Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ishiba ikrar kekal sebagai PM Jepun walau gagal kuasai parlimen

Jul 21, 2025 | 10:14 AM
Shigeru Ishiba, Perdana Menteri Jepun merangkap Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) yang memerintah.
Shigeru Ishiba, Perdana Menteri Jepun merangkap Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) yang memerintah. - Foto EPA

TOKYO: Perdana Menteri Jepun, Encik Shigeru Ishiba bertegas untuk kekal dalam jawatan walaupun mengalami kekalahan besar dalam Pilihan Raya Dewan Tinggi pada 20 Julai, yang menyaksikan gabungan pemerintah kehilangan majoriti buat kali pertama dalam sejarah sejak 1955.

Kekalahan ini sekaligus mencetuskan keraguan terhadap masa depan politik beliau dan mencemaskan pasaran kewangan negara itu.

Parti pemerintah Liberal Demokratik (LDP) dan sekutunya Komeito gagal memperoleh 50 kerusi yang diperlukan untuk mengekalkan majoriti di Dewan Tinggi, menurut laporan penyiar awam NHK.

Gabungan itu hanya memenangi sekitar 41 kerusi, satu angka yang jauh dari sasaran dan menunjukkan kemerosotan ketara sokongan rakyat terhadap parti pemerintah.

“Saya masih mempunyai tanggungjawab besar kepada negara, termasuk memastikan pertumbuhan gaji melebihi kadar inflasi dan meningkatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar negara kepada satu quadrilion yen,” kata Encik Ishiba dalam kenyataan rasmi. “Saya tidak akan berundur. Itu pasti.”

Encik Ishiba menegaskan bahawa walaupun undi masih dikira, gabungan beliau telah memperoleh jumlah kerusi tertinggi berbanding parti lain. Namun realitinya, gabungan itu kehilangan lebih 16 kerusi, satu tamparan hebat kepada kepimpinan beliau.

Penganalisis politik Profesor Chihiro Okawa dari Universiti Kanagawa menyifatkan kedudukan Encik Ishiba kini sangat rapuh. “Meneruskan kepimpinan dalam keadaan ini adalah satu tugas yang sangat mencabar,” katanya. “Tiada siapa yang mungkin mahu mengambil alih dalam keadaan yang begitu berisiko.”

Pasaran menunjukkan reaksi segera dengan yen mengukuh sekitar 0.5 peratus dalam dagangan awal, walaupun pasaran saham dan bon ditutup sempena cuti umum di Jepun. Kebimbangan meningkat bahawa kerajaan mungkin terpaksa memberi konsesi kepada pembangkang, termasuk pemotongan cukai jualan, untuk mengekalkan kelangsungan pentadbiran.

Pelabur juga ragu-ragu sama ada kerajaan mampu mengawal perbelanjaan awam, satu faktor yang telah menyumbang kepada lonjakan hasil bon Jepun ke paras tertinggi dalam dua dekad.

Kekalahan ini turut merumitkan rundingan perdagangan Jepun dengan Amerika Syarikat menjelang tarikh akhir 1 Ogos yang ditetapkan Presiden Donald Trump untuk menaikkan tarif eksport Jepun kepada 25 peratus.

Bloomberg Economics menganggarkan langkah itu boleh mengurangkan KDNK Jepun sebanyak 0.9 peratus dalam tempoh sederhana.

Keputusan pilihan raya menunjukkan kemarahan rakyat terhadap kos sara hidup yang tinggi, dengan ramai pengundi beralih kepada parti-parti populis. Parti Demokratik untuk Rakyat (DPP) yang menjanjikan pemotongan cukai dan gaji boleh guna yang lebih tinggi memperoleh 16 kerusi – naik mendadak berbanding empat sebelum ini.

Sanseito, parti sayap kanan yang membawa slogan “Utamakan Jepun” dan menentang kemasukan warga asing, juga mencatat peningkatan besar daripada hanya satu kerusi kepada angka dua digit. Sementara itu, Parti Demokratik Perlembagaan (CDP), pembangkang utama, menduduki tempat kedua dengan lebih 20 kerusi.

Ketua pembangkang, Encik Yoshihiko Noda, berkata beliau sedang mempertimbangkan untuk membawa usul tidak percaya terhadap Encik Ishiba di Dewan Rendah. “Kami akan tunggu penjelasan beliau pada sidang media esok (21 Julai) sebelum membuat keputusan,” katanya.

Namun begitu, landskap politik Jepun kekal terpecah dengan lebih sedozen parti pembangkang yang sukar membentuk gabungan kukuh bagi menggantikan kerajaan. Ini bermakna LDP berkemungkinan kekal memerintah dengan bergantung kepada sokongan kes demi kes daripada parti-parti lain.

Profesor Yuri Kono dari Universiti Hosei pula berkata, “Keputusan ini menunjukkan rakyat, terutama pengundi muda dan di bandar, semakin menjauhi parti tradisional. Mungkin ini permulaan perubahan besar dalam politik Jepun.” - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg