Iran sahkan kematian Ketua Keselamatan Negara

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Iran sahkan kematian Ketua Keselamatan Negara

Israel ikrar mahu cari, bunuh Mojtaba
Mar 18, 2026 | 11:47 AM

Iran sahkan kematian Ketua Keselamatan Negara

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
iran, kematian, Ketua Keselamatan Negara, Ali Larijani
Iran melalui kenyataan yang disiarkan oleh agensi berita separa rasmi Mehr mengesahkan kematian Ketua Keselamatan Negara, Encik Ali Larijani, selepas Israel mendakwa telah membunuh tokoh kanan republik itu dalam satu siri serangan disasarkan. - Foto REUTERS

TEHERAN: Ketua keselamatan Iran, Ali Larijani, terbunuh dalam serangan Israel, disahkan Teheran pada 17 Mac menjadikannya pegawai paling kanan yang terkorban sejak tercetusnya perang Amerika Syarikat-Israel, ketika seorang pegawai kanan Iran memaklumkan pemimpin tertinggi baharu negara itu menolak tawaran meredakan ketegangan yang disampaikan melalui negara perantara.

Dalam serangan sama pada malam 16 Mac itu, anak beliau serta timbalannya, Encik Alireza Bayat, turut maut.

Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran melalui kenyataan yang disiarkan oleh agensi berita separa rasmi Mehr menggambarkan Encik Larijani sebagai seorang tokoh yang sepanjang hayatnya “berjuang demi mengangkat martabat Iran dan Revolusi Islam”, sebelum “mencapai hasratnya sekian lama untuk menyahut seruan kebenaran dan meraih martabat mulia syahid di medan khidmat.”

Encik Larijani, 68 tahun, dianggap antara individu paling berpengaruh dalam struktur kuasa Iran dan dikenali sebagai sekutu rapat kepada pemimpin tertinggi terdahulu, Ayatollah Ali Khamenei, serta anaknya yang kini mengambil alih kepimpinan, Encik Mojtaba Khamenei.

Israel sebelum ini mendakwa bertanggungjawab terhadap serangan yang membunuh Encik Larijani.

Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, menegaskan bahawa pembunuhan beberapa pegawai kanan, termasuk ketua keselamatan Encik Larijani, tidak akan menjejaskan struktur politik negara itu.

Kenyataan tersebut disampaikan dalam wawancara bersama Al Jazeera selepas Iran mengesahkan bahawa Encik Larijani terbunuh dalam serangan udara Israel.

Serangan Israel telah membunuh bukan sahaja Encik Larijani, tetapi juga komander Basij Gholamreza Soleimani, ketika kedua-dua negara memperhebatkan serangan rentas sempadan.

Laporan antarabangsa menggambarkan beliau sebagai salah seorang tokoh paling berpengaruh dalam struktur kuasa Iran, malah pernah berperanan sebagai tokoh utama dalam keselamatan, politik, dan pengurusan konflik negara itu.

Encik Larijani bukan sahaja memainkan peranan penting dalam dasar keselamatan Iran, malah dilihat sebagai arkitek utama dalam strategi pertahanan dan tindak balas negara itu sepanjang konflik.

Penganalisis serantau, Encik David Khalfa, menyifatkan beliau sebagai individu paling berpengaruh di belakang tabir kepimpinan Iran.

“Pemimpin tertinggi memberikan arahan, tetapi Encik Larijani yang melaksanakannya. Beliau adalah tangan kanan dalam memastikan kelangsungan rejim, dasar serantau dan strategi pertahanan Iran,” katanya.

Kematian beliau dilihat sebagai tamparan besar kepada struktur kepimpinan Iran, khususnya ketika negara itu sedang berdepan tekanan ketenteraan berterusan.

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, mempertahankan tindakan tersebut dan menggambarkan Encik Larijani sebagai tokoh utama dalam sistem keselamatan Iran.

Dalam kenyataan televisyen, Encik Netanyahu berkata: “Beliau adalah ketua sebenar pasukan Pengawal Revolusi. Jika rakyat Iran terus menentang, mereka berpeluang menentukan masa depan mereka sendiri.”

Jurucakap tentera Israel, Brigadier Jeneral Effie Defrin, turut memberi amaran bahawa sasaran seterusnya adalah pemimpin tertinggi baharu Iran.

“Kami akan menjejaki, mencari dan menghapuskan Mojtaba Khamenei,” katanya kepada media.

Langkah ini dilihat sebagai sebahagian daripada strategi Israel yang digelar penganalisis sebagai “pemenggalan kepimpinan” iaitu menyasarkan tokoh utama musuh bagi melemahkan struktur kuasa mereka.

Di sebalik tekanan ketenteraan, Iran dilaporkan menolak sebarang usaha meredakan ketegangan.

Seorang pegawai kanan Iran berkata pemimping tertinggi Iran, Encik Mojtaba Khamenei telah menolak cadangan gencatan senjata yang disampaikan melalui negara perantara.

“Ini bukan masa yang sesuai untuk perdamaian sehingga Amerika dan Israel ditewaskan dan dipaksa membayar pampasan,” katanya.

Ketegangan turut memberi kesan besar kepada ekonomi global, khususnya apabila Iran hampir menutup Selat Hormuz, laluan penting yang menyalurkan kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia.

Speaker Parlimen Iran, Encik Mohammad Bagher Ghalibaf, menegaskan keadaan di laluan itu tidak akan kembali seperti sebelum perang.

“Situasi di Selat Hormuz tidak akan kembali kepada keadaan asal,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.

Kenyataan itu disusuli lonjakan harga minyak global, ketika beberapa negara enggan memenuhi permintaan Presiden Amerika, Encik Donald Trump, untuk menghantar kapal perang bagi mengiringi kapal tangki minyak.

Encik Trump secara terbuka mengkritik sekutu Barat.

“Kami tidak perlukan bantuan sesiapa. Kami tidak pernah perlukan,” katanya di platform Truth Social, sambil menyifatkan keengganan Nato (Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara) sebagai “kesilapan bodoh”.

Perang kini tidak lagi terhad kepada Iran dan Israel, sebaliknya merebak ke beberapa negara lain termasuk Lebanon, Iraq dan negara Teluk.

Di Lebanon, lebih sejuta penduduk dilaporkan hilang tempat tinggal akibat serangan udara Israel yang semakin meningkat, manakala lebih 800 orang terbunuh sejak awal Mac.

Seorang pengurus pusat perlindungan di Sidon, Encik Jihan Kaisi, berkata kemudahan sedia ada tidak lagi mampu menampung jumlah pelarian. “Ramai datang setiap hari mencari tempat perlindungan, tetapi kami sudah tiada ruang. Kami tidak mampu menerima mereka lagi,” katanya.

Serangan balas Iran turut menyasarkan negara-negara Teluk yang menjadi sekutu Amerika.

Lebih 2,000 serangan peluru berpandu dan dron dilaporkan menyerang pangkalan tentera, pelabuhan dan infrastruktur minyak di rantau itu.

Di Amiriah Arab Bersatu, operasi di pelabuhan Fujairah terganggu selepas serangan ketiga dalam tempoh empat hari menyebabkan kebakaran di terminal eksport minyak.

Sehingga kini, konflik yang bermula lebih tiga minggu lalu terus menunjukkan peningkatan tanpa sebarang petunjuk penyelesaian.

Kumpulan hak asasi manusia berpangkalan di Amerika melaporkan lebih 3,000 orang terbunuh di Iran, manakala Israel menyatakan serangan balas Iran telah mengorbankan sekurang-kurangnya 12 orang di negara itu.

Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) menyifatkan pembunuhan Encik Larijani sebagai pencetus kepada “kebangkitan nasional”, dalam reaksi pertama susulan pengesahan kematiannya yang diumumkan lewat malam tadi.

Dalam kenyataan yang disiarkan agensi berita Tasnim, IRGC memuji Encik Larijani sebagai “tokoh terbilang, pemikir, dan ahli politik berjiwa pembaharuan” yang pengorbanannya akan terus menjadi sumber kekuatan buat negara.

Israel mendakwa sudah menang dalam peperangan dengan Iran, namun tidak memberikan petunjuk mengenai tempoh konflik itu akan berakhir.

Bercakap pada sidang media pada 17 Mac bersama Menteri Luar Estonia, Encik Margus Tsahkna; Menteri Luar Israel, Encik Gideon Saar, berkata operasi ketenteraan di Iran bagaimanapun akan diteruskan hingga semua objektif tercapai.

“Kami sudah menang,” katanya sambil menyifatkan Iran dilemahkan secara ketara, berbanding sebelum perang bermula pada 28 Februari lalu, menerusi serangan bersama Amerika dan Israel. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg