Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump perketat sekatan terhadap Iran, halang program nuklear

Feb 5, 2025 | 2:03 PM
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump (kiri), mengembalikan kempen ‘tekanan maksimum’ ke atas Iran menjelang pertemuannya dengan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu (kanan), di Rumah Putih, sekali gus mengukuhkan pendirian tegas pentadbirannya dalam dasar berkait Asia Barat.
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump (kiri), mengembalikan kempen ‘tekanan maksimum’ ke atas Iran menjelang pertemuannya dengan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu (kanan), di Rumah Putih, sekali gus mengukuhkan pendirian tegas pentadbirannya dalam dasar berkait Asia Barat. - Foto EPA-EFE

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, sekali lagi memperkukuh dasar “tekanan maksimum” terhadap Iran dalam usaha menyekat eksport minyak negara itu dan menghalangnya daripada memperoleh senjata nuklear.

Langkah itu diumumkan menjelang pertemuannya dengan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, menandakan kembalinya pendirian keras Washington terhadap Teheran seperti yang dilakukan dalam penggal pertamanya.

Encik Trump menandatangani memorandum presiden yang mengembalikan sekatan ekonomi ketat terhadap Iran, termasuk usaha mengurangkan eksport minyaknya kepada sifar.

Semasa menandatangani dokumen itu, beliau mengakui keputusannya sukar tetapi menegaskan bahawa pendekatannya terhadap Iran adalah jelas.

“Bagi saya, ia sangat mudah, Iran tidak boleh memiliki senjata nuklear,” katanya.

Ketika ditanya mengenai sejauh mana Iran dalam membangunkan senjata nuklear, Encik Trump menjawab: “Mereka terlalu hampir.”

Iran setakat ini belum memberikan sebarang maklum balas rasmi terhadap pengumuman tersebut.

Bagaimanapun, dasar baru itu dijangka meningkatkan ketegangan antara kedua-dua negara, terutama selepas Encik Trump menuduh mantan Presiden Joe Biden gagal menguatkuasakan sekatan minyak dengan ketat.

Ini menurutnya telah memberi peluang kepada Teheran untuk terus membiayai program nuklearnya serta menyokong militia bersenjata di Timur Tengah.

Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) sebelum ini mendedahkan bahawa Iran sedang mempercepatkan pengayaan uranium kepada tahap 60 peratus ketulenan, hampir mencecah 90 peratus yang diperlukan untuk membina senjata nuklear.

Namun, Iran menafikan sebarang niat untuk membangunkan senjata tersebut dan menegaskan bahawa program nuklearnya bertujuan untuk kegunaan tenaga serta penyelidikan saintifik.

Memorandum yang ditandatangani oleh Encik Trump memberi kuasa kepada Setiausaha Perbendaharaan Amerika untuk mengenakan tekanan ekonomi maksimum terhadap Iran.

Ini termasuk pelaksanaan sekatan ke atas mana-mana pihak yang melanggar peraturan sedia ada dan usaha memperhebatkan tindakan penguatkuasaan

Selain itu, Jabatan Perbendaharaan dan Jabatan Negara Amerika telah diarahkan menjalankan kempen agresif bagi mengurangkan eksport minyak Iran kepada sifar.

Langkah itu berpotensi memberi kesan besar kepada Iran memandangkan eksport minyak merupakan sumber utama pendapatan negara itu.

Pada 2023, hasil eksport minyak Iran dianggarkan sebanyak AS$53 bilion ($71.6 bilion) dan meningkat kepada AS$54 bilion pada 2024, dengan tahap pengeluaran minyak tertinggi sejak 2018.

Encik Trump sebelum ini telah berjaya menurunkan eksport minyak Iran ke paras hampir sifar menerusi sekatan yang ketat, namun jumlah eksport meningkat semula di bawah pentadbiran Encik Biden selepas Teheran berjaya mencari jalan mengelakkan sekatan tersebut.

China, sebagai pembeli terbesar minyak Iran, tidak mengiktiraf sekatan yang dikenakan oleh Amerika.

Beijing dan Teheran telah membina sistem perdagangan alternatif yang menggunakan mata wang yuan serta rangkaian perantara bagi mengelakkan transaksi dalam dolar Amerika dan mengelak daripada dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa Amerika.

Penganalisis tenaga dari ClearView Energy, Kevin Book, menyatakan bahawa pentadbiran Trump berkemungkinan akan menggunakan Akta Stop Harboring Iranian Petroleum (SHIP) 2024 untuk menyekat lagi eksport minyak Iran.

Di bawah undang-undang itu, Washington boleh mengenakan sekatan terhadap pelabuhan dan kilang penapisan luar negara yang memproses minyak Iran secara haram.

Beberapa syarikat China, termasuk Shandong Port Group, telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan melarang kapal tangki yang dikenakan sekatan Amerika daripada berlabuh di pelabuhan wilayah timur China, menunjukkan kesan awal penguatkuasaan akta tersebut.

Selain langkah domestik, Encik Trump turut mengarahkan duta Amerika ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bekerjasama dengan sekutu dalam usaha mengaktifkan semula sekatan antarabangsa terhadap Iran.

Langkah itu merujuk kepada mekanisme ‘snapback’ atau “pengembalian sekatan secara automatik” di bawah perjanjian nuklear 2015 yang membolehkan sekatan antarabangsa dikenakan semula sekiranya Teheran melanggar komitmennya terhadap kawalan nuklear.

Amerika Syarikat telah menarik diri daripada perjanjian tersebut pada 2018 semasa penggal pertama Trump, dan sejak itu, Iran semakin menjauhi komitmen nuklear yang dipersetujui.

Usaha Trump untuk mengaktifkan sekatan semula pada 2020 sebelum ini ditolak oleh Majlis Keselamatan PBB.

Bagaimanapun, negara Eropah seperti Britain, Perancis dan Jerman telah memberi amaran kepada PBB bahawa mereka bersedia untuk melaksanakan sekatan semula sekiranya Iran terus mempercepatkan program nuklearnya.

Sekatan ini hanya boleh dikenakan sehingga 18 Oktober 2025 sebelum tempoh sah ketetapan PBB 2015 berakhir.

Duta Iran ke PBB, Encik Amir Saeid Iravani, menyifatkan sebarang usaha untuk mengaktifkan semula sekatan antarabangsa sebagai “tidak sah dan tidak produktif”.

Beliau turut menekankan bahawa tindakan sedemikian hanya akan meningkatkan ketegangan dan menjejas sebarang rundingan diplomatik pada masa hadapan.

Diplomat dari Eropah dan Iran sebelum ini telah mengadakan beberapa pertemuan untuk mencari jalan mengurangkan ketegangan serantau, termasuk isu program nuklear Teheran.

Namun, ketidakpastian mengenai dasar luar Amerika terhadap Iran selepas kepulangan Encik Trump ke pentas politik menjadikan masa depan perbincangan ini lebih sukar diramalkan.

Seorang diplomat Eropah yang enggan dikenali berkata:

“Perubahan dasar ini sudah dijangka, tetapi ia meletakkan rundingan diplomatik dalam kedudukan lebih sukar.

“Iran mungkin akan bertindak balas dengan meningkatkan lagi kegiatan nuklearnya, dan ini hanya akan memburukkan keadaan.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg