Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PBB bakal undi genjatan senjata di Gaza pada 20 Feb

Feb 18, 2024 | 5:17 PM
Wanita Palestin berjalan di sebelah rumah yang musnah berikutan operasi tentera Israel di kem pelarian Al Maghazi, selatan Semenanjung Gaza, pada 17 Februari.
Wanita Palestin berjalan di sebelah rumah yang musnah berikutan operasi tentera Israel di kem pelarian Al Maghazi, selatan Semenanjung Gaza, pada 17 Februari. - Foto EPA-EFE

WASHINGTON: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkemungkinan akan mengundi pada 20 Februari berikutan desakan Algeria agar badan 15 anggota itu menuntut gencatan senjata kemanusiaan segera dalam perang Israel-Hamas, kata diplomat.

Amerika Syarikat telah memberi isyarat akan memveto. Algeria mengemukakan draf resolusi awal lebih dua minggu lalu.

Namun Duta Besar Amerika ke PBB Cik Linda Thomas-Greenfield dengan cepat berkata langkah itu boleh menjejas “rundingan sensitif” yang bertujuan untuk mencapai jeda dalam perang.

Algeria, pada 17 Februari meminta agar majlis mengundi pada 20 Februari, kata diplomat.

Untuk diterima pakai, ketetapan Majlis Keselamatan PBB memerlukan sekurang-kurangnya sembilan undi menyokong dan tiada veto oleh Amerika, Britain, Perancis, China atau Russia.

“Amerika Syarikat tidak menyokong tindakan ke atas draf resolusi ini. Sekiranya ia dibawa untuk undian seperti yang dirangka, ia tidak akan diterima pakai,” kata Cik Thomas-Greenfield dalam satu kenyataan pada 17 Februari.

Washington lazimnya melindungi Israel, sekutunya, daripada tindakan PBB, dan sudah dua kali memveto tindakan badan itu sejak 7 Oktober.

Amerika telah berkecuali sebanyak dua kali, membolehkan PBB menerima pakai resolusi yang bertujuan meningkatkan bantuan kemanusiaan ke Gaza dan menyeru agar jeda kemanusiaan berlaku dengan segera.

Amerika, Mesir, Israel dan Qatar sedang berunding mahu mencari jeda dalam perang dan membebaskan tebusan yang ditahan oleh Hamas.

“Adalah penting bagi pihak lain memberikan proses ini peluang terbaik untuk berjaya, bukannya menolak langkah yang meletakkannya – dan peluang bagi penyelesaian permusuhan yang berkekalan – dalam bahaya,” kata Cik Thomas-Greenfield.

Perang Gaza bermula apabila anggota kumpulan militan Hamas yang menguruskan Gaza menyerang Israel pada 7 Oktober, membunuh 1,200 orang dan menangkap 253 tebusan, menurut Israel.

Sebagai tindakan balas, Israel melancarkan serangan tentera ke atas Gaza, yang menurut pihak berkuasa kesihatan telah membunuh lebih 28,000 rakyat Palestin, dengan ribuan lagi mayat dikhuatiri hilang di tengah-tengah runtuhan.

Kemungkinan majlis mengundi berlaku apabila Israel sedang merancang menyerbu Rafah di selatan Gaza, yang didiami sejuta rakyat Palestin yang sedang mencari tempat perlindungan.

Ia mencetuskan kebimbangan antarabangsa bahawa langkah sedemikian akan memburukkan lagi krisis kemanusiaan di Gaza.

“Situasi di Gaza adalah isyarat mengerikan mengenai kebuntuan dalam hubungan global,” kata Setiausaha Agung PBB Encik Antonio Guterres kepada Persidangan Keselamatan Munich pada 16 Februari.

Ketika diminta penjelasan, jurucakap PBB Cik Stephane Dujarric berkata Encik Guterres “menuding jari” mengenai kekurangan perpaduan dalam Majlis Keselamatan “dan bagaimana kekurangan perpaduan itu telah menghalang keupayaan kami... demi memperbaiki keadaan di seluruh dunia”. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg