ANKARA: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, tiba di Ankara bagi Sidang Kemuncak  Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) dengan sambutan penuh istiadat, ketika sekutu-sekutu Washington berusaha mengekalkan hubungan baik dengannya di tengah ketegangan mengenai perang Iran, Ukraine dan perbelanjaan pertahanan.

Encik Trump disambut Presiden Turkey, Recep Tayyip Erdogan, dalam lawatan pertama seorang presiden Amerika ke negara itu dalam tempoh 11 tahun.

Beliau kemudian memuji Encik Erdogan secara terbuka, sambil berkata hubungan kedua-dua pemimpin itu mempunyai “keserasian” yang baik.

Nada mesra itu berbeza dengan kritikannya terhadap sekutu Eropah yang masih dianggapnya tidak cukup membantu Amerika dalam konflik Iran.

“Saya sangat kecewa dengan Nato,” kata Encik Trump, mengulangi rasa tidak puas hatinya sebelum sesi utama sidang kemuncak itu bermula.

Sidang kali ini berlangsung ketika pakatan keselamatan rentas atlantik berusia 77 tahun itu berdepan tekanan besar.

Encik Trump menuntut negara anggota menunaikan janji meningkatkan belanja pertahanan, ketika Washington dilihat mahu mengurangkan beban keselamatan di Eropah.

Menjelang sesi utama, Nato menerbitkan angka yang menunjukkan belanja pertahanan teras negara Eropah meningkat 11 peratus pada 2026 kepada AS$634 bilion (S$819 bilion), berbanding AS$571 bilion setahun sebelumnya.

Bagi mengelakkan konfrontasi baharu dengan Trump, sekutu Nato turut mengumumkan kontrak senjata bernilai puluhan bilion dolar untuk membuktikan mereka serius meningkatkan keupayaan ketenteraan.

Setiausaha Agung Nato, Encik Mark Rutte, berkata negara Eropah kini “menunaikan tanggungjawab” dengan memperkukuh bajet pertahanan dan mengambil lebih banyak peranan menjaga keselamatan benua itu, khususnya berdepan ancaman Russia.

Selain isu pertahanan Nato, perang Ukraine turut menjadi tumpuan utama.

Encik Trump berkata beliau percaya Russia dan Ukraine sama-sama mahu menamatkan pertempuran.

“Saya fikir kedua-dua pihak mahu mencapai perjanjian,” katanya.

Encik Trump dijadual bertemu Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, di luar sidang kemuncak itu.

Sebelum berlepas ke Turkey, beliau juga bercakap dengan Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, dan dijangka membuat susulan selepas bertemu Encik Zelensky.

Negara Eropah dan Canada pula dijangka berikrar meneruskan bantuan ketenteraan kepada Ukraine bernilai sekitar €70 bilion (S$103 bilion) setahun pada 2026 dan 2027.

Encik Zelensky, dalam ucapannya di forum pertahanan Nato, merayu bantuan tambahan bagi sistem pertahanan udara Ukraine, ketika negaranya berdepan kekurangan peluru pemintas yang penting.

Beliau turut mengulangi hasrat Ukraine menyertai Nato.

Di Ankara, Encik Trump turut membawa berita baik untuk Turkey apabila berkata beliau bersedia mempertimbangkan penjualan jet pejuang F-35 kepada Ankara dan menarik balik sekatan Amerika yang dikenakan terhadap negara itu.

Turkey dikeluarkan daripada program F-35 pada 2019 selepas membeli sistem pertahanan udara S-400 dari Russia. Pada 2020, Washington mengenakan sekatan terhadap sebuah syarikat pertahanan utama Turkey, menyebabkan hubungan kedua-dua negara menjadi tegang.

“Kami akan menarik balik sekatan itu,” kata Trump di Istana Presiden Turkey.

“Sudah tiba masanya. Kami tidak mahu mengenakan sekatan terhadap rakan.”

Encik Trump juga berkata beliau tidak bimbang dengan pemilikan sistem S-400 oleh Turkey.

“Saya tidak mempunyai sebarang kebimbangan mengenai apa-apa yang ada kaitan dengan Turkey,” katanya.

Mengenai kemungkinan penjualan F-35, Trump berkata perkara itu akan dipertimbangkan.

“Turkey dalam banyak hal jauh lebih setia berbanding beberapa negara lain yang kami sangka setia. Ia pesawat yang hebat, yang terbaik setakat ini, dan perkara itu pasti akan kami pertimbangkan,” katanya.

Erdogan pula berkata beliau yakin Trump akan menyelesaikan pertikaian itu.

“Kami pernah membincangkan perkara ini sebelum ini dengan Amerika dan dijanjikan lima jet. Saya tahu Encik Trump sentiasa menepati janjinya,” katanya.

Bagaimanapun, usaha menjual F-35 kepada Turkey dijangka berdepan tentangan kuat di Kongres Amerika.

Undang-undang Amerika yang diluluskan pada 2019 melarang penjualan F-35 kepada Turkey selagi Ankara memiliki sistem S-400 Russia, kerana ia dianggap boleh menjejaskan keselamatan pesawat tempur buatan Amerika.

Sekumpulan anggota Kongres daripada kedua-dua parti sebelum ini menulis surat kepada Encik Trump, menyuarakan “kebimbangan mendalam” terhadap sebarang penjualan F-35 kepada Turkey, termasuk kerana hubungan Ankara dengan Iran dan kenyataan keras terhadap Israel.

Dalam perkembangan lain, Encik Trump turut dijangka bertemu Presiden Syria, Ahmed al-Sharaa, ketika Damsyik cuba memulihkan imej antarabangsa selepas lebih sedekad perang saudara.

Pertemuan itu berlaku sehari selepas Encik Sharaa menerima lawatan bersejarah Presiden Perancis, Emmanuel Macron, yang dicemari dua letupan bom di Damsyik hingga mencederakan 18 orang.

Walaupun isu demokrasi dan hak asasi di Turkey terus menjadi perhatian pengkritik, ia tidak dijangka menjadi tumpuan utama sidang Nato kali ini.

Negara anggota lebih memberi perhatian kepada peranan Turkey sebagai kuasa ketenteraan kedua terbesar dalam NATO dan benteng penting di sayap tenggara pakatan itu berdepan Russia.