WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, memberi amaran keras bahawa ‘malapetaka neraka’ akan tercetus jika semua tebusan yang ditawan di Jaluran Gaza tidak dibebaskan menjelang 15 Februari dan beliau akan membatalkan gencatan senjata antara Israel dengan Hamas.
Kenyataan Encik Trump itu dinyatakan menyusuli kenyataan Hamas yang mengancam untuk menangguhkan pertukaran tebusan, sekali gus meningkatkan risiko timbulnya masalah berhubung gencatan senjata yang dimeterai pada 19 Januari.
“Langkah ini sangat buruk,” ujar Encik Trump kepada wartawan di Pejabat Meja Bundar.
“Saya akan membiarkan Israel membuat keputusan mengenai apakah yang perlu dilakukan dengan gencatan senjata itu.”
Menurut Encik Trump, jika semua tebusan tidak dibebaskan menjelang 15 Februari, beliau tidak teragak-agak untuk membatalkan perjanjian tersebut.
“Kami mahu semua tebusan dibebaskan, bukan secara berperingkat – dua, tiga atau empat orang. Kami mahu semuanya kembali,” tegas Encik Trump.
“Ini pandangan saya sendiri, Israel boleh bertindak sebaliknya, tetapi bagi saya, jika mereka tidak kembali pada 12 tengah hari Sabtu (15 Februari), maka semuanya akan menjadi huru-hara, biarkan ‘malapetaka neraka’ berlaku.”
Encik Trump turut menyatakan bahawa beliau akan berbincang dengan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, mengenai garis masa yang telah dicadangkannya itu.
Bagaimanapun, Encik Trump tidak mengulas lanjut mengenai bentuk ancaman tersebut, hanya mengatakan bahawa “Hamas akan tahu apakah yang saya maksudkan”.
Apabila ditanya mengenai kemungkinan penglibatan tentera Amerika, Encik Trump menjawab dengan tegas, “Kita akan lihat apa yang berlaku.”
Encik Trump turut memberi amaran akan menghentikan bantuan kepada sekutunya, Jordan dan Mesir, sekiranya mereka enggan menerima pelarian Palestin di bawah pelan kontroversinya untuk “mengambil alih” Gaza.
Dalam satu temu bual dengan penyampai berita, Encik Bret Baier, dari Fox News, Encik Trump menegaskan bahawa Palestin tidak akan diberi hak untuk kembali ke Gaza di bawah pelan pengambilalihan Amerika.
“Tidak, mereka tidak akan kembali kerana mereka akan mendapat perumahan yang lebih baik,” katanya.
“Maksud saya, kami akan membina tempat tinggal kekal untuk mereka, kerana jika mereka terpaksa kembali sekarang, ia akan mengambil masa bertahun-tahun untuk membaik pulih tempat tersebut.”
Pada 10 Februari, Hamas mengumumkan mereka akan menghentikan pembebasan tebusan Israel sehingga pemberitahuan lanjut.
Keputusan itu dibuat setelah mendakwa Israel melanggar perjanjian gencatan senjata yang ditandatangani.
Sebagai tindak balas, keluarga tebusan dan penyokong mereka berhimpun di Dataran Tawan di Tel Aviv untuk menuntut agar pemerintah Israel tidak melupakan perjanjian tersebut.
“Setiap individu yang tidak sepatutnya berada di sana perlu pulang sekarang,” ujar Cik Shoshana Brickman, seorang penunjuk perasaan yang turut serta dalam demonstrasi tersebut.
“Semua tebusan harus dibebaskan, semuanya tanpa pengecualian.”
Walaupun terdapat kebimbangan terhadap pelanggaran gencatan senjata, beberapa pihak mendakwa aliran bantuan kemanusiaan ke Gaza telah meningkat sejak gencatan senjata dikuatkuasakan.
Israel turut menafikan tuduhan Hamas mereka menghalang bantuan kemanusiaan masuk.
Hamas juga mendakwa Israel menghalang kemasukan rumah sementara dan khemah, yang sangat diperlukan oleh mangsa yang kehilangan tempat tinggal di Gaza.
Hamas mendakwa bahawa Israel telah menangguhkan pengagihan 60,000 rumah sementara dan 200,000 khemah, selain menghalang kemasukan jentera berat yang diperlukan untuk membersihkan runtuhan serta bahan api untuk kegunaan kemanusiaan.
Menteri Pertahanan Israel, Encik Israel Katz, menyifatkan tindakan Hamas sebagai “pelanggaran sepenuhnya terhadap perjanjian gencatan senjata dan perjanjian pembebasan tebusan”.
Angkatan Pertahanan Israel (IDF) mengumumkan mereka “meningkatkan tahap kesiapsiagaan di selatan Israel dan menangguhkan cuti untuk askar tempur” serta akan memperkukuhkan kawasan itu bagi meningkatkan “kesiapsiagaan bagi menghadapi pelbagai kemungkinan.” – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg