VIENNA: Kumpulan militan ISIS yang berpendirian tegar terhadap Islam dan melibatkan berjuta-juta penduduk di Syria dan Iraq selama bertahun-tahun, cuba bangkit semula di Timur Tengah, Barat dan Asia.
Pada 1 Februari, media ISIS cawangan Khorasan di Afghanistan, ISIS-K, mengedarkan siaran menyeru serangan di Amerika dan Eropah berikutan serangan trak pada sambutan tahun baru di New Orleans, Louisiana, Amerika Syarikat.
Demikian menurut agensi risikan, SITE Intelligence, yang menjejaki kumpulan pengganas.
Selepas serangan tikaman maut pada 15 Februari di bandar Villach, Austria, Menteri Dalam Negeri Austria berkata lelaki Syria yang disyaki melakukan perbuatan itu dipercayai pengikut ISIS yang menjadi radikal secara dalam talian.
Kumpulan itu terlibat dalam serangan trak di New Orleans, membunuh 15 orang dan mencederakan 30 yang lain dalam kejadian pada hari tahun baru.
Suspek yang dikenali sebagai Shamsud-Din Jabbar, 42 tahun, warga Amerika dari Texas yang pernah berkhidmat di Afghanistan, dilaporkan mengibarkan bendera ISIS semasa serangan itu.
Mantan Presiden Amerika, Encik Joe Biden, berkata Biro Siasatan Federal (FBI) melaporkan kepadanya bahawa Jabbar telah menyiarkan video di media sosial yang menunjukkan dia mendapat ilham daripada ISIS.
Walaupun sebahagian besar ISIS telah dihancurkan oleh pakatan yang diketuai Amerika beberapa tahun lalu, kumpulan itu dikatakan telah bangkit dan bersatu semula.
Kumpulan itu melakukan serangan ke atas dewan konsert Russia pada Mac 2024, membunuh sekurang-kurangnya 143 orang, dan dua letupan yang mengorbankan hampir 100 orang di bandar Kerman, Iran pada Januari.
Ia juga mengaku bertanggungjawab ke atas serangan penyerang berani mati di sebuah masjid di Oman pada 2024, membunuh sekurang-kurangnya sembilan orang.
Setiausaha Negara Amerika ketika itu, Encik Antony Blinken, memberi amaran bahawa ISIS akan cuba mewujudkan semula keupayaannya di Syria selepas Presiden Bashar al-Assad digulingkan.
Tetapi Amerika tidak akan membiarkan perkara itu berlaku.
Selain daripada operasi berdarahnya di Timur Tengah, kumpulan itu juga terlibat dalam serangan berani mati melibatkan penyerang tunggal di Barat.
Pada Ogos 2024, pihak berkuasa berkata seorang warga Austria berusia 19 tahun yang disyaki mendalangi serangan ke atas konsert penyanyi Amerika, Taylor Swift, di Vienna telah berikrar taat setia kepada ketua kumpulan itu.
Pada kemuncak kuasanya dari 2014 hingga 2017, ‘khalifah’ ISIS menerajui kuasa di kawasan luas di Syria dan Iraq, serta membunuh dan menyiksa mereka yang bertentangan dengannya. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg