Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel dan Hezbollah saling serang, langgar gencatan senjata Lebanon

Beirut dakwa rekodkan sekurang-kurangnya 54 pelanggaran gencatan senjata oleh Israel
Dec 3, 2024 | 2:04 PM
Gambar yang dirakam dron pada 2 Disember menunjukkan bangunan yang rosak di Manara, dekat sempadan Israel-Lebanon, selepas gencatan senjata dilaksana antara Israel dengan Hezbollah.
Gambar yang dirakam dron pada 2 Disember menunjukkan bangunan yang rosak di Manara, dekat sempadan Israel-Lebanon, selepas gencatan senjata dilaksana antara Israel dengan Hezbollah. - Foto REUTERS

BEIRUT: Sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh dan tiga cedera pada 2 Disember akibat serangan Israel ke atas dua bandar di selatan Lebanon – Talousa dan Haris.

Tentera Israel berkata serangan telah dilancarkan ke atas berpuluh-puluh sasaran Hezbollah di seluruh Lebanon.

Pihak berkuasa Lebanon melaporkan dua kematian tambahan akibat serangan Israel di bahagian lain di selatan Lebanon, menjadikan jumlah kematian kepada 11 orang.

Serangan terbaru Israel berlaku sejurus Hezbollah menuduh Israel melanggar perjanjian gencatan senjata dan melepaskan peluru berpandu ke arah kedudukan tentera Israel di kawasan Ladang Shebaa sebagai “serangan amaran pertahanan”.

Pertukaran tembakan meletakkan gencatan senjata antara kedua-dua pihak dalam kedudukan yang semakin rapuh dalam tempoh kurang seminggu selepas ia berkuat kuasa.

Tentera Israel melaporkan tiada kemalangan jiwa daripada dua pelancaran peluru berpandu Hezbollah tetapi Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, berikrar akan memberikan tindak balas yang “kuat”.

Hezbollah berkata tembakan roketnya, operasi pertama oleh kumpulan itu sejak gencatan senjata berkuat kuasa mulai 27 November, adalah sebagai tindakan balas terhadap pelanggaran Israel yang berulang-ulang terhadap gencatan senjata.

Speaker Parlimen Lebanon, Encik Nabih Berri, berkata Beirut telah merekodkan sekurang-kurangnya 54 pelanggaran gencatan senjata oleh Israel sejak gencatan senjata dikuatkuasakan.

Encik Berri menggesa jawatankuasa yang ditugaskan memantau gencatan senjata supaya “segera” memastikan Israel menghentikan pelanggarannya.

Timbalan Ketua Majlis Politik Hezbollah, Encik Mahmoud Qomati, menyelar pencabulan gencatan senjata Israel dan menyeru negara yang menyelia perjanjian itu supaya menggesa Israel menghentikan pelanggarannya.

“Hezbollah tidak mahu peluasan dan kembali berperang. Hezbollah telah menghormati perjanjian itu, dan negara-negara yang menyelia perjanjian itu perlu memikul tanggungjawab ke atas pelanggaran ini,” kata Encik Qomati dalam temu bual dengan saluran televisyen Lebanon, Al-Jadeed.

Agensi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata pada 2 Disember bahawa gencatan senjata membolehkan rakan sekerja dan rakan kongsi mereka membantu individu yang kehilangan tempat tinggal pulang ke rumah di Lebanon.

Menurut Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi, hampir 580,000 orang mula kembali ke komuniti mereka dalam 24 jam pertama selepas gencatan senjata.

Agensi pelarian PBB di Syria berkata, lebih 28,000 orang telah menyeberang dari Syria ke Lebanon sejak 27 November.

Lebih 560,000 orang telah menyeberang ke Syria dari Lebanon sejak akhir September.

Pejabat Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (Ocha) berkata mereka yang pulang ke rumah berdepan masalah prasarana rosak, perkhidmatan terhad, kebimbangan keselamatan dan ancaman senjata yang tidak meletup.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan bahawa pihaknya mengutamakan pembaikan 14 hospital dan menangani risiko wabak penyakit di Lebanon.

Sementara itu, delegasi daripada Pergerakan Pembebasan Kebangsaan Palestin (Fatah) dan Hamas mengadakan pusingan baru rundingan di Kahirah pada 2 Disember untuk membincangkan pengurusan masa depan Jaluran Gaza yang dilanda perang, lapor agensi berita Xinhua.

Rundingan itu, yang diadakan di bawah tajaan Mesir, berjalan lancar di tengah-tengah suasana yang positif, kata pegawai itu. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg