Iran perluas serangan Israel lancar bedilan baru baru
Tentera Amerika berkata mereka telah serang hampir 2,000 sasaran di Iran; Iran serang kawasan dekat Konsulat Amerika di Dubai, pangkalan tentera Amerika di Al-Udeid, Qatar
TEHERAN: Iran memperluaskan serangan balas menggunakan peluru berpandu dan dron di seluruh Asia Barat dengan menyasarkan beberapa kemudahan Amerika Syarikat termasuk sebuah konsulat dan pangkalan tentera, ketika konflik dengan Washington dan Israel memasuki hari kelima.
Serangan terbaru berlaku ketika Amerika dan Israel berkata mereka telah melancarkan serangan besar-besaran ke atas beberapa lokasi penting di Teheran pada 4 Mac, sekali gus meningkatkan lagi ketegangan serantau.
Sebuah dron Iran dilaporkan menyerang kawasan berhampiran Konsulat Amerika di Dubai sehingga mencetuskan kebakaran kecil, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Pada masa sama, pangkalan tentera Amerika di Al-Udeid, Qatar, turut menjadi sasaran serangan.
Serangan tersebut berlaku hanya sehari selepas kedutaan Amerika di Riyadh dan Kuwait City serta sebuah pangkalan udara Amerika di Bahrain turut disasarkan.
Perkembangan konflik ini turut menimbulkan kebimbangan terhadap kestabilan pasaran tenaga global.
Pengawal Revolusi Iran mendakwa mereka kini mempunyai “kawalan penuh” ke atas Selat Hormuz, laluan perkapalan strategik yang menghubungkan Teluk dengan pasaran global. Selat tersebut merupakan laluan penting bagi perdagangan tenaga dunia kerana kira-kira satu perlima bekalan minyak yang dihantar melalui laut di seluruh dunia melalui kawasan itu.
Sekurang-kurangnya 10 kapal tangki minyak diserang peluru berpandu di Selat Hormuz, kata Timbalan Komander Tentera Laut Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran, Mohammad Akbarzadeh pada 4 Mac.
Presiden Donald Trump, bagaimanapun berkata Tentera Laut Amerika bersedia mengiringi kapal tangki minyak melalui laluan tersebut sekiranya Iran cuba menutupnya.
Memberi perkembangan terkini, tentera Amerika berkata mereka telah menyerang hampir 2,000 sasaran di Iran sejak operasi ketenteraan bersama Israel bermula pada 28 Februari lalu.
Komander Komando Pusat Amerika, Laksamana Brad Cooper, berkata serangan tersebut menyasarkan peluru berpandu balistik, dron dan pelancar yang berpotensi mengancam pasukan Amerika.
“Kami telah menyerang hampir 2,000 sasaran dengan lebih 2,000 jenis peluru dan bom,” katanya dalam satu mesej video. Beliau berkata pengumpulan kekuatan ketenteraan AS di rantau itu merupakan yang terbesar dalam satu generasi. “Kekuatan yang dikerahkan mewakili pengumpulan kuasa tembakan terbesar oleh Amerika di Timur Tengah dalam satu generasi,” katanya.
Menurut beliau, skala serangan pada hari pertama operasi itu juga lebih besar berbanding serangan “shock and awe” terhadap Iraq pada 2003.
Bulan Sabit Merah Iran melaporkan sekurang-kurangnya 787 orang terbunuh akibat serangan udara Amerika dan Israel, namun angka tersebut tidak dapat disahkan secara bebas oleh media antarabangsa.
Serangan awal yang dilancarkan pada 28 Februari turut mengorbankan pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei. Serangan itu berlaku hanya dua hari selepas wakil Amerika dan Iran mengadakan perbincangan di Geneva mengenai kemungkinan perjanjian nuklear baharu.
Encik Trump mendakwa Iran sebenarnya mahu kembali ke meja rundingan tetapi peluang itu sudah terlepas. “Mereka mahu menyambung semula rundingan, tetapi bagi saya sudah terlalu lewat,” katanya.
Encik Trump turut berkata kebanyakan tokoh penting Iran yang berpotensi menggantikan kepimpinan negara itu juga terbunuh dalam serangan tersebut.
“Kebanyakan individu yang kami jangkakan mungkin mengambil alih kepimpinan sudah mati,” katanya.
Media Iran melaporkan bahawa serangan udara turut menyasarkan sebuah bangunan di bandar suci Qom yang digunakan oleh jawatankuasa yang bertanggungjawab memilih pemimpin tertinggi baharu Iran.
Serangan itu berlaku ketika Iran sedang memilih pengganti untuk jawatan tertinggi negara selepas pemimpin agungnya, Ayatollah Ali Khamenei, terbunuh dalam serangan pada 28 Februari. Anak beliau, Mojtaba Khamenei, kini muncul sebagai calon utama untuk mengambil alih kepimpinan tertinggi Iran.
Dalam masa yang sama kumpulan Hezbollah berkata ia menyasarkan pangkalan tentera laut di utara Israel di Haifa pada 3 Mac bagi membalas serangan berterusan tentera Israel terhadap kubu kuat pergerakan yang disokong Iran di Lebanon itu, termasuk di pinggir bandar selatan Beirut.
Israel melancarkan serangan udara untuk hari kedua berturut-turut bermula 3 Mac dan pada 4 Mac di selatan negara itu serta beberapa pinggir bandar di ibu negaranya, selepas mengeluarkan amaran pemindahan kepada penduduk.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata lebih 30,000 penduduk Lebanon telah kehilangan tempat tinggal akibat serangan tersebut, manakala puluhan lagi dilaporkan terbunuh.Israel juga berkata mereka sedang menggerakkan pasukan tentera ke kawasan sempadan bagi mewujudkan zon penampan keselamatan di dalam wilayah Lebanon.
Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bersatu (UNIFIL) memaklumkan pada 3 Mac bahawa pihaknya memerhati tentera Israel melintasi kawasan sempadan selatan Lubnan, menyifatkan tindakan itu sebagai “pelanggaran” terhadap Resolusi 1701 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Di Teheran, keadaan bandar yang biasanya dihuni kira-kira 10 juta penduduk kini berubah menjadi hampir lengang apabila ramai penduduk meninggalkan ibu negara itu.
Seorang jururawat berusia 33 tahun yang dikenali sebagai Cik Samireh berkata suasana bandar itu berubah secara mendadak sejak serangan bermula. “Jumlah orang di jalanan sangat sedikit sehingga terasa seolah-olah tiada siapa tinggal di bandar ini,” katanya.
Pihak berkuasa sebelum ini menggesa orang ramai meninggalkan Teheran, manakala pasukan keselamatan ditempatkan di beberapa persimpangan utama untuk menjalankan pemeriksaan kenderaan. Di kawasan utara bandar yang biasanya sibuk, bunyi kucing dan burung kini menggantikan bunyi kesesakan lalu lintas yang sebelum ini menjadi kebiasaan.
Ketegangan yang semakin memuncak telah mendorong banyak negara memindahkan rakyat masing-masing dari rantau tersebut. Amerika Syarikat juga mengarahkan kakitangan tidak penting meninggalkan kedutaan di beberapa negara Asia Barat dan menggesa rakyatnya keluar dari rantau itu jika mampu mendapatkan penerbangan komersial.
Pada masa sama, Menteri Luar China, Encik Wang Yi, memberi amaran bahawa penggunaan kekerasan hanya akan memburukkan keadaan. “Penggunaan kekerasan hanya akan membawa masalah baharu,” katanya menurut laporan agensi berita Xinhua. - Agensi berita

