Jet AS tembak jatuh dron Iran di Teluk
WASHINGTON: Sebuah jet pejuang Amerika Syarikat menembak jatuh dron milik Iran yang menghampiri sebuah kapal induk Amerika di Timur Tengah pada 3 Februari, ujar Washington dalam satu kenyataan.
Ketegangan baru di perairan strategik rantau itu membayangi rancangan rundingan nuklear kedua-dua negara.
Kejadian tersebut merupakan pertembungan kedua antara Amerika dengan Iran di perairan Asia Barat pada hari yang sama, selepas pasukan Iran didakwa cuba menahan sebuah kapal tangki dengan bendera Amerika di Selat Hormuz, laluan perkapalan paling penting dunia bagi eksport minyak.
Jurucakap Rumah Putih, Cik Karoline Leavitt, berkata rundingan nuklear yang dirancang masih diteruskan walaupun berlaku ketegangan ketenteraan itu.
Beliau memaklumkan bahawa utusan khas Amerika, Encik Steve Witkoff, dijangka tetap mengadakan perbincangan dengan pihak Iran dalam masa terdekat.
“Utusan kami masih dijangka mengadakan perbincangan dengan pihak Iran lewat minggu ini,” kata Cik Leavitt kepada Fox News.
Komando Pusat Amerika Syarikat (Centcom) mengesahkan sebuah jet pejuang F-35C yang beroperasi dari kapal induk USS Abraham Lincoln menembak jatuh dron Iran atas alasan mempertahankan diri.
“Jet pejuang F-35C dari USS Abraham Lincoln menembak jatuh dron Iran dalam tindakan mempertahankan diri,” kata jurucakap Centcom, Kapten Tim Hawkins, dalam satu kenyataan.
Kapal induk itu dihantar ke Laut Arab Januari lalu susulan peningkatan kehadiran ketenteraan Amerika di rantau tersebut, di tengah-tengah kebimbangan Washington terhadap tindakan Teheran, termasuk penindasan berdarah terhadap bantahan antipemerintah di Iran.
Ketegangan itu berlaku ketika Washington dan Teheran bersetuju memulakan rundingan nuklear baru, selepas Presiden Amerika Donald Trump berulang kali mengancam tindakan ketenteraan terhadap Iran.
Teheran pula memberi amaran sebarang serangan akan dibalas dengan serangan ke atas kapal dan pangkalan tentera Amerika di rantau itu.
Amerika sebelum ini melancarkan serangan udara ke atas tapak nuklear Iran pada 2025, satu langkah yang meningkatkan ketegangan dua hala secara mendadak.
Washington turut menghantar semula kumpulan tempur laut ke Timur Tengah sebagai isyarat tekanan ketenteraan.
Rundingan nuklear kini dijadual berlangsung pada 6 Februari, namun Encik Trump enggan menolak kemungkinan tindakan ketenteraan sekiranya rundingan gagal.
Presiden Iran, Encik Masoud Pezeshkian, pula menegaskan bahawa rundingan hanya akan diteruskan sekiranya bebas daripada ancaman.
“Saya telah mengarahkan menteri luar dengan syarat persekitaran yang sesuai wujud, iaitu bebas daripada ancaman dan tuntutan tidak munasabah, untuk meneruskan rundingan yang adil dan saksama,” tulis Encik Pezeshkian dalam satu hantaran di platform X.
Encik Pezeshkian turut mengesahkan beliau memberi lampu hijau kepada permulaan rundingan dengan Amerika, selepas Encik Trump memberi bayangan “perkara buruk” akan berlaku jika tiada perjanjian dicapai.
Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, memberitahu Encik Witkoff bahawa Iran “tidak boleh dipercayai”, ujar kenyataan dari pejabat Netanyahu selepas pertemuan mereka di Baitulmakdis.
Amerika menentang keras program nuklear Iran, yang menurut Washington berpotensi membawa kepada pembangunan senjata nuklear.
Iran sebaliknya menegaskan program tersebut bagi tujuan aman dan penyelidikan awam.
Washington turut menuntut Iran mengurangkan sokongan terhadap kumpulan proksi di rantau ini serta mengehadkan simpanan peluru berpandu balistiknya.
Teheran bagaimanapun berulang kali menegaskan bahawa sebarang rundingan hanya perlu tertumpu kepada isu nuklear, bukan keupayaan ketenteraan atau pertahanannya.
Walaupun kedua-dua pemimpin menyatakan komitmen terhadap rundingan, ketegangan di laut terus meningkat.
CENTCOM memaklumkan sebuah kapal tangki dengan bendera Amerika, M/V Stena Imperative, dicabar bot bersenjata Iran di Selat Hormuz.
Kapten Hawkins berkata dua bot Iran dan sebuah dron menghampiri kapal tersebut serta “mengancam untuk menaiki dan merampas kapal tangki berkenaan”.
Sebuah kapal pemusnah Amerika bertindak balas dengan sokongan udara dan mengiringi kapal tangki itu sehingga selamat meneruskan pelayaran.
Firma keselamatan maritim Britain, Vanguard Tech, melaporkan kapal tersebut dihampiri tiga pasangan bot kecil bersenjata milik Pengawal Revolusi Iran ketika berada kira-kira 16 batu nautika di utara Oman.
Kapal itu meningkatkan kelajuan dan mengekalkan haluan, serta tidak memasuki perairan Iran.
Bagaimanapun, agensi berita Fars milik Iran, melaporkan sebuah kapal, tanpa menyatakan kewarganegaraannya, telah memasuki perairan wilayah Iran dan diberi amaran sebelum beredar.
Iran terus bergelut dengan kesan bantahan besar-besaran susulan kenaikan kos sara hidup.
Bantahan yang bermula di Teheran pada Disember berkembang menjadi demonstrasi nasional dan mencetuskan tindakan keras berdarah oleh pihak berkuasa.
Pegawai Iran mengakui lebih 3,000 kematian sepanjang rusuhan, namun mendakwa kebanyakannya melibatkan anggota keselamatan dan orang awam, sambil menyalahkan “tindakan pengganas”.
Sebaliknya, pertubuhan pemantau hak asasi berpangkalan di Amerika melaporkan angka korban jauh lebih tinggi, sekali gus menambah tekanan antarabangsa terhadap Teheran. – Agensi berita.

