BAITULMAKDIS: Satu laporan penyiasatan tentera Israel yang diterbitkan pada 27 Februari menyatakan bahawa tentera Israel telah membuat kesilapan besar dalam menilai keupayaan Hamas sebelum serangan ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.
Menurut laporan tersebut, tentera Israel “gagal dalam misinya untuk melindungi orang awam Israel” yang menyaksikan lebih 1,200 nyawa terkorban apabila pejuang Hamas menyerbu selatan Israel dan menawan lebih daripada 250 orang tebusan.
Laporan itu menyatakan bahawa kepercayaan yang mendalam bahawa Hamas tidak berminat untuk terlibat dalam konflik berskala besar dan bahawa Israel akan mendapat amaran yang mencukupi jika keadaan tersebut berubah, tidak pernah dipersoalkan selama bertahun-tahun.
Keadaan ini menyebabkan tentera Israel tidak bersiap untuk bertindak balas terhadap serangan yang berlaku secara mengejut.
Susulan laporan siasatan itu, Ketua Tentera Israel, Jeneral Herzi Halevi, mengakui dirinya bertanggungjawab terhadap serangan itu, malah sudah pun mengumumkan peletakan jawatannya bulan lalu dengan menyatakan ia disebabkan ‘kegagalan’ pada 7 Oktober.
Laporan itu menyatakan bahawa kepercayaan tersebut berlandaskan anggapan bahawa Hamas boleh dipengaruhi melalui tekanan, terutama dengan memperbaiki keadaan hidup di Gaza, yang diharapkan dapat mengurangkan keinginan mereka untuk berperang.
Penyiasatan ini merangkumi strategi tentera Israel, tingkah laku pertempuran, serta keupayaan risikan sebelum, semasa, dan selepas serangan 7 Oktober.
Berdasarkan catatan rasmi Israel, lebih 48,000 orang telah terkorban akibat serangan tentera Israel ke atas Gaza sejak itu, manakala hampir keseluruhan wilayah Gaza yang didiami oleh 2.3 juta orang telah hancur.
Kebanyakan penduduk Gaza terpaksa dipindahkan berulang kali akibat serangan tersebut.
Laporan tersebut turut menyatakan bahawa tentera Israel lebih memberi tumpuan kepada ancaman dari Hezbollah di Lebanon dan terlalu bergantung kepada perisikan, halangan, serta langkah-langkah pertahanan.
Akibatnya, mereka tidak berjaya mengesan ancaman yang lebih mendalam dan tidak menguatkan pasukan yang bertugas di sempadan.
“Penyiasatan ini jelas menunjukkan bahawa tentera Israel tidak melihat ancaman mendalam menjelang 7 Oktober dan tidak menambah kekuatan pasukan di sempadan,” kata seorang pegawai tentera yang terlibat dalam penyiasatan tersebut.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, berkata bahawa siasatan nasional hanya akan dilakukan selepas perang ini selesai.
“Setelah kita melalui tempoh konflik ini, siasatan nasional ini akan diambil kira,” kata Encik Netanyahu pada sidang media.
Laporan itu diterbitkan ketika gencatan senjata rapuh masih berlangsung. Fasa pertama gencatan senjata yang dijangka tamat 1 Mac, sebahagian besarnya menghentikan pertempuran yang bermula apabila pejuang Hamas merempuh penghalang keselamatan Gaza pada 7 Oktober 2023.
Perjanjian gencatan senjata yang sepatutnya sudah memasuki fasa kedua ini, bertujuan menamatkan perang secara kekal.
Syarat gencatan senjata masih belum dipersetujui, namun Mesir sebagai negara perantara menyatakan delegasi dari Israel, Qatar, dan Amerika Syarikat berada di Kahirah untuk rundingan ‘intensif’ mengenai fasa seterusnya dalam gencatan senjata.
Encik Netanyahu, menghantar perundingnya ke Kaherah semalam, selepas Hamas menyerahkan mayat empat tebusan sebagai pertukaran bagi ratusan tahanan Palestin di bawah perjanjian gencatan senjata.- Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg