Topic followed successfully
Go to BHkuIran sedia buka Selat Hormuz selama dua minggu
Iran sedia buka Selat Hormuz selama dua minggu
Trump: AS sedia bantu tangani kesesakan trafik perkapalan
Iran sedia buka Selat Hormuz selama dua minggu
TEHERAN/WASHINGTON: Iran mengumumkan akan menjamin laluan selamat bagi kapal di Selat Hormuz selama dua minggu, sebagai sebahagian daripada usaha meredakan ketegangan dan membuka ruang rundingan dengan Amerika Syarikat bagi menamatkan konflik.
Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, berkata laluan strategik itu akan dibuka secara terkawal dengan penyelarasan bersama angkatan tenteranya.
“Bagi tempoh dua minggu, laluan selamat melalui Selat Hormuz akan dibenarkan melalui penyelarasan dengan Angkatan Tentera Iran serta mengambil kira kekangan teknikal,” katanya.
Langkah itu dibuat menyusuli persetujuan gencatan senjata antara Teheran dengan Washington, yang dicapai hanya sejam sebelum tarikh akhir serangan besar-besaran yang ditetapkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump.
Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran memaklumkan rundingan antara kedua-dua negara itu dijadual bermula 17 April di Islamabad, Pakistan, dan akan berlangsung selama dua minggu dengan kemungkinan dilanjutkan.
“Tempoh rundingan ini boleh dilanjutkan melalui persetujuan bersama antara pihak-pihak terlibat,” ujar kenyataan majlis itu.
Teheran menegaskan bahawa pembukaan Selat Hormuz bersyarat, iaitu hanya akan diteruskan sekiranya semua bentuk serangan terhadap Iran dihentikan sepenuhnya.
Langkah itu dilihat sebagai usaha strategik Iran untuk menstabilkan keadaan di laluan perkapalan utama dunia itu sambil memberi ruang kepada diplomasi.
Encik Araghchi berkata keputusan itu dibuat menyusuli permintaan Amerika supaya mengadakan rundingan berdasarkan cadangan 15 perkara serta pengumuman oleh Encik Trump.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada negara yang terlibat sebagai perantara dalam usaha mencapai persetujuan tersebut.
“Bagi pihak Iran, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri Pakistan, Encik Shehbaz Sharif, atas usaha berterusan mereka dalam menamatkan konflik di rantau ini,” katanya.
Di Washington, Encik Trump berkata Amerika akan membantu mengurus kesesakan trafik perkapalan di Selat Hormuz bagi memastikan laluan tersebut berfungsi dengan lancar sepanjang tempoh gencatan senjata.
“Amerika akan membantu menangani kesesakan di Selat Hormuz. Banyak perkembangan positif akan berlaku,” katanya.
Beliau turut menyatakan keyakinan keadaan itu akan kembali stabil dan memberi manfaat ekonomi kepada rantau tersebut.
“Ini boleh menjadi era keemasan bagi Timur Tengah,” katanya.
Encik Trump turut memaklumkan bahawa Amerika akan mengekalkan kehadiran logistik bagi memastikan kelancaran operasi di laluan tersebut.
Nada Presiden Amerika itu sangat berbeza berbanding ancamannya minggu lalu untuk mengebom Iran hingga ia “kembali ke zaman batu” dan mengancam untuk melancarkan serangan besar-besaran terhadap Iran.
“Saya yakin semuanya akan berjalan lancar,” katanya.
Encik Trump mengumumkan kesediaan menggantung serangan ketenteraan terhadap Iran selama tempoh dua minggu, tertakluk kepada pembukaan penuh dan selamat Selat Hormuz oleh Iran.
Selat Hormuz merupakan antara laluan paling kritikal dalam perdagangan tenaga sejagat, mengendalikan sebahagian besar eksport minyak dunia.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, konflik di Timur Tengah telah menyebabkan laluan tersebut hampir lumpuh, sekali gus mendorong kenaikan harga minyak dan produk berkaitan di pasaran antarabangsa.
Pembukaan semula laluan itu dijangka membantu mengurangkan tekanan terhadap pasaran tenaga sejagat, walaupun hanya bersifat sementara. – Agensi berita.

