SPH Logo mobile
Langgan|

Iran tolak rundingan meski AS dakwa usaha damai berterusan

Iran tolak rundingan meski AS dakwa usaha damai berterusan

Mar 26, 2026 | 12:16 PM

Iran tolak rundingan meski AS dakwa usaha damai berterusan

rundingan iran
Ramai rakyat Iran mengibarkan bendera kebangsaan dan memegang potret pemimpin tertinggi, Encik Mojtaba Khamenei, ketika berarak bagi menyatakan sokongan kepada angkatan tentera di pusat bandar Teheran pada 25 Mac. - Foto AFP

TEHERAN: Iran dilaporkan sedang meneliti cadangan yang dikemukakan oleh Amerika Syarikat bagi menamatkan perang yang semakin meluas di Asia Barat.

Bagaimanapun ia menegaskan, tidak bercadang mengadakan rundingan secara langsung dengan Washington walaupun Rumah Putih mendakwa rundingan itu “berterusan” dan “produktif”.

Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, berkata pertukaran mesej melalui perantara tidak boleh dianggap sebagai rundingan rasmi antara kedua-dua negara.

“Pertukaran mesej ini tidak bermaksud kami sedang berunding dengan Amerika Syarikat,” katanya dalam kenyataan di televisyen negara.

Menurut Encik Araghchi, cadangan yang dikemukakan oleh pihak Amerika telah disampaikan kepada kepimpinan tertinggi Iran untuk dipertimbangkan, dan sebarang pendirian rasmi akan diumumkan kemudian.

Pegawai Pakistan sebelum itu berkata Islamabad telah menyampaikan kepada Teheran pelan 15 perkara Amerika bagi menghentikan pertempuran yang bermula pada 28 Februari akibat serangan Amerika-Israel ke atas Iran dan sejak itu merebak ke seluruh rantau.

Televisyen pemerintah Iran, ‘Press TV’, memetik seorang pegawai tidak dinamakan sebagai berkata Teheran telah “memberi respons negatif” terhadap pelan berkenaan dan perang hanya akan berakhir mengikut syarat Iran, termasuk jaminan agar serangan tidak berulang pada masa depan.

“Kami mahu perang ini tamat mengikut syarat kami sendiri,” kata Encik Araghchi, “dan dengan cara yang memastikan ia tidak akan berulang lagi”.

Ketika ribuan lagi tentera Amerika dilaporkan sedang menuju ke Timur Tengah, Iran turut mengancam membuka medan baharu dengan menyasarkan perkapalan di Laut Merah jika Amerika melancarkan pencerobohan darat.

Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, menegaskan Iran sedang menyertai rundingan damai, sambil mendakwa penafian Teheran berpunca daripada ketakutan perunding Iran dibunuh oleh pihak mereka sendiri.

“Mereka sedang berunding, dan mereka begitu ingin mencapai perjanjian. Tetapi mereka takut untuk mengakuinya, kerana mereka bimbang akan dibunuh oleh rakyat mereka sendiri.

“Pada masa yang sama, mereka juga takut akan dibunuh oleh pihak kami,” kata Encik Trump semasa majlis makan malam bersama ahli Kongres daripada Parti Republikan.

Kenyataan Encik Trump itu dibuat selepas Encik Araghchi, menyatakan pihaknya tidak berniat untuk berunding.

Encik Trump mengulangi dakwaannya bahawa Iran semakin ‘tersepit’ dalam konflik yang kini memasuki minggu keempat, walaupun Teheran masih mengekalkan kawalan berkesan ke atas laluan minyak penting di Selat Hormuz.

Rumah Putih sebelum ini menyatakan Encik Trump berjanji Iran akan merasai ‘neraka dunia’ jika tidak mengaku kalah, sambil menegaskan Teheran masih menyertai rundingan.

Media rasmi Iran sebelum ini memetik seorang pegawai tidak dikenali bahawa republik Islam itu memberi maklum balas ‘negatif” terhadap laporan pelan 15 perkara daripada Washington.

Laporan juga mencadangkan perantara pentadbiran Encik Trump ialah Encik Mohammad Bagher Ghalibaf, Speaker Parlimen Iran, dan antara tokoh bukan pemimpin agama paling berpengaruh di negara itu.

Rumah Putih juga enggan mengesahkan laporan sama ada pegawai kanan Amerika termasuk Naib Presiden Amerika, Encik JD Vance, dijangka mengadakan rundingan dengan pihak Iran di Pakistan, yang muncul sebagai perantara utama.

Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Cik Karoline Leavitt, berkata jika Iran gagal menerima hakikat semasa, Encik Trump akan memastikan mereka menerima serangan yang lebih dahsyat berbanding sebelum ini.

“Presiden Trump tidak menggertak dan beliau bersedia mengambil tindakan tegas.

“Iran tidak seharusnya membuat kesilapan lagi,” katanya, sambil menambah perbincangan masih diteruskan.

Encik Trump katanya mengutamakan ketetapan damai dengan Iran namun bersedia meningkatkan serangan secara mendadak jika Teheran gagal menerima “realiti saat ini”.

Washington menangguhkan serangan yang dirancang ke atas loji jana kuasa dan prasarana tenaga Iran selepas “perbualan yang produktif” sejak tiga hari lepas, kata Cik Leavitt kepada pemberita.

Ditanya mengenai laporan televisyen negara Iran bahawa Teheran menolak rancangan 15 perkara Amerika untuk menamatkan perang, Cik Leavitt berkata rundingan belum terhenti.

Amerika dilaporkan telah menghantar pelan 15 perkara kepada Iran yang menggariskan langkah mengenai program nuklear dan peluru berpandu balistik Teheran serta keselamatan maritim di Selat Hormuz.

Iran dilaporkan menolak cadangan itu, menyatakan sebarang gencatan senjata akan berlaku mengikut terma dan garis masanya selain mengetengahkan lima syarat untuk menamatkan perang, termasuk menghentikan sepenuhnya “pencerobohan dan pembunuhan”.

Seorang pegawai kanan pertahanan Israel dilaporkan curiga terhadap kemungkinan Iran menerima cadangan tersebut, sambil menyuarakan kebimbangan bahawa rundingan mungkin membawa kepada tolak ansur yang tidak memihak kepada keselamatan Israel.

Sumber turut menyatakan Israel mahu memastikan sebarang perjanjian tidak menghalang keupayaannya melancarkan serangan awal terhadap Iran jika perlu.

Di peringkat sejagat, pasaran saham menunjukkan pemulihan sederhana manakala harga minyak berkurang selepas laporan mengenai cadangan Amerika itu, mencerminkan harapan pelabur terhadap kemungkinan tamatnya konflik.

Namun ketidaktentuan kekal tinggi memandangkan kedua-dua pihak masih berkeras dengan pendirian masing-masing.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres, memberi amaran dunia kini berada di ambang konflik yang lebih besar.

“Dunia sedang berhadapan risiko perang yang lebih luas. Sudah tiba masanya untuk menghentikan peningkatan ketegangan dan kembali kepada diplomasi,” katanya. – Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg