentera ke atas Teheran selepas mendakwa Iran telah melanggar gencatan senjata.
Namun, Iran menolak dakwaan melanggar gencatan senjata dengan ketua turus tenteranya menafikan terdapat sebarang pelancaran peluru berpandu ke arah Israel.
Perkembangan itu menimbulkan keraguan awal tentang gencatan senjata yang diumumkan sebelum ini oleh Encik Trump, yang bertujuan menamatkan perang selama 12 hari itu.
Encik Katz dalam satu kenyataan berkata beliau telah mengarahkan tentera Israel agar “meneruskan operasi intensiti tinggi yang menyasarkan aset rejim dan prasarana keganasan di Teheran” memandangkan “pelanggaran terang-terangan Iran terhadap gencatan senjata yang diisytiharkan oleh Presiden Amerika Syarikat”.
Sebelum ini, Encik Trump berkata pada 24 Jun bahawa gencatan senjata antara Israel dengan Iran kini berkuat kuasa dan menggesa kededua negara supaya tidak melanggarnya.
“Gencatan senjata kini berkuat kuasa. Tolong jangan melanggarnya!”, kata beliau dalam satu hantaran di wadah Truth Social.
Seorang pegawai kanan Rumah Putih berkata Encik Trump telah menjadi perantara perjanjian gencatan senjata dalam satu panggilan dengan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, dan Israel bersetuju selagi Iran tidak melancarkan serangan lanjut.
“Atas andaian bahawa segala-galanya berfungsi sebagaimana semestinya, yang mana ia akan berlaku, saya ingin mengucapkan tahniah kepada kedua-dua negara, Israel dan Iran, kerana mempunyai stamina, keberanian dan kepintaran untuk menamatkan apa yang sepatutnya dipanggil ‘Perang 12 Hari’,” tulis Encik Trump di wadah media sosialnya itu.
Seorang pegawai Iran sebelum ini mengesahkan bahawa Teheran bersetuju dengan gencatan senjata tersebut, namun Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, menegaskan tidak akan ada pemberhentian permusuhan melainkan Israel menamatkan serangannya.
Encik Araghchi berkata pada awal 24 Jun bahawa jika Israel menghentikan “pencerobohan haram” terhadap rakyat Iran selewat-lewatnya 4 pagi waktu Teheran (8.30 pagi waktu Singapura) pada 24 Jun, Iran tidak berhasrat meneruskan tindak balas selanjutnya.
Israel, yang disertai Amerika pada 21 Jun lalu, telah melakukan serangan ke atas kemudahan nuklear Iran, selepas mendakwa Teheran semakin hampir untuk mendapatkan senjata nuklear.
Iran menafikan pernah mempunyai program senjata nuklear tetapi pemimpin tertinggi ,Ayatollah Ali Khamenei, telah menyatakan bahawa jika negaranya mahukannya, pemimpin dunia “tidak akan dapat menghalang kami”.
Israel, yang tidak menyertai Perjanjian Pencegahan Penularan Senjata Nuklear (NPT), tidak menafikan atau mengesahkan negara itu memiliki senjata nuklear.
Pada masa sama, Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, memperoleh persetujuan Teheran bagi gencatan senjata itu semasa panggilan bersama pegawai Iran.
Demikian dinyatakan seorang pegawai yang diberi taklimat mengenai rundingan lapor agensi berita, Reuters, pada 24 Jun.
Naib Presiden Amerika, Encik J.D. Vance, Setiausaha Negara, Encik Marco Rubio, dan Utusan Khas Amerika, Encik Steve Witkoff, telah berhubung secara langsung dan tidak langsung dengan pegawai Iran, kata pegawai Rumah Putih itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg