Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

25 negara barat, negara Teluk desak Israel hentikan segera perang Gaza

Jul 22, 2025 | 10:28 AM
Asap dan api menjulang dari sebuah bangunan kediaman yang terkena serangan Israel di Bandar Gaza pada 21 Julai 2025.
Asap dan api menjulang dari sebuah bangunan kediaman yang terkena serangan Israel di Bandar Gaza pada 21 Julai 2025. - Foto REUTERS

GAZA: Sebanyak 25 negara Barat termasuk Britain, Perancis, Canada, Australia dan New Zealand menggesa Israel menghentikan segera perang di Gaza dan mengutuk apa yang mereka sifatkan sebagai “pembunuhan tidak berperikemanusiaan” terhadap rakyat Palestin, terutamanya di lokasi agihan bantuan makanan.

Dalam kenyataan bersama pada 21 Julai, negara-negara terbabit menyatakan kemarahan terhadap model pengagihan bantuan Israel yang didakwa “berbahaya, menambah ketidakstabilan dan menafikan maruah kemanusiaan rakyat Gaza.”

Mereka turut mengkritik penggunaan model agihan oleh Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) yang didokong oleh Amerika Syarikat dan Israel tetapi dikatakan mengenepikan sistem yang diterajui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Kematian lebih 800 orang awam ketika cuba mendapatkan bantuan makanan adalah sesuatu yang mengerikan,” kata kenyataan bersama menteri luar negara-negara berkenaan. “Penderitaan penduduk awam di Gaza kini berada pada tahap yang paling parah.”

Empat daripada lima negara dalam pakatan risikan Five Eyes kecuali Amerika Syarikat turut menandatangani kenyataan tersebut, menjadikan gesaan ini luar biasa kerana ia datang daripada sekutu rapat Israel sendiri.

Mereka menuntut agar Israel segera menghentikan sekatan terhadap bantuan kemanusiaan dan mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

“Kami bersedia mengambil tindakan lanjut untuk menyokong gencatan senjata serta laluan politik ke arah keselamatan dan keamanan yang berkekalan bagi rakyat Israel dan Palestin,” tambah kenyataan itu.

Majlis Kerjasama Teluk (GCC) turut menyuarakan kecaman keras terhadap sekatan yang berterusan oleh Israel ke atas Jaluran Gaza, yang disifatkan sebagai “tidak adil, tidak berperikemanusiaan dan menyalahi undang-undang.”

“Sekatan ini telah menyebabkan malapetaka kemanusiaan yang semakin meruncing, termasuk kelaparan yang semakin meluas serta kehabisan bekalan makanan dan perubatan,” tegas Setiausaha Agung GCC, Encik Jasem Mohamed Albudaiwi dalam satu kenyataan yang dilaporkan Agensi Berita Qatar (QNA).

Beliau menambah bahawa sekatan ini jelas melanggar Konvensyen Geneva dan prinsip hak asasi manusia sejagat.

“Ini adalah satu jenayah perang yang menyeluruh dan menuntut akauntabiliti segera daripada masyarakat antarabangsa.”

Encik Albudaiwi menggesa negara-negara dan institusi antarabangsa agar bertindak segera untuk menghentikan sekatan zalim ini, membuka lintasan sempadan tanpa penangguhan dan menyelamatkan nyawa orang awam daripada terus menjadi mangsa.

“GCC juga meletakkan tanggungjawab sepenuhnya ke atas pihak berkuasa penjajah Israel atas tragedi kemanusiaan yang berlarutan, termasuk dasar kebuluran kolektif ke atas saudara-saudara kami di Gaza,” katanya lagi.

Beliau turut menegaskan pendirian tegas negara-negara anggota GCC dalam menyokong hak sah rakyat Palestin untuk hidup bermaruah, bebas, menentukan nasib sendiri dan mencapai keamanan yang adil serta berkekalan selaras dengan resolusi antarabangsa dan Inisiatif Keamanan Arab.

Bagaimanapun, Kementerian Luar Israel membidas kenyataan tersebut sebagai “terputus dari realiti” dan mendakwa ia menghantar mesej yang salah kepada Hamas.

Menteri Luar Israel, Encik Gideon Saar, turut menyatakan bahawa beliau telah berbincang dengan rakan sejawatannya dari Britain, Encik David Lammy, mengenai isu Gaza dan menegaskan bahawa “Hamas bertanggungjawab atas penderitaan penduduk dan kesinambungan perang.”

Duta Amerika Syarikat ke Israel, Mike Huckabee, pula menyifatkan kenyataan bersama itu sebagai “menjijikkan” dan menyalahkan Israel secara “tidak rasional” kerana menurutnya, Hamas menolak setiap cadangan damai.

Ketika gesaan antarabangsa itu dikeluarkan, tentera Israel dilaporkan melancarkan serangan baru ke daerah selatan dan timur bandar Deir al-Balah di Gaza. Ini menandakan peluasan operasi ketenteraan yang telah berlangsung selama lebih 21 bulan sejak serangan 7 Oktober 2023.

Menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza, lebih 59,000 rakyat Palestin telah terkorban akibat kempen ketenteraan Israel setakat ini.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan Britain turut mengumumkan pakej bantuan kemanusiaan bernilai 60 juta paun ($103.66 juta) untuk Gaza. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg