AMMAN/BEIRUT: Tentera Israel telah membersihkan periuk api dan mewujudkan halangan baru di sempadan antara Bukit Golan, yang diduduki Israel, dengan zon bebas tentera (DMZ) bersempadan dengan Syria.
Sumber keselamatan dan penganalisis berkata tindakan itu merupakan tanda Israel mungkin memperluaskan operasi daratnya terhadap Hezbollah sambil memperkuat pertahanannya sendiri.
Tindakan itu, lapor Reuters, mencadangkan Israel mungkin menyerang Hezbollah buat kali pertama dari jauh ke timur di sepanjang sempadan Lebanon.
Pada masa yang sama, Israel cuba mewujudkan kawasan selamat yang membolehkannya secara bebas meninjau kumpulan bersenjata dan menghalang penyusupan, kata sumber.
Meskipun kegiatan membersihkan periuk api dilaporkan, sumber Reuters mendedahkan bahawa Israel sedang menggerakkan pagar yang memisahkan DMZ ke arah Syria dan menggali lebih banyak kubu di kawasan itu.
Tindakan ketenteraan melibatkan serbuan dari Bukit Golan dan mungkin dari DMZ, yang memisahkannya dari wilayah Syria, boleh meluaskan konflik antara Israel dengan Hezbollah dan sekutunya, Hamas, yang telah menarik pelibatan Iran dan berisiko mengheret Amerika Syarikat.
Israel berbalas bedilan dengan Hezbollah sejak kumpulan itu mula melancarkan peluru berpandu merentasi sempadan Lebanon bagi menyokong Hamas.
Ia menyusuli serangan mautnya ke atas selatan Israel pada Oktober 2023 sekali gus mencetuskan perang Gaza.
Kini, selain tekanan serangan udara Israel, Hezbollah turut diserang dari darat dan menghadapi serangan tentera laut Israel dari Mediterranean ke barat.
Dengan bergerak ke timur, Israel boleh memperkuat cengkamannya terhadap laluan bekalan senjata Hezbollah, sebahagian daripadanya merentasi Syria.
Encik Navvar Saban, seorang penganalisis konflik di Pusat Harmoon yang berpangkalan di Istanbul, berkata operasi Israel di Bukit Golan, yang menghadap ke Lebanon dan bersempadan dengan Jordan, nampaknya sebagai percubaan untuk “menyediakan asas” untuk serangan yang lebih luas di Lebanon.
“Semua yang berlaku di Syria adalah untuk Israel melaksanakan strategi di Lebanon seperti menyekat bekalan, memusnahkan gudang dan mereka yang dikaitkan dengan talian bekalan ke Hezbollah,” kata Encik Saban.
Pada masa sama, tentera Israel berkata sekitar 50 pelbagai jenis peluru berpandu ditembak dari Lebanon ke arah utara negara itu pada awal pagi 15 Oktober, tanpa sebarang laporan kecederaan.
“Sebahagian daripada peluru berpandu itu berjaya dipintas, dan serpihan peluru yang jatuh di kawasan tersebut dikenal pasti ditembak dari Lebanon,” katanya.
Hezbollah turut menyatakan mereka melancarkan serangan besar-besaran peluru berpandu ke arah bandar Safed.
Kumpulan yang disokong Iran itu berkata ia melancarkan roket bertubi-tubi ke arah bandar Haifa di utara Israel dan menyasarkan jentolak Israel serta kereta kebal berhampiran sempadan.
Tentera Israel mengebom beberapa kawasan di selatan dan timur Lebanon pada 15 Oktober, termasuk di Lembah Bekaa, tempat sebuah hospital di bandar Baalbek tidak lagi beroperasi, lapor agensi Berita Nasional Lebanon.
Israel juga berkata ia berjaya menawan tiga anggota Hezbollah di selatan Lebanon. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg