WASHINGTON: Islam dijangka mengatasi Kristian sebagai agama terbesar di dunia menjelang pertengahan dekad hadapan apabila kadar kelahiran dalam kalangan umat Islam mengatasi jumlah bayi yang dilahirkan oleh wanita daripada mana-mana agama lain, menurut unjuran Pusat Penyelidikan Pew pada 18 November.

Walaupun Kristian telah menduduki tempat sebagai agama terbesar selama berabad-abad, namun populasi umat Islam global telah berkembang jauh lebih pantas dan diramalkan mencecah 2.57 bilion menjelang 2035, berbanding unjuran 2.52 bilion bagi penganut Kristian pada tahun tersebut, menurut dapatan Pew.

Jika aliran semasa berterusan, jumlah umat Islam akan melebihi penganut Kristian iaitu 3.6 bilion berbanding tiga bilion di seluruh dunia menjelang 2070, dan Islam juga akan merangkumi bahagian terbesar populasi global iaitu sebanyak 37 peratus, meningkat daripada 26 peratus pada 2020, kata Pew.

Sementara itu, agama Kristian dijangka kekal stabil pada sekitar 29 peratus, menduduki tempat kedua dari segi nisbah global.

Kajian tersebut mengaitkan peralihan ini sebahagian besarnya dengan kadar kesuburan yang lebih tinggi di dunia Islam, dengan purata 3.1 anak bagi setiap wanita Islam, berbanding 2.5 anak bagi setiap wanita Kristian dalam tempoh 2020 hingga 2025.

Walaupun pertumbuhan populasi semula jadi – iaitu kelahiran melebihi kematian – kekal sebagai faktor terbesar dalam perubahan demografi Islam dan Kristian, namun peralihan agama juga memainkan peranan, kata Pew, sebuah badan pemikir bukan partisan yang berpangkalan di Washington.

Menurut Pew, berdasarkan aliran lalu, kedua-dua agama Islam dan Kristian akan kehilangan lebih ramai penganut akibat peralihan agama berbanding yang diperoleh, namun umat Islam dijangka kehilangan jauh lebih sedikit – lapan juta antara 2020 dengan 2070, berbanding 105 juta bagi penganut Kristian.

Populasi keseluruhan dunia diunjurkan meningkat 29 peratus antara 2020 dengan 2070, dengan Islam dan Kristian menjadi satu-satunya dua kelompok agama yang diramalkan mampu menyamai atau melepasi kadar pertumbuhan tersebut, iaitu masing-masing berkembang sebanyak 80 peratus dan 30 peratus.

Penganut Hindu semakin bertambah dari segi jumlah mutlak tetapi dijangka menyusut sedikit sebagai sebahagian daripada populasi dunia (13.6 peratus pada 2070), manakala penganut Yahudi diramalkan mengikuti corak yang serupa (0.17 peratus pada 2070). Sementara itu, penganut Buddha diramalkan menurun dari segi jumlah dan peratusan populasi global (2.5 peratus pada 2070). – Reuters.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti