Negara Arab kini tidak mahu AS serang Iran
Serangan dianggap bukan sebagai usaha stabilkan rantau tetapi lanjutan langsung peluasan kuasa Israel
TEHERAN: Beberapa tahun lalu, idea serangan ketenteraan Amerika Syarikat untuk menukar rejim di Iran mungkin disambut baik oleh sebahagian besar negara Arab, khususnya di Teluk. Iran ketika itu dilihat sebagai ancaman utama serantau, sumber ketidakstabilan dan pengaruh geopolitik yang mencabar kepentingan Arab serta Barat.
Namun landskap itu kini berubah dengan ketara. Ketika Presiden Amerika, Encik Donald Trump, dilaporkan mempertimbangkan serangan ke atas Iran, pemimpin Arab, termasuk pemerintah Teluk yang sebelum ini bermusuhan dengan Teheran, kini melobi Washington supaya tidak melancarkan serangan.
Perubahan ini bukan bersifat taktikal semata-mata, sebaliknya mencerminkan satu peralihan struktur dalam cara negara Arab menilai ancaman serantau.
Profesor Mohamad Elmasry, dari Pengajian Media di Institut Pengajian Pascasiswazah Doha, berkata selama 27 bulan kebelakangan ini pemimpin Arab menyaksikan kempen ketenteraan Israel yang meluas di seluruh rantau ini, selari dengan apa yang beliau gambarkan sebagai projek “Israel Raya”.
Visi peluasan wilayah ini, yang berakar dalam tafsiran keagamaan dan geopolitik Israel, merangkumi kawasan dari Sungai Euphrates di Iraq hingga Sungai Nil di Mesir. Dalam tempoh ini, Israel bukan sahaja melaksanakan apa yang digambarkan banyak pihak sebagai genosid di Gaza, malah secara terbuka menyatakan hasrat untuk menguasai wilayah tersebut.
Pada masa sama, cengkaman Israel di Tebing Barat semakin kukuh, manakala serangan dan pencerobohan ke atas Syria serta Lebanon turut meningkat. Bagi pemimpin Arab, corak ini menandakan satu bentuk peluasan kuasa yang semakin tidak terkawal.
Kebimbangan memuncak pada September 2025 apabila Israel melancarkan serangan ke atas Qatar, sebuah negara Arab dan sekutu rapat Amerika. Serangan itu dianggap luar biasa kerana ia melibatkan sebuah negara Teluk yang selama ini memainkan peranan sebagai pengantara diplomatik utama.
Beberapa bulan sebelum itu, pada Jun, Israel berjaya meyakinkan Washington untuk mengebom Iran dalam serangan yang menyasarkan program nuklear Teheran. Matlamatnya jelas: memastikan Israel kekal sebagai satu-satunya kuasa nuklear di rantau ini.
Dalam konteks ini, serangan baru Amerika Syarikat ke atas Iran dilihat oleh negara Arab bukan sebagai usaha menstabilkan rantau tetapi sebagai lanjutan langsung kepada peluasan kuasa Israel.
Iran yang lemah bukan alasan untuk dimusnahkan
Walaupun Israel cuba menjauhkan diri daripada serangan langsung Amerika terhadap Iran, terdapat petunjuk bahawa Tel Aviv terlibat secara aktif dalam menyemarakkan bantahan antirejim di Iran.
Awal bulan Januari, bekas Setiausaha Negara Amerika, Encik Mike Pompeo, dan Menteri Warisan Israel, Encik Amichai Eliyahu, secara terbuka mendakwa bahawa ejen Israel membantu menyokong gerakan bantahan dari barisan hadapan.
Saluran televisyen Israel Channel 14 pula membayangkan bahawa Israel membekalkan senjata kepada penunjuk perasaan, yang dilaporkan telah mengorbankan puluhan anggota keselamatan Iran.
Bagi negara Arab, laporan-laporan ini dibaca dalam konteks sejarah panjang usaha Israel mendesak Amerika Syarikat menukar rejim di Iran, serta rekod Washington dalam operasi rahsia yang sering meninggalkan kekacauan serantau.
Namun, faktor yang lebih penting ialah hakikat bahawa Iran kini sudah pun berada dalam keadaan lemah.
Sejak 2023, ekonomi Iran lumpuh akibat sekatan, keupayaan ketenteraannya terjejas akibat serangan Amerika dan Israel, manakala rangkaian sekutu proksinya semakin rapuh.
Kejatuhan Bashar al-Assad di Syria pada Disember 2024 dan kelemahan besar Hezbollah di Lebanon mengukuhkan lagi persepsi bahawa Iran tidak lagi berada di kemuncak kuasanya.
Bagi kerajaan Arab, keadaan ini menjadikan serangan lanjut bukan sahaja tidak perlu, malah berisiko tinggi.
Iran yang lemah mungkin boleh diurus, tetapi Iran yang runtuh sepenuhnya berpotensi mencetuskan kekacauan serantau yang jauh lebih buruk.
Negara Teluk memerlukan kestabilan bagi melindungi keselamatan dan kepentingan ekonomi mereka.
Serangan ke atas Iran, apatah lagi tindak balas Teheran, boleh menjejaskan harga minyak dan gas secara drastik.
Kebimbangan utama ialah Selat Hormuz, laluan penting bagi eksport tenaga global. Sebarang gangguan di situ akan memberi kesan langsung kepada ekonomi Teluk dan pasaran dunia. Mesir pula bimbang kejatuhan rejim Iran boleh meningkatkan ketidakstabilan di Laut Merah dan Terusan Suez, nadi ekonomi negara itu.
Pada masa sama, hubungan diplomatik Arab-Iran juga telah bertambah baik. Arab Saudi dan Iran memulihkan hubungan pada 2023, dan kerjasama semakin rapat selepas serangan Israel ke atas Qatar. Hubungan Teheran dengan Kahirah juga menunjukkan tanda pemulihan.
Perubahan ini berlaku kerana Israel kini dilihat sebagai ancaman yang lebih mendesak berbanding Iran.
Dengan pengecualian Amiriah Arab Bersatu (UAE), semakin banyak rejim Arab menilai Israel sebagai kuasa paling mengganggu kestabilan rantau.
Keberanian Israel melanggar sempadan, mengabaikan norma antarabangsa dan mengejar hegemoni serantau telah mengubah sepenuhnya penilaian risiko negara Arab.
Negara Teluk: Lebih berhati-hati
Di Israel, kejatuhan rejim Iran tetap dilihat dengan harapan. Encik Elliott Abrams, zamil kanan di Majlis Hubungan Luar (CFR) ‘Arab Spring’, turut menghantui pemikiran strategik Israel. Protes besar sering gagal menghasilkan perubahan struktur, malah kadangkala digantikan dengan autoritarianisme baru yang tidak kurang bermusuhan.
Tambahan pula, Israel bimbang rundingan baru Amerika-Iran akan mengulangi kesilapan perjanjian asal Pelan Tindakan Menyeluruh Bersama (JCPOA) yang ditandatangani pada 2015 sewaktu era mantan Presiden Amerika, Encik Barack Obama, yang ketika itu dilihat sebagai langkah terbaik mengawal program nuklear Iran melalui rundingan diplomasi. Menurut Tel Aviv JCPOA ini hanya menangguhkan ancaman nuklear tanpa menangani isu peluru berpandu dan rangkaian proksi Iran.
Kesan berbeza ke atas Negara Teluk jika Iran tumbang
Menurut Zamil Kanan bagi Pengajian Asia Barat dan Afrika Utara di CFR, Encik Steven A. Cook, negara Teluk seperti Arab Saudi, UAE dan Qatar berpotensi mendapat manfaat jika rejim Iran tumbang, tetapi mereka juga akan menanggung risiko terbesar akibat kekacauan yang menyusul.
Sejak bantahan tercetus, pemimpin Teluk mengambil pendekatan berdiam diri. Walaupun protes lebih sengit berbanding kebangkitan lalu, pandangan umum mereka ialah kepimpinan Iran masih berupaya bertahan.
Selepas krisis berlalu, negara Teluk dijangka berdepan Iran yang lebih lemah dan mungkin lebih tidak menentu. Jika rejim benar-benar runtuh, keutamaan mereka bukan kemenangan geopolitik, tetapi melindungi kestabilan domestik masing-masing.
Satu-satunya pengecualian ialah Oman, yang terus memainkan peranan sebagai pengantara. Pertemuan Menteri Luar Oman, Encik Badr bin Hamad Al Busaidi, dengan rakan sejawat Iran pada Januari mencerminkan keinginan mengekalkan dialog dan mengelak peningkatan ketegangan.
Ironinya, sikap agresif Israel dan sokongan Amerika terhadapnya kini berpotensi menyatukan rantau Arab yang selama ini berpecah. Bukan atas dasar kepentingan bersama sepenuhnya, tetapi atas kesedaran terhadap ancaman yang semakin jelas.
Bagi negara Arab, serangan ke atas Iran bukan lagi jawapan. Ancaman sebenar, dalam penilaian baharu mereka, ialah peluasan kuasa tanpa had yang berisiko menjerumuskan seluruh Asia Barat ke dalam kitaran konflik yang lebih luas dan tidak terkawal. – Agensi berita.

