Saudi pintas lapan dron, kedutaan AS di Riyadh turut diserang
Saudi pintas lapan dron, kedutaan AS di Riyadh turut diserang
Saudi ikrar ambil semua langkah perlu bagi pertahan keselamatan dan wilayah
RIYADH: Arab Saudi memintas dan memusnahkan lapan dron berhampiran Riyadh dan al-Kharj.
Demikian menurut Kementerian Pertahanan pada 3 Mac, dalam kejadian terkini ketika serangan balas Iran merebak ke negara-negara Teluk susulan operasi ketenteraan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Teheran.
Pengumuman itu dibuat tidak lama selepas kementerian sama mengesahkan Kedutaan Amerika di Riyadh disasarkan dua dron pada awal pagi 3 Mac.
Serangan tersebut mencetuskan kebakaran kecil dan menyebabkan kerosakan ringan pada bangunan kompleks diplomatik itu.
“Kebakaran yang berlaku berskala kecil dan kerosakan yang dialami adalah minimum,” ujar kenyataan Kementerian Pertahanan Arab Saudi di wadah X.
Asap hitam dilaporkan kelihatan di kawasan Diplomatik Riyadh, yang menempatkan pelbagai perwakilan asing.
Tiga saksi memberitahu agensi berita, Reuters, satu letupan kuat kedengaran dan api kelihatan di kawasan kedutaan.
Namun, pihak berkuasa menegaskan kebakaran itu terkawal.
Menurut dua sumber yang mengetahui tentang keadaan tersebut, bangunan kedutaan kosong ketika serangan berlaku dan tiada korban dilaporkan.
Sumber rapat dengan tentera Saudi memaklumkan agensi berita, AFP, bahawa sistem pertahanan udara memintas empat dron yang menyasarkan kawasan diplomatik Riyadh.
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, memberi reaksi ringkas tetapi tegas terhadap serangan tersebut.
Dalam perbualan telefon dengan wartawan NewsNation, Cik Kellie Meyer, Encik Trump berkata tindakan balas Amerika akan diumumkan tidak lama lagi.
“Dalam reaksi pertama beliau terhadap serangan ke atas Kedutaan Amerika di Riyadh, Presiden Trump berkata kepada saya, ‘anda akan tahu tidak lama lagi’ apakah bentuk tindak balasnya,” tulis Cik Meyer di X.
Encik Trump turut menyatakan tindak balas itu juga berkait dengan kematian anggota tentera Amerika dalam konflik dengan Iran.
Kenyataan tersebut dibuat ketika Iran meneruskan serangan peluru berpandu dan dron ke atas negara-negara Teluk sebagai tindak balas terhadap serangan besar-besaran Amerika-Israel ke atas Iran pada 28 Februari lalu.
Terdahulu kedutaan Amerika di Riyadh mengeluarkan pemberitahuan agar, “berlindung di tempat masing-masing” kepada rakyat Amerika di Riyadh, Jeddah dan Dhahran.
“Kami mengesyorkan warga Amerika di Arab Saudi supaya segera berlindung dan mengelak ke kedutaan sehingga diberitahu kelak susulan serangan ke atas kemudahan tersebut. Misi Amerika di Arab Saudi terus memantau keadaan serantau,” tambah kenyataan kedutaan.
Sebelum itu, pada 2 Mac, Arab Saudi memaklumkan lima dron “musuh” dipintas berhampiran Pangkalan Udara Prince Sultan.
Jurucakap kementerian, Encik Turki Al-Maliki, tidak memberikan butiran mengenai kecederaan atau kerosakan.
Kementerian Tenaga Arab Saudi turut memaklumkan serpihan daripada dua dron yang dipintas menyebabkan kerosakan terhad di loji penapisan minyak Ras Tanura di pantai timur negara itu.
Tiada kecederaan dilaporkan.
Syarikat minyak negara, Saudi Aramco, menghentikan operasi di loji penapisan Ras Tanura yang berkapasiti 550,000 tong sehari selepas dua dron dipintas di kawasan tersebut.
Agensi Berita Saudi (SPA) memetik pegawai kementerian tenaga sebagai berkata beberapa unit penapisan dihentikan sebagai langkah berjaga-jaga, tetapi bekalan bahan api domestik tidak terjejas.
Ras Tanura merupakan sebahagian kompleks tenaga utama di pantai Teluk dan berkait rapat dengan terminal eksport minyak mentah utama negara itu.
Dalam perkembangan berasingan, Kementerian Luar Arab Saudi memanggil Duta Iran ke Riyadh, Encik Alireza Enayati, susulan apa yang disifatkan sebagai serangan Iran terhadap Arab Saudi dan negara jiran.
Timbalan Menteri Luar, Encik Waleed Elkhereiji, menyampaikan kecaman Riyadh dan memberi amaran terhadap pelanggaran kedaulatan.
Arab Saudi, menurutnya, akan mengambil semua langkah yang perlu bagi mempertahankan keselamatan dan wilayahnya.
Pada masa sama, laporan menyatakan pegawai Saudi menggesa sekutu Majlis Kerjasama Teluk supaya tidak mengambil langkah yang boleh meningkatkan lagi ketegangan dengan Iran ketika negara serantau berusaha mengelakkan konflik menjadi lebih luas. – Agensi berita.

