Topik diikuti
Pergi ke BHkuIran usul gencatan senjata 10 hari, pengantara giat hentikan konflik dengan AS
Iran usul gencatan senjata 10 hari, pengantara giat hentikan konflik dengan AS
AS lancar serangan ke atas Iran untuk malam ke-11 berturut-turut
Iran usul gencatan senjata 10 hari, pengantara giat hentikan konflik dengan AS
KAHIRAH: Beberapa negara pengantara dilaporkan sedang memperhebat usaha mendapatkan persetujuan bagi melaksanakan gencatan senjata selama 10 hari antara Amerika Syarikat dan Iran dalam usaha menghentikan kitaran serangan balas yang semakin meruncing dan mengelakkan konflik itu merebak ke seluruh Asia Barat.
Cadangan itu dikemukakan ketika Amerika Syarikat melancarkan serangan udara untuk malam ke-11 berturut-turut ke atas sasaran ketenteraan Iran, manakala Teheran terus meningkatkan tekanan dengan menyerang perkapalan di Teluk dan mengancam kebebasan pelayaran di Selat Hormuz.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Encik Esmaeil Baghaei, mengesahkan pada 20 Julai bahawa beberapa negara pengantara sedang berusaha mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk, namun enggan mendedahkan butiran rundingan.
“Kami menerima beberapa cadangan yang disampaikan menerusi negara pengantara. Buat masa ini saya tidak mahu mengulas lanjut mengenainya,” katanya.
Menurut laporan Axios, AlJazeera dan The Jerusalem Post, cadangan gencatan senjata itu sebenarnya berasal daripada Iran sebelum dibawa oleh Qatar, Mesir, Oman dan Pakistan kepada Washington untuk dipertimbangkan.
Langkah itu mencerminkan desakan Teheran untuk menghentikan serangan Amerika Syarikat yang semakin meluas, selain membuka semula ruang diplomatik bagi menghidupkan Memorandum Persefahaman (MoU) yang dipersetujui bulan Jun lalu.
MoU itu sebelum ini bertujuan melanjutkan gencatan senjata yang dicapai pada April serta menjadi asas rundingan bagi menamatkan konflik yang bermula pada 28 Februari susulan serangan Israel dan Amerika Syarikat ke atas Iran.
Bagaimanapun, kedua-dua pihak kemudian saling menuduh melanggar syarat perjanjian sehingga masing-masing menganggap MoU itu tidak lagi berkuat kuasa.
Menurut dua sumber yang mengetahui rundingan itu, fokus utama cadangan baharu ialah menyelesaikan pertikaian mengenai Selat Hormuz, laluan strategik yang menjadi punca utama kegagalan pelaksanaan MoU sebelum ini.
Selat Hormuz merupakan laluan yang mengendalikan kira-kira satu perlima perdagangan minyak dan gas dunia pada waktu aman, menjadikannya antara laluan maritim paling penting di dunia.
Di bawah cadangan itu, semua operasi ketenteraan akan dihentikan selama 10 hari bagi memberi peluang kepada kedua-dua pihak mencapai persetujuan baharu mengenai kebebasan pelayaran.
Antara cadangan yang sedang dibincangkan ialah mewujudkan “koridor tengah” di Selat Hormuz, terletak di antara perairan Oman dan Iran, bagi membolehkan kapal dagang melalui kawasan itu dengan selamat.
Pegawai serantau turut membincangkan mekanisme pengurusan bayaran transit, termasuk kemungkinan mewujudkan dana bersama yang diselia Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) atau membenarkan Iran mengenakan bayaran perkhidmatan munasabah berkaitan keselamatan pelayaran dan perlindungan alam sekitar.
Bagaimanapun, Amerika Syarikat dilaporkan masih belum bersedia menerima cadangan itu.
Menurut sumber yang sama, Washington mahukan tempoh gencatan senjata lebih panjang selain menuntut persetujuan sekurang-kurangnya secara prinsip mengenai kebebasan pelayaran di Selat Hormuz sebelum sebarang gencatan senjata dilaksanakan.
Seorang pegawai Amerika Syarikat memberitahu The Jerusalem Post bahawa Presiden Donald Trump memberi keutamaan memastikan Iran “membayar harga” atas dakwaan melanggar MoU serta kematian beberapa anggota tentera Amerika Syarikat dalam serangan terbaru.
“Presiden akan memastikan Iran menerima balasan setimpal. Serangan ini akan diteruskan sehingga beliau memutuskan sebaliknya, namun saluran komunikasi antara kedua-dua negara masih berjalan,” katanya.
Sementara itu, Markas Pusat Amerika (Centcom) memaklumkan tenteranya melancarkan serangan untuk malam ke-11 berturut-turut ke atas sasaran ketenteraan Iran.
Menurut Centcom, operasi itu bertujuan melemahkan keupayaan Iran mengancam kapal dagang yang menggunakan Selat Hormuz.
Setakat ini, pihak tentera Amerika tidak mendedahkan sasaran khusus yang diserang dalam gelombang terbaharu tersebut.
Laporan media menyatakan letupan kedengaran di beberapa lokasi termasuk wilayah Tabriz di barat laut Iran, sekitar Teheran serta beberapa kawasan di selatan negara itu.
Jika serangan ke atas Tabriz disahkan, ia akan menandakan perubahan dalam corak operasi Amerika yang sebelum ini lebih banyak tertumpu di kawasan selatan Iran dan sekitar Selat Hormuz.
Konflik antara Washington dan Teheran kembali memuncak selepas runtuhnya memorandum persefahaman yang dipersetujui kedua-dua pihak pada Jun lalu bagi meredakan ketegangan di Selat Hormuz.
Sejak itu, kedua-dua negara dilihat bersaing untuk mengukuhkan pengaruh dan kawalan ke atas laluan perairan strategik tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, Iran dilaporkan meneruskan serangan terhadap aset dan sekutu Amerika di rantau Teluk.
Beberapa negara termasuk Kuwait, Bahrain dan Qatar sebelum ini melaporkan ancaman serangan peluru berpandu dan dron susulan peningkatan operasi ketenteraan antara kedua-dua negara.
Presiden Trump turut memberi bayangan bahawa operasi ketenteraan terhadap Iran mungkin akan dipertingkatkan.
Beliau sebelum ini menyatakan Washington tidak berminat untuk mengadakan rundingan dalam masa terdekat dan memberi amaran bahawa lebih banyak sasaran strategik Iran boleh diserang jika konflik berterusan.
Setakat ini, pihak tentera Amerika tidak mendedahkan sasaran khusus yang diserang dalam gelombang terbaharu tersebut.
Bagaimanapun, laporan media menyatakan letupan kedengaran di beberapa lokasi termasuk wilayah Tabriz di barat laut Iran, sekitar Teheran serta beberapa kawasan di selatan negara itu.
Jika serangan ke atas Tabriz disahkan, ia akan menandakan perubahan dalam corak operasi Amerika yang sebelum ini lebih banyak tertumpu di kawasan selatan Iran dan sekitar Selat Hormuz.
Konflik antara Washington dan Teheran kembali memuncak selepas runtuhnya memorandum persefahaman yang dipersetujui kedua-dua pihak pada Jun lalu bagi meredakan ketegangan di Selat Hormuz.
Di Israel, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu mengadakan mesyuarat keselamatan yang berlangsung lebih lima setengah jam bagi menilai perkembangan terkini konflik.
Selepas mesyuarat itu, Menteri Kewangan Israel, Encik Bezalel Smotrich, berkata negaranya tidak berminat untuk terlibat secara langsung dalam konflik antara Amerika Syarikat dan Iran.
“Israel tidak mempunyai kepentingan untuk menyertai konflik ini. Mengekalkan keadaan sedia ada adalah pilihan terbaik buat masa ini,” katanya.
Penganalisis hubungan antarabangsa Universiti Lancaster, Profesor Simon Mabon, berkata MoU yang dicapai sebelum ini berjaya meredakan ketegangan kerana kandungannya agak umum dan memberi ruang kepada kedua-dua pihak mentafsir perjanjian mengikut kepentingan masing-masing.
Namun, katanya, kelemahan itu akhirnya menjadi punca kegagalan apabila Washington dan Teheran saling mendakwa tindakan masing-masing masih mematuhi perjanjian sambil menuduh pihak lawan melanggarnya.
“Sebarang perjanjian baharu perlu mengandungi komitmen yang lebih jelas supaya pertikaian sama tidak berulang,” katanya.
Beliau berkata perkembangan ketenteraan sejak beberapa hari lalu turut menjadikan usaha diplomatik semakin sukar kerana Iran masih menganggap penguasaan Selat Hormuz sebagai aset strategik utamanya, manakala kematian anggota tentera Amerika Syarikat meningkatkan tekanan politik terhadap Trump untuk bertindak lebih tegas.
Menurut Mabon, keadaan itu mewujudkan “perangkap peningkatan konflik”, apabila kedua-dua negara terus membalas tindakan masing-masing sehingga usaha diplomatik berisiko diketepikan oleh perkembangan di medan perang.
Sekiranya rundingan itu gagal, penganalisis memberi amaran konflik berpotensi merebak ke seluruh rantau Asia Barat, menjejaskan bekalan tenaga global serta mengancam keselamatan laluan perdagangan antarabangsa. - Agensi berita
