Topik diikuti
Pergi ke BHkuIran tegaskan Selat Hormuz kini ditadbir Teheran susulan rundingan di Switzerland capai kemajuan
Iran tegaskan Selat Hormuz kini ditadbir Teheran susulan rundingan di Switzerland capai kemajuan
Ketua perunding Iran sifatkan rundingan bagi tamat konflik Amerika Syarikat-Israel bawa pencapaian baik termasuk isu sekatan minyak, pembebasan dana
Iran tegaskan Selat Hormuz kini ditadbir Teheran susulan rundingan di Switzerland capai kemajuan
TEHERAN: Ketua perunding Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf, berkata Selat Hormuz akan ditadbir oleh Teheran, lapor media pemerintah pada 23 Jun, susulan rundingan untuk menamatkan perang Amerika Syarikat-Israel ke atas negara tersebut.
Iran dan Amerika bersetuju pada 22 Jun untuk menubuhkan talian komunikasi bagi memastikan laluan perkapalan penting itu terbuka dan menamatkan pertempuran di Lebanon, kata pengantara, selepas pusingan pertama rundingan mereka di Switzerland untuk menamatkan konflik yang telah melanda Timur Tengah.
“Selat Hormuz tidak akan kembali kepada keadaan praperangnya dan akan ditadbir oleh Iran berdasarkan undang-undang antarabangsa,” kata Encik Ghalibaf sekembalinya daripada rundingan, menurut agensi berita pemerintah Iran, Irna.
Dalam video yang disiarkan menerusi akaun Telegram Encik Ghalibaf, berkata rundingan di pusat peranginan mewah Burgenstock di Switzerland berakhir dengan “pencapaian yang baik”.
“Pada pandangan saya, rundingan ini telah menghasilkan pencapaian yang baik, terutamanya mengenai perbincangan Selat Hormuz, perbincangan mengenai Lebanon, persoalan pengecualian minyak, dan perkara pembebasan dana yang dibekukan,” katanya.
Amerika menggantung sementara sekatan ke atas minyak Iran pada 22 Jun selepas Naib Presiden Amerika, Encik J.D. Vance, berkata Teheran akan membenarkan pemeriksa nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kembali ke negara itu, susulan rundingan tersebut.
Sebagai sebahagian perjanjian itu, Teheran juga bakal mendapat beberapa bentuk pelepasan sekatan daripada Washington serta pembebasan aset.
“Sudah tentu, kami percaya kami masih di permulaan kerja ini dan mesti meneruskan usaha kami,” tambah Encik Ghalibaf dalam video itu.
Media pemerintah Iran melaporkan Encik Ghalibaf telah singgah di Oman, yang berkongsi Selat Hormuz.
Laluan air itu, yang ditutup oleh Iran pada permulaan perang, dibuka semula minggu lalu, selepas Washington dan Teheran mencapai persetujuan.
Tetapi Teheran mengumumkan pada 20 Jun ia telah menutup selat itu sekali lagi sebagai tindak balas terhadap serangan Israel ke atas Lebanon.
Sejak itu, Teheran dan Washington bersetuju mewujudkan saluran komunikasi “bagi mengelakkan kejadian dan salah faham dengan tujuan laluan selamat untuk kapal komersial” melalui laluan air itu, menurut pengantara Qatar dan Pakistan.
Trafik maritim di selat itu terus meningkat pada 22 Jun pada kadar lebih pantas berbanding sebelum perjanjian Amerika-Iran mengenai rundingan menamatkan perang, menurut firma penjejakan perkapalan. - AFP
