PARIS: Sebanyak 14 negara, termasuk Perancis, Britain, dan Jerman, mengutuk kelulusan terbaru Israel terhadap penempatan baharu Yahudi di Tebing Barat.
“Kami, negara-negara Belgium, Canada, Denmark, Perancis, Jerman, Italy, Iceland, Ireland, Jepun, Malta, Belanda, Norway, Sepanyol dan United Kingdom, mengutuk kelulusan oleh Kabinet Keselamatan Israel terhadap 19 penempatan baharu di Tebing Barat yang diduduki,” menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh kementerian luar Perancis.
“Kami mengulangi bantahan jelas kami terhadap sebarang bentuk pengilhakan dan peluasan dasar penempatan,” kata kenyataan tersebut.
Pada 21 Disember lalu, Menteri Kewangan haluan kanan tegar Israel, Bezalel Smotrich, mengumumkan pihak berkuasa telah memberi lampu hijau kepada penempatan terbabit, dengan menyatakan langkah itu bertujuan menghalang penubuhan sebuah negara Palestin.
Dalam kenyataan mereka, negara-negara terbabit menegaskan tindakan sehala sedemikian melanggar undang-undang antarabangsa dan berisiko menjejaskan gencatan senjata yang rapuh di Gaza ketika perantara sedang mendesak pelaksanaan fasa kedua gencatan senjata terbabit.
Negara-negara berkenaan mendesak Israel untuk membatalkan keputusan ini, serta peluasan penempatan.
Mereka juga mengesahkan semula komitmen yang tidak berbelah bahagi terhadap keamanan yang menyeluruh, adil dan berkekalan berdasarkan penyelesaian dua negara, di mana dua negara demokratik, Israel dan Palestin, hidup berdampingan dalam aman dan selamat.
Israel telah menduduki Tebing Barat susulan peperangan pada 1967. Tidak termasuk Baitulmaqdis Timur, yang diduduki dan diilhaki oleh Israel pada 1967, lebih 500,000 warga Israel tinggal di Tebing Barat, bersama kira-kira tiga juta penduduk Palestin.
Awal bulan ini (Disember), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan peluasan penempatan Israel di Tebing Barat yang kesemuanya adalah haram di bawah undang-undang antarabangsa telah mencapai tahap tertinggi sejak 2017. - AFP


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg