Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Iran perluas akses ruang udara untuk penerbangan selepas gencatan senjata

Jun 29, 2025 | 2:59 PM
konflik iran, qatar, airspace, ruang udara
Para penumpang menunggu di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad untuk menaiki pesawat selepas Qatar membuka semula ruang udaranya pada 24 Jun. - Foto REUTERS

TEHERAN: Iran telah meluaskan akses ke ruang udaranya untuk penerbangan antarabangsa berikutan gencatan senjata dengan Israel.

Namun, sekatan penerbangan kekal dilaksanakan di seluruh negara, kata seorang pegawai pada 28 Jun.

“Selain separuh ruang udara bahagian timur yang tersedia untuk operasi domestik dan antarabangsa, ruang udara di bahagian tengah dan barat negara kini juga dibuka hanya untuk penerbangan antarabangsa,” kata Encik Majid Akhavan, jurucakap Kementerian Jalan Raya dan Pembangunan Bandar, dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh agensi berita negara Irna.

Namun, penerbangan menuju dan daripada lapangan terbang di utara, selatan dan barat negara, termasuk lapangan terbang antarabangsa Mehrabad dan Imam Khomeini, kekal digantung, tambah Encik Akhavan.

“Semua warga negara diminta supaya tidak mengunjungi lapangan terbang yang terletak di wilayah utara, selatan dan barat negara,” katanya sambil menggesa pelancong supaya mengikuti perkembangan terkini melalui sumber rasmi sahaja.

Langkah itu dibuat selepas Iran membuka semula ruang udara timurnya pada 25 Jun, berikutan gencatan senjata yang menamatkan pertempuran selama 12 hari dengan Israel.

Iran telah menutup ruang udara sepenuhnya pada 13 Jun selepas Israel melancarkan gelombang serangan udara, menyebabkan serangan balas peluru berpandu Iran.

Lapangan terbang yang kini beroperasi termasuk Mashhad di timur Iran – yang didakwa Israel sebagai sasaran semasa konflik – serta Chabahar di tenggara.

Media melaporkan pada 23 Jun bahawa beberapa negara di rantau Teluk Parsi termasuk Qatar dan Amiriah Arab Bersatu (UAE), telah membuka semula ruang udara mereka dan menyambung operasi di beberapa lapangan terbang paling sibuk di dunia selepas menghentikan penerbangan ketika Iran melancarkan serangan udara ke pangkalan Amerika Syarikat di Qatar.

Qatar sebelum ini menghalang semua penerbangan daripada memasuki ruang udaranya ketika ia bersiap sedia bagi menghadapi serangan Teheran.

Bahrain, UAE dan Kuwait dengan segera turut menutup ruang udara sebagai langkah berjaga-jaga.

Gangguan itu telah berlarutan beberapa jam dan mengakibatkan berpuluh-puluh pesawat melencong dari bandar hab utama Dubai dan Doha. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg