Topic followed successfully
Go to BHkuIran teliti usul AS tamat perang, tapi tuntutan belum selesai
Iran teliti usul AS tamat perang, tapi tuntutan belum selesai
Trump yakin perang bakal berakhir, harga minyak dunia merosot
Iran teliti usul AS tamat perang, tapi tuntutan belum selesai
ISLAMABAD: Iran pada 6 Mei memaklumkan pihaknya sedang meneliti usulan damai Amerika Syarikat, yang menurut sumber, akan menamatkan peperangan secara rasmi, tanpa menyelesaikan tuntutan utama Amerika termasuk penggantungan program nuklear Iran dan pembukaan semula Selat Hormuz.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, yang dipetik oleh agensi berita, Isna, berkata Teheran akan menyampaikan maklum balas mereka berhubung perkara itu.
Presiden Amerika, Encik Donald Trump, menyatakan beliau percaya Iran mahukan satu kata sepakat tercapai.
“Mereka mahu memeterai perjanjian. Kami telah mengadakan perbincangan sangat baik dalam tempoh 24 jam lalu, dan terdapat kemungkinan besar kami akan mencapai satu perjanjian,” kata Encik Trump kepada wartawan di Pejabat Oval pada 6 Mei.
Pada awal 6 Mei, Encik Trump kelihatan tidak begitu yakin mengenai peluang memeterai perjanjian tersebut.
Menerusi hantaran di laman Truth Social, beliau mengancam memulakan semula kempen pengeboman Amerika di Iran, selain menyifatkan kemungkinan Teheran bersetuju dengan usulan terbaru Amerika itu sebagai satu ‘andaian besar’.
Encik Trump telah berulang kali memberi penekanan terhadap prospek perjanjian bagi menamatkan peperangan yang bermula pada 28 Februari lalu, namun setakat ini ia masih belum membuahkan hasil.
Kedua-dua pihak masih tidak sepakat mengenai pelbagai isu rumit, seperti impian nuklear Iran dan kawalannya ke atas laluan perkapalan Selat Hormuz.
Sebelum perang meletus, selat tersebut mengendalikan satu perlima daripada bekalan minyak dan gas dunia.
Satu sumber dari Pakistan dan satu lagi sumber yang mempunyai maklumat mengenai rundingan itu berkata persetujuan hampir dicapai bagi memorandum satu halaman yang akan menamatkan konflik tersebut secara rasmi.
Memorandum itu akan memulakan perbincangan untuk membuka semula laluan perkapalan melalui selat berkenaan, menarik balik sekatan Amerika ke atas Iran dan menetapkan had terhadap program nuklear Iran, menurut sumber berkenaan.
Namun, masih belum jelas bagaimana memorandum itu berbeza daripada pelan 14 perkara yang dicadangkan Iran minggu lalu, dan Teheran juga masih belum memberikan maklum balas terhadap cadangan terbaru Amerika.
Ahli politik Iran, Encik Ebrahim Rezaei, yang juga jurucakap Jawatankuasa Dasar Luar dan Keselamatan Negara, menyifatkan memorandum tersebut sebagai “lebih kepada senarai harapan Amerika berbanding realiti”.
Speaker Parlimen Iran, Encik Mohammad Baqer Qalibaf, pula dilihat seolah-olah memperlekehkan laporan yang menunjukkan kedua-dua pihak sudah hampir mencapai kata sepakat.
Beliau menyifatkan laporan sedemikian hanyalah propaganda Amerika menyusuli kegagalan negara itu untuk membuka semula Selat Hormuz bagi trafik perkapalan.
Laporan mengenai kemungkinan perjanjian itu menyebabkan harga minyak sejagat merosot ke paras terendah dalam tempoh dua minggu.
Minyak mentah Brent yang menjadi penanda aras hadapan sedunia, susut sekitar 11 peratus kepada sekitar $98 setong pada satu ketika, sebelum melonjak semula melepasi paras $100.
Harga saham sejagat turut meningkat manakala hasil bon merosot berikutan keyakinan pelabur terhadap tamatnya perang yang telah mengganggu bekalan tenaga dunia.
Sumber yang mempunyai maklumat mengenai rundingan tersebut memaklumkan rundingan pihak Amerika diketuai utusan Encik Trump, Encik Steve Witkoff, dan menantu beliau, Encik Jared Kushner.
Sekiranya kedua-dua pihak bersetuju dengan perjanjian awal ini, ia akan memulakan tempoh 30 hari bagi rundingan terperinci untuk mencapai satu perjanjian penuh.
Perjanjian penuh tersebut akan menamatkan tindakan saling menyekat oleh Amerika dan Iran di selat berkenaan, menarik balik sekatan Amerika, serta mencairkan dana Iran yang dibekukan, selain merangkumi beberapa had terhadap program nuklear Iran. – Reuters.
