Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Taliban hentikan rangkaian digital, Afghanistan terputus hubungan dua hari berturut

Sep 30, 2025 | 3:42 PM
Pemandangan umum bandar Kabul pada waktu senja, 29 September 2025, selepas gangguan telekomunikasi seluruh negara. Afghanistan dilanda pemadaman komunikasi besar-besaran pada 29 September, beberapa minggu selepas pihak berkuasa Taliban mula memutuskan sambungan gentian optik di beberapa wilayah bagi mencegah “maksiat”.
Pemandangan umum bandar Kabul pada waktu senja, 29 September 2025, selepas gangguan telekomunikasi seluruh negara. Afghanistan dilanda pemadaman komunikasi besar-besaran pada 29 September, beberapa minggu selepas pihak berkuasa Taliban mula memutuskan sambungan gentian optik di beberapa wilayah bagi mencegah “maksiat”. - Foto AFP

KABUL: fghanistan memasuki hari kedua tanpa capaian internet dan perkhidmatan telefon mudah alih selepas pihak berkuasa Taliban memutuskan rangkaian gentian optik di seluruh negara, langkah yang mengejutkan rakyat dan melumpuhkan banyak aktiviti ekonomi serta komunikasi.

Menurut pemantau bebas internet NetBlocks, talian mula terputus pada malam 29 September malam apabila isyarat mudah alih dan sambungan internet perlahan-lahan merosot sehingga kurang daripada satu peratus daripada tahap biasa.

Ini adalah kali pertama sejak Taliban mengambil alih kuasa pada 2021 dan melaksanakan tafsiran ketat undang-undang Islam, bahawa komunikasi di seluruh negara dihentikan sepenuhnya.

“Kami buta tanpa telefon dan internet,” kata Encik Najibullah, 42 tahun, seorang peniaga di Kabul. “Semua perniagaan kami bergantung pada telefon. Penghantaran dibuat melalui panggilan dan mesej. Sekarang seperti cuti paksa, semua orang duduk di rumah. Pasar langsung beku,” tambahnya.

Seorang pegawai pemerintah yang enggan dikenali memberitahu AFP sebelum pemutusan berlaku bahawa langkah itu sebahagian daripada arahan pihak berkuasa Taliban.

“8,000 hingga 9,000 tiang telekomunikasi akan dimatikan, termasuk sambungan gentian optik yang menyokong telefon mudah alih,” katanya. “Ini akan berterusan sehingga diberitahu kelak. Tiada sistem lain untuk berhubung… sektor perbankan, kastam, semuanya akan terjejas.”

Sebelum ini, jurucakap wilayah Balkh, Encik Attaullah Zaid, pada 16 September mengumumkan larangan penuh internet gentian optik di wilayah utara atas arahan pemimpin Taliban. “Langkah ini diambil untuk mencegah maksiat, dan pilihan alternatif akan disediakan di seluruh negara bagi memenuhi keperluan komunikasi,” tulisnya di media sosial.

Larangan serupa dilaporkan oleh wartawan AFP di wilayah Badakhshan dan Takhar di utara, serta Kandahar, Helmand, Nangarhar dan Uruzgan di selatan.

Penutupan mendadak ini memberi kesan besar kepada kehidupan rakyat Afghanistan. Pasaran perniagaan terhenti, perkhidmatan penghantaran tidak beroperasi, dan sistem kewangan termasuk perbankan serta kastam sukar berfungsi tanpa capaian talian.

“Saya langsung terputus hubungan dengan keluarga di Kabul. Saya tak tahu apa yang berlaku, dan saya benar-benar risau,” kata seorang rakyat Afghanistan berusia 40 tahun yang kini bekerja di Oman, melalui pesanan ringkas kepada AFP.

Perkhidmatan telefon juga terjejas kerana banyak talian disalurkan melalui rangkaian internet gentian optik, khususnya di negara dengan infrastruktur telekomunikasi yang terhad.

Sebelum ini, pemerintah terdahulu yang disokong Barat berbangga membangunkan rangkaian gentian optik sepanjang 9,350 kilometer bagi menghubungkan Afghanistan dengan dunia luar dan merangsang ekonomi negara. Kini, pencapaian itu lumpuh sepenuhnya di bawah pentadbiran Taliban.

NetBlocks mengesahkan pemutusan ini sebagai pemutusan perkhidmatan secara disengajakan”, satu isyarat bahawa ia dirancang dan dilaksanakan oleh pihak berkuasa.
Tindakan drastik ini mencetuskan kebimbangan mengenai kebebasan maklumat dan masa depan ekonomi digital Afghanistan. Banyak peniaga kecil dan pekerja bergantung pada platform dalam talian untuk menjalankan urus niaga harian.

“Ini bukan sekadar masalah teknikal ia memutuskan hubungan kami dengan dunia,” kata Encik Najibullah. “Kami tidak boleh berniaga, tidak boleh berhubung dengan keluarga, semuanya terhenti.” - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg