WASHINGTON: Teheran bersetuju mencairkan stok uranium diperkaya sebagai pertukaran kepada pelonggaran sekatan serta penyambungan semula jualan minyak negara.

Demikian berdasarkan teks perjanjian yang bertujuan menamatkan konflik Timur Tengah.

Perjanjian yang dijangka ditandatangani di Switzerland pada 19 Jun itu turut membuka laluan kepada dana pembangunan semula Iran bernilai AS$300 bilion ($386.5 bilion) yang disokong negara serantau.

Dokumen perjanjian tersebut dikeluarkan pegawai Amerika dan media pemerintah Iran selepas beberapa bulan rundingan intensif bagi menghentikan ketegangan yang menggoncang Timur Tengah serta ekonomi sejagat sejak hampir empat bulan lalu.

Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, berkata perjanjian itu mungkin ditandatangani seawal 18 Jun atau selewat-lewatnya 19 Jun.

“Perjanjian yang dicapai bersama Iran pada 14 Jun akan ditandatangani tidak lama lagi, mungkin esok atau lusa,” katanya kepada wartawan ketika menghadiri sidang kemuncak Kumpulan Tujuh (G7) di Evian, Perancis.

Bagaimanapun, Encik Trump turut memberi amaran keras kepada Teheran supaya mematuhi perjanjian tersebut.

“Saya bersedia ‘mengebom (Iran) habis-habisan’ jika mereka melanggar perjanjian ini,” katanya.

Sebelum ini, perjanjian itu dijangka ditandatangani Speaker Parlimen Iran merangkap ketua perunding negara itu, Encik Mohammad Bagher Ghalibaf, bersama Naib Presiden Amerika, Encik J.D. Vance.

Namun, Iran memaklumkan pihaknya sedang mempertimbangkan cadangan supaya Presiden Iran dan Encik Trump sendiri menandatangani perjanjian bersejarah tersebut.

Walaupun Washington melihat perjanjian itu sebagai kejayaan besar diplomatik, Teheran pula menyifatkannya sebagai bukti kegagalan Amerika.

“Perjanjian ini adalah rekod kegagalan Amerika. Rakyat akan melihat dan menilainya sendiri,” kata Encik Ghalibaf menerusi televisyen pemerintah Iran.

Perjanjian itu menjadi langkah awal kepada rundingan lebih terperinci mengenai program nuklear Iran dan isu keselamatan serantau.

Di bawah syarat yang diumumkan Amerika, Iran akan mengurangkan tahap kepekatan uranium diperkaya miliknya kepada tahap lebih rendah menerusi proses pencampuran semula bahan nuklear itu di bawah pemantauan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

Seorang pegawai Amerika yang enggan dinamakan menyifatkan persetujuan Iran itu sebagai kemenangan besar Washington.

“Hakikat bahawa Iran bersetuju melakukan perkara itu adalah kemenangan yang sangat besar bagi Amerika Syarikat,” katanya.

Sebagai balasan, Amerika bersetuju melonggarkan sebahagian sekatan ekonomi dan memudahkan penyaluran dana pembangunan semula Iran bernilai AS$300 bilion sekiranya perjanjian muktamad program nuklear dicapai nanti.

Namun, pegawai itu menjelaskan Washington tidak diwajibkan menyumbang kewangan kepada dana tersebut.

Menurut teks perjanjian, Iran juga akan dibenarkan menyambung semula eksport minyak sebaik sahaja perjanjian ditandatangani minggu ini.

Semua sekatan dijangka ditarik balik sekiranya rundingan penuh berjaya dimuktamadkan selepas tempoh rundingan selama 60 hari.

Selepas perjanjian rasmi dimeterai, Selat Hormuz dijangka dibuka semula dalam tempoh terdekat.

Selat strategik itu menjadi laluan utama penghantaran minyak dan gas dunia sebelum ditutup susulan konflik serantau baru-baru ini.

Perkembangan tersebut memberi kesan besar kepada pasaran sejagat.

Harga minyak dunia yang sebelum ini merosot susulan harapan terhadap perdamaian Timur Tengah kembali melonjak hampir 5 peratus pada 17 Jun apabila timbul ketidaktentuan mengenai proses pemeteraian perjanjian.

Bagaimanapun harga kemudian kembali stabil.

China turut menekankan kepentingan semua pihak mematuhi komitmen masing-masing.

Beijing berkata Menteri Luarnya mengingatkan Teheran bahawa pelaksanaan perjanjian secara “ikhlas dan konsisten” amat penting demi kestabilan serantau.

Walaupun konflik mula reda, ketegangan di beberapa kawasan masih berterusan terutama di Lebanon.

Media pemerintah Lebanon melaporkan sekurang-kurangnya lima orang terbunuh akibat serangan Israel di selatan negara itu sejak pengumuman perjanjian Amerika-Iran dibuat.

Tentera Israel pula berkata lima anggotanya cedera, termasuk seorang parah, akibat serangan dron peledak di selatan Lebanon.

Ia menjadi pengumuman pertama seumpama itu sejak perjanjian Amerika-Iran diumumkan.

Tentera Israel turut memaklumkan tenteranya berjaya memintas beberapa roket yang dilancarkan ke arah pasukan mereka di selatan Lebanon.

Sementara itu, pemimpin Hezbollah, Encik Naim Qassem, menyifatkan perjanjian tersebut sebagai “kemenangan besar” buat Iran.

Beliau berterima kasih kepada Teheran kerana memastikan Lebanon turut dimasukkan dalam rundingan tersebut selepas Hezbollah melancarkan serangan roket terhadap Israel pada 2 Mac lalu sebagai tanda sokongan kepada Iran.

Dalam ucapan televisyen, Encik Qassem menggesa penyokong Hezbollah memanfaatkan perjanjian itu untuk “mengusir Israel” dari Lebanon.

Namun di Amerika, perjanjian tersebut menerima kritikan keras termasuk daripada Senator Republikan, Encik Bill Cassidy.

“Iran tidak benar-benar disekat daripada cita-cita nuklearnya dan mereka belajar bahawa ancaman terhadap Selat Hormuz berhasil,” katanya.

“Sekatan akan ditarik balik dan pengeboman dihentikan. Ini adalah kesilapan dasar luar paling buruk dalam beberapa dekad,” ujarnya.

Walaupun perjanjian itu belum dimuktamadkan sepenuhnya, banyak pihak melihatnya sebagai titik perubahan penting dalam usaha meredakan salah satu konflik paling berbahaya di Timur Tengah sejak beberapa tahun kebelakangan ini. – Agensi berita.