Iran sasar militan Kurdi di Iraq susulan laporan hubungan dengan AS-Israel

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Iran sasar militan Kurdi di Iraq susulan laporan hubungan dengan AS-Israel

Mar 5, 2026 | 4:14 PM

Iran sasar militan Kurdi di Iraq susulan laporan hubungan dengan AS-Israel

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Seorang anggota Peshmerga Kurdi Iran daripada Parti Demokratik Kurdistan Iran (KDPI) memeriksa kerosakan di Kem Azadi milik KDPI selepas serangan rentas sempadan oleh Iran di bandar Koye (Koysinjaq), di timur daerah Erbil dalam wilayah autonomi Kurdistan di utara Iraq, pada 3 Mac 2026. Wilayah Kurdistan menempatkan pasukan gabungan yang diketuai Amerika Syarikat, dan ibu kotanya, Erbil, turut menempatkan kompleks konsulat Amerika yang besar.
Seorang anggota Peshmerga Kurdi Iran daripada Parti Demokratik Kurdistan Iran (KDPI) memeriksa kerosakan di Kem Azadi milik KDPI selepas serangan rentas sempadan oleh Iran di bandar Koye (Koysinjaq), di timur daerah Erbil dalam wilayah autonomi Kurdistan di utara Iraq, pada 3 Mac 2026. Wilayah Kurdistan menempatkan pasukan gabungan yang diketuai Amerika Syarikat, dan ibu kotanya, Erbil, turut menempatkan kompleks konsulat Amerika yang besar. - Foto AFP

TEHERAN: Iran melancarkan operasi ketenteraan terhadap kumpulan Kurdi di wilayah separa autonomi Kurdistan di Iraq, ketika negara itu juga memulakan gelombang ke-19 serangan peluru berpandu dan dron terhadap Israel serta aset Amerika Syarikat di Asia Barat.

Serangan terbaru itu berlaku pada hari keenam konflik serantau yang semakin melebar dan melibatkan banyak negara di rantau tersebut.

Media pemerintah Iran, Press TV, melaporkan bahawa operasi itu menyasarkan kumpulan yang disifatkan sebagai “pasukan pemisah anti-Iran”, namun tidak menyatakan secara khusus lokasi serangan tersebut.

Serangan di wilayah Kurdistan Iraq itu berlaku hampir seminggu selepas perang antara Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran bermula. Menurut agensi berita separa rasmi Iran, Tasnim, sekurang-kurangnya 1,045 orang telah terbunuh di seluruh Iran sejak Sabtu lalu.

Rakaman video yang dimuat naik oleh Press TV di media sosial menunjukkan beberapa letupan besar menerangi langit malam ketika operasi tersebut berlangsung.

Media tempatan Iraq melaporkan beberapa letupan kuat di wilayah Sulaimaniyah di utara negara itu.
Sekurang-kurangnya empat letupan dilaporkan kedengaran berhampiran kawasan Arabat, Zarkuiz dan Surdash.

Sumber tempatan berkata serangan itu menyasarkan ibu pejabat Komala, sebuah kumpulan bersenjata Kurdi Iran yang beroperasi dari wilayah Kurdistan Iraq.

Serangan tersebut berlaku di tengah laporan bahawa kumpulan bersenjata Kurdi Iran telah mengadakan perbincangan dengan pegawai Amerika Syarikat mengenai kemungkinan melancarkan serangan terhadap pasukan keselamatan Iran di bahagian barat negara itu.

Menurut laporan Reuters, beberapa kumpulan Kurdi di kawasan sempadan Iran-Iraq sedang menjalani latihan untuk kemungkinan operasi tersebut bagi melemahkan kekuatan tentera Iran.
Bagaimanapun, agensi berita Tasnim menafikan laporan bahawa pejuang Kurdi telah menyeberangi sempadan dari Iraq ke Iran.

Pada masa sama, Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mengumumkan gelombang baharu serangan peluru berpandu dan dron terhadap Israel serta aset Amerika Syarikat di Asia Barat.

Serangan itu berlaku ketika tentera Israel meningkatkan operasi udara di Iran. Jurucakap tentera Israel berkata pasukan udara negara itu sedang melancarkan operasi besar di barat Iran. “Tentera udara Israel sedang beroperasi secara intensif di barat Iran bagi melemahkan kemampuan ketenteraan negara itu dan membuka laluan operasi menuju Teheran,” katanya.

Serangan udara juga dilaporkan mengenai puluhan kedudukan tentera, pos sempadan dan balai polis di kawasan sempadan utara Iran dengan Iraq.

Pegawai daripada Parti Kebebasan Kurdistan (PAK), Encik Khalil Nadiri, berkata sebahagian pejuang mereka telah dipindahkan ke kawasan berhampiran sempadan Iran di wilayah Sulaimaniyah.
“Kami telah menempatkan beberapa pasukan berhampiran sempadan Iran dan mereka kini bersedia sekiranya operasi diperlukan,” katanya.

Beliau turut mendedahkan bahawa beberapa pemimpin kumpulan pembangkang Kurdi telah dihubungi oleh pegawai Amerika Syarikat bagi membincangkan kemungkinan operasi tersebut.

Media Amerika Syarikat pula melaporkan bahawa Presiden Donald Trump telah menghubungi dua pemimpin kumpulan Kurdi Iran yang berpangkalan di utara Iraq dan menyatakan kesediaan Washington untuk menyokong kumpulan yang mahu menentang pemerintah Teheran.

Namun penganalisis memberi amaran bahawa sokongan kepada kumpulan etnik bersenjata di Iran boleh mencetuskan konflik dalaman yang lebih besar.

Pakar Asia Barat di Atlantic Council, Alia Brahimi, berkata strategi tersebut berpotensi mencetuskan ketidakstabilan serius dalam negara itu. “Jika pertempuran darat diserahkan kepada kumpulan pemisah etnik, Amerika Syarikat akan mempunyai lebih sedikit kawalan terhadap perkembangan di lapangan,” katanya.

Menurut beliau, langkah tersebut juga boleh menyebabkan rakyat Iran bersatu di belakang pemerintah Teheran. “Kita baru lima hari memasuki konflik ini, tetapi kita sudah melihat kesan berbahaya daripada ketiadaan strategi yang jelas,” tambahnya.

Sumber keselamatan Barat berkata operasi rahsia di kawasan barat laut Iran yang mempunyai populasi Kurdi telah dipergiatkan sejak konflik singkat antara Iran dan Israel tahun lalu.

Beberapa penganalisis turut percaya serangan dron jarak dekat terhadap kedudukan IRGC di sempadan Iran-Iraq baru-baru ini menunjukkan kemungkinan penglibatan perisikan Israel.

Seorang bekas pegawai pertahanan Amerika Syarikat berkata serangan tersebut mungkin bertujuan membuka “laluan akses” untuk membolehkan pejuang Kurdi menyeberangi sempadan ke Iran.

“Jika kuasa udara mencukupi dan operasi diselaraskan dengan baik, pasukan darat hanya perlu bergerak melalui kawasan yang telah dimusnahkan,” katanya. Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa operasi sedemikian bukan bertujuan menawan Teheran tetapi untuk melemahkan tentera Iran dan memaksa mereka berdepan tekanan di pelbagai kawasan.

Pada masa sama, kumpulan militan Baloch yang menentang pemerintah Teheran dilaporkan turut bergerak dari kawasan pergunungan di Pakistan menuju ke sempadan Iran.

Ketegangan di kawasan tenggara Iran semakin meningkat selepas beberapa serangan terhadap pasukan keselamatan negara itu dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Pemimpin Baloch Iran yang hidup dalam buangan di Eropah, Encik Nasser Bouledai, berkata banyak kumpulan pembangkang di Iran berharap mendapat sokongan antarabangsa. “Sesiapa yang menentang rejim ulama yang keras akan menerima sokongan Amerika Syarikat, tetapi sokongan itu perlu konsisten dan berterusan,” katanya.

Menurut beliau, dasar Amerika Syarikat terhadap kumpulan etnik di rantau itu sebelum ini sering berubah.
“Sudah tiba masanya Amerika Syarikat menyokong minoriti etnik dan agama di Iran secara serius bagi menamatkan krisis ini,” tambahnya. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg