SPH Logo mobile
Langgan|

Iran selepas Khamenei: Mampukah Republik Islam bertahan tanpa tonggak kepimpinannya?

Iran selepas Khamenei: Mampukah Republik Islam bertahan tanpa tonggak kepimpinannya?

Tumpuan kini beralih kepada Majlis Pakar, badan dianggotai 88 ulama dan punya kuasa lantik Pemimpin Tertinggi
Mar 4, 2026 | 8:41 AM

Iran selepas Khamenei: Mampukah Republik Islam bertahan tanpa tonggak kepimpinannya?

iran, khamenei
Seorang wanita memegang plakad bergambar Allahyarham Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, dalam satu perhimpunan perpaduan bersama Iran selepas serangan Amerika Syarikat dan Israel yang mengorbankan Ali Khamenei, di Beirut, Lebanon, pada 1 Mac 2026. - Foto REUTERS

TEHERAN: Kematian Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, dalam serangan bersama Israel dan Amerika Syarikat ke atas Teheran menandakan detik paling genting dalam sejarah Republik Islam sejak Revolusi 1979.

Pengumuman itu tersebar pada petang Sabtu, 28 Februari dan dalam beberapa jam, suasana panik mula menyelubungi ibu kota.

Barisan panjang di stesen minyak, keluarga meninggalkan pusat bandar, dan gangguan Internet yang meluas mencerminkan betapa genting dan rapuhnya keadaan apabila lambang tertinggi kuasa negara tiba-tiba gugur dalam serangan yang mengejutkan.

Walaupun butiran awal kejadian itu masih sukar disahkan sepenuhnya, hakikatnya jelas.

Struktur politik Iran dibina berteras kuasa mutlak Pemimpin Tertinggi.

Sistem itu tidak direka untuk menghadapi penyingkiran secara mendadak dan ganas terhadap tokoh di puncaknya.

Encik Khamenei, 86 tahun, bukan sekadar pemimpin politik.

Selama lebih tiga dekad, beliau berfungsi sebagai pengimbang antara puak, penentu dasar strategik dengan simbol kesinambungan revolusi.

Persaingan Puak Kian Terserlah

Mengikut peruntukan Perlembagaan Republik Islam, sebuah majlis kepimpinan sementara dibentuk sejurus selepas pembunuhan beliau.

Majlis itu terdiri daripada Presiden Masoud Pezeshkian; Ketua Badan Kehakiman, Encik Gholam-Hossein Mohseni-Ejedi; dan Majlis Penjaga, Ayatollah Alireza Arafi.

Penubuhannya pantas dan mematuhi rangka kerja undang-undang.

Jurucakap Majlis Kepentingan Negara menjelaskan bahawa pemilihan Ayatollah Arafi adalah hasil undian dalaman bagi “mengimbangi pusat kuasa semasa tempoh peralihan dan memelihara kesatuan sistem serta kestabilan institusi negara”.

Namun, para penganalisis politik Iran menekankan terdapat jurang ketara antara kesahihan dari sudut perundangan dengan kemampuan sebenar untuk mentadbir negara secara berkesan dalam keadaan krisis.

Penyelidik politik, Encik Mohammad Razigi Musavi, menyifatkan majlis itu sebagai “penyelesaian sementara tetapi genting bagi mengekalkan kestabilan dalaman”, namun secara perlembagaan dan praktikalnya tidak mampu membuat keputusan strategik jangka panjang.

“Majlis ini boleh memastikan pentadbiran berjalan, tetapi ia tidak akan mampu membentuk dasar strategik atau perubahan besar,” katanya.

Kenyataan itu memberi gambaran jelas tempoh peralihan itu berpotensi menjadi medan persaingan kuasa yang sengit.

Ahli akademik Universiti Teheran, Dr Ali Ahmadian, turut mengakui keterbatasan tersebut.

“Majlis sementara bertujuan mengekalkan kestabilan institusi negara, tetapi keupayaannya terhad dalam mengurus dasar luar atau membuat keputusan strategik jangka panjang, khususnya dalam suasana tekanan Israel dan Amerika Syarikat,” katanya.

Di sebalik gambaran kesinambungan institusi, persaingan sebenar sedang berlaku.

Golongan konservatif yang tegar, kelompok pragmatik sederhana, serta Kor Pengawal Revolusi Islam sedang menilai peluang masing-masing untuk membentuk landskap pasca-Khamenei.

Penganalisis, Encik Hossein Rouyouran, menjelaskan bahawa tempoh peralihan itu “amat sensitif dan mungkin menyaksikan percubaan beberapa pihak untuk menonjolkan pengaruh masing-masing atau menyusun semula pakatan dalaman bagi mengukuhkan kedudukan mereka”.

Sasaran mereka jelas, memastikan Pemimpin Tertinggi baru mencerminkan kepentingan kumpulan masing-masing.

Majlis Pakar, badan yang dianggotai 88 ulama dan mempunyai kuasa melantik Pemimpin Tertinggi, kini dilihat sebagai medan paling kritikal dalam persaingan politik yang semakin memuncak.

Setiap kelewatan dalam pelantikan hanya menambah ketidakpastian.

Dalam budaya politik Iran, ketidakpastian bukan sekadar risiko, malah juga alat yang boleh dimanipulasi.

Dr Ahmadian berpandangan calon paling berkemungkinan ialah tokoh daripada kalangan institusi agama yang boleh diterima semua pihak dan menjanjikan kesinambungan sistem.

Namun, beliau menegaskan bahawa tokoh tersebut berkemungkinan tidak memiliki pengaruh politik mahupun kewibawaan peribadi yang setanding dengan Encik Khamenei, yang telah mengukuhkan kedudukannya sepanjang lebih tiga dekad menerajui negara.

Lebih penting, peluang untuk tokoh beraliran reformis atau sederhana muncul sebagai pilihan utama dilihat amat kecil.

Menurut penganalisis, dinamik dalaman sistem politik Iran secara semula jadi lebih cenderung mempertahankan kesinambungan sedia ada dan mengelakkan perubahan besar, khususnya ketika negara berdepan tekanan serta ancaman luar.

Kesan Serantau yang Mendalam

Kesan kekosongan kuasa di Teheran itu tidak terhad kepada sempadan Iran.

Pengaruh Iran di Lebanon melalui Hezbollah; di Yaman melalui Houthi; serta di Iraq dan Syria melalui pelbagai kumpulan bersenjata; bergantung kepada arahan strategik dan sokongan berterusan dari pusat.

Sebarang gangguan dalam rantaian arahan itu membuka ruang kepada musuh Iran.

Encik Musavi memberi amaran bahawa Israel mungkin melihat kelemahan sementara itu sebagai peluang mempercepat serangan terhadap prasarana ketenteraan Iran, khususnya di Syria dan Lebanon.

“Sebarang kelemahan sementara dalam sistem akan memberi Israel peluang mengeksploitasi keadaan dan mungkin melaksanakan operasi ketenteraan awal terhadap prasarana Iran,” katanya.

Amerika Syarikat pula dijangka meningkatkan tekanan terhadap majlis sementara berkaitan isu nuklear dan jaringan proksi serantau.

Selama ini, kewibawaan peribadi Encik Khamenei menjadi penentu batas dalam setiap rundingan, menetapkan sejauh manakah tolak ansur dicapai dan garis merah yang tidak boleh dilangkaui.

Tanpa kepimpinan seumpama itu, proses tawar-menawar berisiko menjadi lebih tidak menentu, dengan hala tuju yang kurang jelas serta potensi kesilapan strategik yang lebih besar.

Dr Ahmadian memberi amaran bahawa kesan kekosongan vakum politik itu “tidak akan terhad kepada Iran, bahkan akan merebak ke Iraq, Lebanon, Syria dan Yaman”.

Kelewatan dalam membuat keputusan strategik boleh mencetuskan peningkatan ketegangan ketenteraan dan penyusunan semula pakatan serantau.

Di dalam negara, tekanan ekonomi yang sedia ada kini bertambah berat.

Iran sudah berdepan sekatan antarabangsa, inflasi tinggi dan ketidakpuasan sosial.

Ketidakstabilan politik menambah risiko premium, menyebabkan gangguan bekalan bahan api, kenaikan harga makanan dan perpindahan penduduk dari ibu kota.

Pemimpin baru, apabila dilantik kelak, bukan sahaja mewarisi kuasa formal tertinggi, bahkan juga beban krisis yang menimbun.

Encik Rouyouran menegaskan bahawa pemimpin baru tersebut “mesti membuktikan keupayaannya mengurus fasa peralihan yang sarat dengan ancaman ekonomi, politik dan ketenteraan”, sambil mengekalkan pengaruh Iran di Iraq, Lebanon, Syria dan Yaman.

Pelantikan itu bukan sekadar penggantian ulama tertinggi. Ia adalah ujian sama ada seseorang individu mampu menyatukan dengan autoriti secepatnya bagi mengelakkan sistem daripada berpecah.

Ujian Terbesar Sejak 1979

Iran pernah melalui peralihan kuasa pada 1989 apabila Ayatollah Ruhollah Khomeini meninggal dunia dan Khamenei dilantik dalam suasana relatif stabil.

Institusi revolusi ketika itu masih kukuh dan persekitaran serantau lebih terkawal. Keadaan hari ini jauh berbeza.

Iran berdepan konflik serantau yang aktif, kebuntuan nuklear yang belum selesai, dan musuh yang baru sahaja menunjukkan kemampuan menyerang nadi negara.

Hakikatnya, Republik Islam kini memasuki mod kelangsungan hidup.

Soalnya bukan sekadar siapakah yang akan menjadi Pemimpin Tertinggi seterusnya, bahkan sama ada struktur institusi yang dibina untuk bertahan mampu menahan tekanan tanpa tokoh penyatu yang selama ini menjadi penimbang tara utama.

Seperti yang dirumuskan oleh Encik Rouyouran, “Ini bukan sekadar peralihan kepimpinan, tetapi satu ujian besar terhadap daya ketahanan keseluruhan sistem”.

Dengan kata lain, masa depan Republik Islam Iran kini bergantung pada keupayaannya membuktikan bahawa struktur dan institusinya mampu bertahan melangkaui pengaruh mana-mana individu, walaupun individu tersebut telah menerajui negara selama lebih tiga dekad dan menjadi tunjang utama kestabilannya. – Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg