BOGOTA (Colombia): Delegasi menteri dari lebih 30 negara berhimpun di ibu negara Colombia bagi menghadiri sidang kecemasan selama dua hari pada 15 dan 16 Julai bagi memberi tumpuan kepada langkah konkrit menghentikan genosid Israel yang disokong Amerika Syarikat di Gaza dan jenayah lain terhadap Palestin.
Sidang anjuran bersama Colombia dan Afrika Selatan itu dinamakan Sidang Kumpulan Hague dan turut disertai negara seperti Qatar, Turkey, Malaysia, Algeria, Indonesia dan Ireland.
Ia bertujuan memperkukuh tekanan diplomatik dan undang-undang terhadap Israel.
Colombia sebelum ini memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel, manakala Afrika Selatan memfailkan kes genosid terhadap Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang kini disokong lebih 20 negara.
“Ini bukan sekadar isu Palestin,” tegas Timbalan Menteri Luar Negeri Colombia, Encik Mauricio Jaramillo.
“Ini soal mempertahankan undang-undang antarabangsa dan hak menentukan nasib sendiri,” tambah beliau.
Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi wilayah Palestin yang diduduki, Cik Francesca Albanese, menyeru semua negara memutuskan hubungan dengan Israel dan mendesak sektor swasta mereka agar berbuat demikian.
“Ekonomi Israel direka untuk mengekalkan pendudukan yang kini telah berubah menjadi genosid,” kata Cik Albanese.
“Setiap negara mesti segera menyemak dan menggantung semua hubungan dengan Israel dan memastikan sektor swasta mereka tidak bersubahat,” tambah beliau.
Menurut Cik Albanese, lebih 58,000 nyawa telah terkorban sejak serangan Israel ke atas Gaza yang bermula pada Oktober 2023, manakala lebih 211,000 lagi dilaporkan terkorban, cedera atau hilang.
Sekatan menyeluruh Israel ke atas Gaza telah menyebabkan 2.3 juta penduduk berada di ambang kebuluran.
Sidang kecemasan di Bogota itu turut membincangkan pelaksanaan waran tangkap Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan mantan Menteri Pertahanannya, Encik Yoav Gallant, atas tuduhan jenayah terhadap kemanusiaan termasuk pembunuhan dan kebuluran paksa.
Menteri Luar Afrika Selatan, Encik Ronald Lamola, menyatakan: “Tiada negara yang kebal daripada undang-undang, dan tiada jenayah yang boleh dibiarkan tanpa hukuman.”
Cik Albanese pula menyifatkan sidang itu sebagai “perkembangan politik paling penting dalam tempoh 20 bulan terakhir”.
“Sudah terlalu lama undang-undang antarabangsa dianggap pilihan, hanya dikenakan kepada yang lemah dan diabaikan oleh yang kuat. Era itu mesti berakhir,” katanya.
Jurucakap Jabatan Negara Amerika menyelar sidang tersebut sebagai usaha “blok fahaman pelbagai hala” yang didakwa memanipulasi undang-undang antarabangsa untuk agenda anti-Barat.
“Pentadbiran Trump akan mempertahankan kepentingan kami, tentera kami dan sekutu kami, termasuk Israel, daripada perang undang-undang dan diplomatik yang diselaraskan ini,” katanya kepada Jewish News Syndicate.
Israel pula membalas dengan menegaskan bahawa perang bermula akibat pembunuhan 1,200 orang pada 7 Oktober oleh Hamas, dan 50 rakyat Israel masih menjadi tebusan.
“Cubaan memberi tekanan kepada Israel bukan kepada Hamas yang memulakan dan meneruskan konflik – adalah kekejian moral,” kata Misi Israel ke PBB.
Presiden Colombia, Encik Gustavo Petro, dalam tulisannya di The Guardian, memberi amaran bahawa kegagalan untuk bertindak akan membawa kehancuran sistem undang-undang antarabangsa.
“Jika kita gagal bertindak sekarang, kita bukan sahaja mengkhianati rakyat Palestin, malah bersubahat dengan kekejaman yang dilakukan oleh pemerintahan Netanyahu,” tegas beliau.
Cik Albanese mengakhiri ucapannya dengan seruan:
“Dunia akan mengingati apa yang kita lakukan saat ini sama ada kita tunduk dalam ketakutan atau bangkit mempertahankan maruah manusia.
“Cukuplah. Sudah tiba masanya untuk bertindak demi keadilan dan keamanan yang berlandaskan hak dan kebebasan untuk semua, bukan keistimewaan untuk segelintir, dengan mengorbankan yang lain.” – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg