Topik diikuti
Pergi ke BHkuChun Sing: Kesan perang Iran boleh ubah ekonomi global dan aturan dunia
Chun Sing: Kesan perang Iran boleh ubah ekonomi global dan aturan dunia
Chun Sing: Kesan perang Iran boleh ubah ekonomi global dan aturan dunia
Kesan daripada perang Iran boleh mengubah ekonomi global, melemahkan undang-undang antarabangsa serta mempercepat perubahan terhadap aturan dunia, kata Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam merangkap Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing.
Berucap di Persidangan Tahunan Institut Timur Tengah (MEI) Universiti Nasional Singapura (NUS) di Hotel Orchard pada 23 Jun, Encik Chan berkata dunia masih belum dapat menentukan bagaimana konflik itu akan berakhir dan apakah kesan akhirnya terhadap kestabilan global.
“Timur Tengah, mungkin lebih daripada banyak tempat lain, mempunyai lebih banyak misteri berbanding rahsia, terutama ketika ini dan berkaitan hasil perang ini,” katanya dalam ucapan pembukaan persidangan bertemakan “Selepas Perang Iran: Kesan Geopolitik dan Ekonomi Global”.
Encik Chan berkata masih belum jelas sama ada dunia kini sedang menyaksikan “permulaan kepada pengakhiran”, “pengakhiran kepada permulaan” atau “bukan permulaan dan bukan juga pengakhiran” konflik tersebut.
Menurut beliau, ramai pemerhati berpendapat konflik itu masih jauh daripada berakhir memandangkan ketidaktentuan yang terus menyelubungi rantau berkenaan.
Dalam ucapannya, Encik Chan menggariskan rangka kerja tiga peringkat bagi memahami kesan perang Iran serta konflik lain yang sedang berlaku seperti perang Russia-Ukraine dan konflik Israel-Gaza.
Peringkat pertama, katanya, melibatkan kesan terhadap ekonomi global, rantaian bekalan dan pelaburan.
Encik Chan berkata kesan paling ketara ketika ini ialah kejutan harga melibatkan bahan api dan produk hiliran selain gangguan terhadap perdagangan dan rantaian logistik dunia.
Walaupun pasaran global mungkin kembali stabil secara beransur-ansur, beliau berkata harga dijangka sukar kembali ke paras sebelum perang dalam tempoh terdekat.
“Walaupun harga kembali secara beransur-ansur ke paras sebelum perang, dunia kini sedar bahawa kita perlu mengambil kira premium risiko baharu yang tidak boleh diketepikan atau diabaikan,” katanya.
Menurut Encik Chan, kebimbangan lebih besar ialah kesan jangka sederhana dan panjang terhadap keyakinan pelabur serta ekonomi global.
Katanya, ketidaktentuan geopolitik yang semakin meningkat boleh menjejaskan sentimen pelaburan, peluang pekerjaan dan pertumbuhan gaji di seluruh dunia.
Pada masa sama, syarikat multinasional dijangka menilai semula risiko dan menyusun semula operasi pengeluaran serta rantaian bekalan mereka, sekali gus mewujudkan pemenang dan pihak yang rugi dalam perubahan tersebut.
“Akan ada pihak yang mendapat manfaat dan ada juga yang rugi seperti mana berlaku dalam setiap perubahan besar,” katanya.
Encik Chan berkata rantau Teluk khususnya perlu memulihkan keyakinan pelabur global jika mahu terus mengekalkan pertumbuhan ekonomi selepas konflik itu.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kesan ekonomi tersebut masih boleh diatasi dalam jangka panjang.
“Akan ada peralihan yang sukar. Sesetengah penyesuaian lebih mencabar berbanding yang lain. Sesetengah negara juga akan menerima kesan lebih besar berbanding negara lain. Tetapi pemerintah dan perniagaan akan menyesuaikan diri,” katanya.
“Dalam jangka panjang, keadaan ini tidak semestinya membawa kesan yang membawa maut jika isu itu sebahagian besarnya berkaitan kenaikan harga.”
Namun begitu, Encik Chan berkata peringkat kedua iaitu hakisan terhadap undang-undang dan norma antarabangsa seharusnya menjadi kebimbangan lebih besar kepada masyarakat dunia.
Beliau menekankan kepentingan menghormati undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS), khususnya berkaitan laluan transit di selat strategik seperti Selat Hormuz.
Menurut beliau, memastikan laluan laut kekal terbuka bukan sekadar soal mematuhi prinsip undang-undang antarabangsa, tetapi juga demi kepentingan bersama semua negara.
“Ia adalah demi kepentingan bersama semua pihak kerana laluan ini membawa aliran perdagangan, tenaga dan data yang amat penting,” katanya.
Selain isu maritim, Encik Chan berkata konflik itu turut membangkitkan persoalan lebih besar mengenai kecenderungan negara menggunakan kekuatan ketenteraan berbanding diplomasi untuk menyelesaikan pertikaian.
“Kecenderungan menggunakan kekerasan untuk menyelesaikan pertikaian mencerminkan trend membimbangkan mengenai keruntuhan diplomasi,” katanya.
Beliau berkata jika dunia bergerak ke arah aturan global yang berpecah-belah dan “kuasa menentukan segalanya”, sistem antarabangsa berasaskan peraturan akan terus terhakis.
“Semua negara akan membayar harga akibat keadaan ini walaupun mereka paling sedikit menyumbang kepada masalah tersebut,” katanya.
Merujuk ucapannya sebelum ini di Dialog Shangri-La, Encik Chan berkata dunia tidak seharusnya meninggalkan undang-undang dan norma antarabangsa hanya kerana sistem tersebut tidak sentiasa sempurna atau memihak kepada semua pihak.
“Dunia tanpa peraturan dan norma adalah seperti lalu lintas di sebuah bandar raya - huru-hara akan berlaku dan kita semua menjadi kurang selamat,” katanya.
Beliau berkata dalam keadaan sedemikian, setiap negara akan terpaksa membelanjakan lebih banyak sumber untuk melindungi keselamatan sendiri secara individu berbanding bergantung kepada keselamatan kolektif.
Menurut beliau, keadaan itu akhirnya akan menjejaskan pelaburan, pertumbuhan ekonomi dan peluang pekerjaan di seluruh dunia.
Mengenai peringkat ketiga, Encik Chan berkata konflik Iran turut membawa implikasi geopolitik jangka panjang terhadap Timur Tengah dan aturan dunia secara keseluruhan.
Walaupun tidak menghuraikan secara mendalam dalam ucapan pembukaannya, beliau memberi bayangan bahawa perang Iran boleh mempercepat perubahan terhadap struktur kuasa global, pakatan strategik dan persaingan geopolitik dunia.
Persidangan itu dihadiri ahli akademik, diplomat, penganalisis dan pembuat dasar bagi membincangkan kesan geopolitik serta ekonomi susulan konflik Iran dan krisis global lain yang sedang berlaku.
