Topik diikuti
Pergi ke BHkuIran tuntut pampasan serangan kapal di Laut Caspian, Ukraine elak ketegangan
Iran tuntut pampasan serangan kapal di Laut Caspian, Ukraine elak ketegangan
Iran tuntut pampasan serangan kapal di Laut Caspian, Ukraine elak ketegangan
TEHERAN: Iran menuntut Ukraine membayar pampasan susulan serangan terhadap sebuah kapal komersial Iran di Laut Caspian yang mengorbankan seorang kelasi, manakala Kyiv mempertahankan operasi itu sebagai sebahagian daripada usaha mempertahankan negara daripada pencerobohan Russia.
Tuntutan itu dibuat selepas Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, mengadakan perbualan telefon dengan rakan sejawatannya dari Ukraine, Encik Andrii Sybiha, dalam hubungan rasmi pertama antara kedua-dua pemimpin diplomatik sejak Encik Sybiha dilantik pada September 2024.
Menurut Encik Araghchi, Iran tidak berhasrat meningkatkan ketegangan dengan Ukraine, namun sebarang serangan terhadap rakyat atau kepentingan negara itu tidak boleh diterima.
“Iran tidak mahu konflik ini terus memuncak, tetapi sebarang serangan terhadap rakyat atau kepentingan kami adalah tidak boleh diterima. Kerugian yang dialami mesti diberikan pampasan,” katanya menerusi hantaran di platform X.
Beliau berkata Encik Sybiha memberi jaminan bahawa serangan terhadap kapal Iran itu berlaku secara tidak sengaja dan Ukraine tidak berniat memburukkan lagi hubungan dengan Teheran.
Bagaimanapun, Iran tetap menegaskan insiden itu perlu dipertanggungjawabkan mengikut undang-undang antarabangsa.
Perbualan kedua-dua menteri itu berlangsung sehari selepas Teheran memberi amaran bahawa serangan berkenaan boleh membawa “akibat yang tidak dijangka”.
Pada 25 Julai lalu, Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, mengesahkan operasi jarak jauh tenteranya di Laut Caspian menyasarkan kapal yang didakwa membawa bekalan ketenteraan bagi membantu Russia.
Perkhidmatan Keselamatan Ukraine (SBU) kemudian memaklumkan dron tenteranya berjaya menyerang sebuah bot peluru berpandu kelas Molniya milik Russia.
Operasi sama turut menyasarkan kapal kargo Port Olya 2 dan kapal pengangkut pukal Begey yang menurut Kyiv digunakan bagi menghantar bekalan ketenteraan antara Iran dengan Russia serta dikenakan sekatan antarabangsa.
Iran bagaimanapun mendakwa sebuah kapal komersial miliknya turut menjadi mangsa serangan itu sehingga mengorbankan seorang kelasi warga Iran dan mencederakan seorang lagi.
Sebagai susulan, Kementerian Luar Iran memanggil Kuasa Usaha Ukraine di Teheran bagi mengemukakan bantahan rasmi terhadap insiden berkenaan.
Kementerian itu turut menegaskan Iran berhak mempertahankan keselamatan rakyat serta kepentingan negaranya.
Dalam kenyataan berasingan, Encik Sybiha berkata beliau menghubungi Encik Araghchi bagi mengadakan perbincangan secara terus dan terbuka mengenai insiden itu.
Beliau menegaskan semua tindakan Ukraine hanya bertujuan mempertahankan negara daripada pencerobohan Russia dan tidak pernah dirancang untuk menyasarkan orang awam atau kapal awam.
“Semua operasi kami bertujuan mempertahankan Ukraine daripada pencerobohan Russia. Kami tidak pernah berniat menyerang orang awam atau kapal awam,” katanya.
Encik Sybiha bagaimanapun menyalahkan Moscow sebagai punca utama kepada semua insiden yang berlaku.
“Russia adalah punca kepada semua provokasi dan korban jiwa. Perang yang tidak sah ini mesti ditamatkan,” katanya.
Beliau turut menggesa Iran menghentikan segala bentuk sokongan terhadap operasi ketenteraan Russia di Ukraine.
“Pendirian kami tidak berubah. Eropah dan Asia Barat berhak menikmati kestabilan, keselamatan dan keamanan,” katanya.
Hubungan antara Kyiv dengan Tehran terus merosot sejak Iran didakwa membekalkan dron serangan Shahed kepada Russia selepas Moscow melancarkan pencerobohan berskala penuh ke atas Ukraine pada 2022.
Ukraine berulang kali menuduh Iran membantu mengukuhkan keupayaan ketenteraan Russia menerusi pembekalan dron yang digunakan untuk menyerang bandar serta prasarana awam di Ukraine.
Teheran bagaimanapun secara konsisten menafikan terbabit secara langsung dalam perang itu.
Kyiv turut mendakwa telah membantu beberapa negara Teluk meningkatkan keupayaan mempertahankan ruang udara mereka daripada serangan dron Iran sejak konflik Asia Barat memuncak pada penghujung Februari lalu.
Sementara itu, Encik Zelensky sebelum ini menolak penafian Iran mengenai penglibatannya dalam perang Ukraine.
Beliau berkata Teheran sebenarnya sudah menjadi sebahagian daripada konflik itu apabila membekalkan senjata kepada Moscow.
Menurutnya, walaupun Ukraine menyedari risiko pembukaan satu lagi medan ketegangan diplomatik, dunia tidak boleh mengabaikan sokongan ketenteraan yang diberikan Iran dan Korea Utara kepada Russia.
“Kita perlu berterus terang mengenai pihak yang membantu Russia meneruskan pencerobohan ini. Dunia tidak boleh memejamkan mata terhadap hakikat tersebut,” katanya.
Pertikaian terbaharu itu dijangka terus menjejaskan hubungan diplomatik Iran dan Ukraine ketika perang Russia-Ukraine memasuki tahun kelima, dengan konflik kini turut melibatkan laluan perdagangan serta kepentingan maritim di Laut Caspian. – Agensi berita.