BEIRUT/BAITULMAKDIS: Israel mengancam untuk kembali berperang di Lebanon jika gencatan senjatanya dengan Hezbollah runtuh, dan kali ini serangannya akan lebih luas dan menyasarkan Lebanon sendiri.
Ancaman itu dibuat ketika serang-menyerang meningkat sejak gencatan senjata dipersetujui awal sebelum ini.
Dalam ancaman paling keras sejak gencatan senjata bagi menamatkan perang 14 bulan dengan Hezbollah itu, Israel berkata ia akan menganggap Lebanon bertanggungjawab kerana gagal melucutkan senjata kumpulan militan yang melanggar gencatan senjata.
“Jika kami kembali berperang, kami akan bertindak tegas... kami akan pergi lebih dalam dan perkara paling penting yang mereka perlu tahu ialah tidak akan ada lagi pengecualian untuk negara Lebanon,” kata Menteri Pertahanan Israel, Encik Israel Katz, pada 3 Disember.
“Kalau sejak awal kami dapat memisahkan Lebanon daripada Hezbollah, keadaan tidak akan jadi seperti ini,” katanya semasa lawatan ke kawasan sempadan utara.
Di sebalik gencatan senjata yang dikuatkuasakan mulai 27 November, tentera Israel meneruskan serangan terhadap apa yang disifatkan sebagai kumpulan Hezbollah yang mengabaikan perjanjian untuk menghentikan serangan dan berundur di seberang Sungai Litani, kira-kira 30 kilometer dari sempadan.
Pada 2 Disember, Hezbollah membedil sebuah pos tentera Israel, manakala pihak berkuasa Lebanon berkata sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dalam serangan udara Israel di Lebanon. Seorang lagi terbunuh dalam serangan dron pada 3 Disember.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, berkata sebarang pelanggaran, sekecil mana pun terhadap gencatan senjata akan dihukum.
“Kami menguatkuasakan gencatan senjata ini dengan kuku besi,” katanya menjelang mesyuarat Kabinet di bandar sempadan utara Nahariya.
Pegawai tinggi Lebanon menggesa Washington dan Paris mendesak Israel supaya menyokong gencatan senjata selepas berpuluh-puluh operasi ketenteraan di bumi Lebanon yang dianggap sebagai pelanggaran oleh Beirut, kata dua sumber politik Lebanon.
Sumber itu berkata, Perdana Menteri sementara Lebanon, Encik Najib Mikati, dan Speaker Parlimen, Encik Nabih Berri, sekutu rapat Hezbollah yang merundingkan perjanjian itu bagi pihak Lebanon, telah mengadakan perbincangan dengan pegawai di Rumah Putih dan Presiden Perancis pada lewat 2 Disember. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg