ISIS mengaku letupkan restoran warga China di Kabul, 7 maut
ISIS mengaku letupkan restoran warga China di Kabul, 7 maut
KABUL: Satu letupan melanda sebuah restoran yang dikendalikan oleh warga Cina di sebuah hotel di ibu negara Afghanistan yang dikawal ketat pada 19 Januari.
Letupan itu membunuh seorang warga China dan enam warga Afghanistan serta mencederakan beberapa orang lain termasuk seorang kanak-kanak, kata pegawai.
Restoran itu berada di kawasan kejiranan komersial Shahr-e-Naw di Kabul yang merangkumi bangunan pejabat, kompleks beli-belah dan kedutaan, kata jurucakap polis, Encik Khalid Zadran.
Daerah itu dianggap sebagai salah satu yang paling selamat di bandar tersebut.
Cawangan Isis Afghanistan mengaku bertanggungjawab atas serangan itu dengan menyatakan dalam satu kenyataan bahawa ia dilakukan oleh seorang pengebom nekad.
Restoran Cina itu dikendalikan bersama oleh seorang lelaki Muslim Cina, Encik Abdul Majid, isterinya, dan seorang warga Afghanistan, Encik Abdul Jabbar Mahmood.
Restoran bernama Chinese Noodle itu menghidangkan masakan khusus untuk masyarakat Muslim Cina, kata Encik Zadran.
Agensi berita Amaq berkata cabang tempatan Isis telah meletakkan warga China dalam senarai sasarannya, dengan memetik “jenayah yang semakin meningkat oleh pemerintah China terhadap Uyghur”.
Kumpulan hak asasi menuduh Beijing melakukan penderaan meluas terhadap Uyghur, kumpulan minoriti etnik Islam yang terdiri daripada kira-kira 10 juta orang di wilayah Xinjiang, China.
Beijing menafikan sebarang penderaan dan menuduh negara-negara Barat campur tangan dan menyebarkan pembohongan.
Seorang warga China yang dikenal sebagai Encik Ayub serta enam rakyat Afghanistan terbunuh dalam letupan itu, yang berlaku berhampiran dapur, manakala beberapa yang lain cedera, tambah Encik Zadran.
Video yang dikongsi di media sosial menunjukkan serpihan bertaburan di jalan raya dan kepulan asap keluar daripada lubang besar di bahagian depan restoran.
“Setakat ini, kami telah merawat 20 orang di hospital kami,” kata Encik Dejan Panic, pengarah sebuah badan kemanusiaan di Afghanistan, dalam satu kenyataan.
“Antara yang cedera ialah empat wanita dan seorang kanak-kanak... malangnya tujuh orang telah meninggal dunia semasa tiba di hospital,” tambahnya.
Pihak berkuasa Afghanistan tidak menyatakan secara rasmi punca letupan itu kerana siasatan sedang dijalankan.
Taliban telah menguasai Afghanistan yang dilanda perang pada 2021 dan berkata ia akan memulihkan keselamatan, tetapi serangan bom masih berterusan, kebanyakannya dilakukan oleh Isis.
China, yang berkongsi sempadan dengan Afghanistan, mempunyai hubungan rapat dengan Taliban. – AFP.

