Iran: Rundingan nuklear dengan AS di Oman bermula baik, akan diteruskan
Iran: Rundingan nuklear dengan AS di Oman bermula baik, akan diteruskan
MUSCAT: Rundingan nuklear antara Iran dengan Amerika Syarikat di Oman pada 6 Februari adalah permulaan yang baik dan Iran mahu ia diteruskan, kata Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araqchi.
Ini menyusuli kebimbangan yang semakin meningkat bahawa kegagalan rundingan berisiko tinggi itu boleh mencetus perang Timur Tengah yang lain.
“Ia adalah permulaan yang baik untuk rundingan tersebut. Dan terdapat persefahaman untuk meneruskan rundingan.
“Penyelarasan tentang cara untuk meneruskannya akan diputuskan di ibu negara,” kata Encik Abbas kepada televisyen pemerintah Iran.
“Jika proses ini berterusan, saya fikir kita akan mencapai rangka kerja yang baik untuk mencapai persefahaman,” tegasnya.
Pegawai daripada kededua pihak, yang mengadakan rundingan tidak langsung melalui pengantaraan Oman di ibu negara itu, Muscat, akan pulang ke tanah air untuk perbincangan lanjut, kata Encik Araqchi.
Walaupun kededua pihak telah menunjukkan kesediaan untuk menghidupkan semula diplomasi mengenai pertikaian nuklear Teheran yang telah lama berlarutan dengan Barat, Washington ingin memperluas rundingan tersebut untuk merangkumi peluru berpandu balistik Iran, sokongannya terhadap kumpulan bersenjata di sekitar rantau ini dan “layanan terhadap rakyat mereka sendiri”, kata Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio.
Encik Araqchi memberitahu agensi berita Irna bahawa “sebarang dialog memerlukan penahanan diri daripada ancaman dan tekanan”, sambil berkata Teheran “hanya membincangkan isu nuklearnya. Kami tidak membincangkan isu lain dengan Amerika”.
Pegawai Iran berulang kali menegaskan mereka tidak akan membincangkan soal peluru berpandu Iran – salah satu senjata terbesar di rantau ini – dan menyatakan bahawa Teheran mahukan pengiktirafan haknya untuk memperkayakan uranium.
Namun, bagi Washington, menjalankan kegiatan pengayaan di dalam Iran adalah garis merah.
Kepimpinan ulama Teheran masih sangat bimbang Presiden Amerika, Encik Donald Trump, mungkin masih berpegang kepada ancamannya untuk menyerang Iran berdasarkan kehadiran Tentera Laut Amerika berhampiran Iran.
“Kekurangan kepercayaan adalah cabaran besar semasa rundingan dan ia harus diatasi,” kata Encik Araqchi.
Pada Jun 2025, Amerika menyerang tapak nuklear Iran, menyertai kempen pengeboman Israel selama 12 hari.
Teheran sejak itu berkata kegiatan pengayaan uraniumnya telah dihentikan.
Kehadiran besar-besaran tentera laut Amerika di Teluk adalah menyusuli tindakan keras pemerintah Iran terhadap protes seluruh negara itu pada Januari, meningkatkan ketegangan dengan Teheran.
Encik Trump telah memberi amaran “perkara buruk” mungkin berlaku jika perjanjian tidak dicapai.
Kuasa dunia dan negara serantau bimbang kegagalan rundingan akan menyebabkan konflik merebak ke seluruh rantau kaya minyak itu.
Iran telah berikrar untuk bertindak balas dengan keras terhadap sebarang serangan ketenteraan dan memberi amaran kepada negara Arab yang menjadi tuan rumah pangkalan Amerika bahawa mereka mungkin diserang jika terlibat dalam konflik tersebut. – Reuters.

