Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel gempur utara Lebanon, PBB bimbang pengaman terancam

Pasukan pengaman PBB tidak berganjak, kekal di Lebanon walau diserang
Oct 15, 2024 | 1:50 PM
Anggota tentera Lebanon memeriksa kerosakan akibat serangan udara Israel ke atas Aitou, kawasan yang majoriti penduduknya beragama Kristian di utara Lebanon, pada 14 Oktober.
Anggota tentera Lebanon memeriksa kerosakan akibat serangan udara Israel ke atas Aitou, kawasan yang majoriti penduduknya beragama Kristian di utara Lebanon, pada 14 Oktober. - Foto REUTERS

BAITULMAKDIS/BEIRUT: Israel meluaskan sasarannya dalam perang menentang Hezbollah di Lebanon pada 14 Oktober, membunuh sekurang-kurangnya 21 orang dalam serangan udaranya di utara, kata pegawai kesihatan.

Di Israel, berjuta-juta rakyat negara itu terpaksa mencari perlindungan daripada roket yang diluncurkan merentasi sempadannya.

Setakat ini, tumpuan utama operasi ketenteraan Israel di Lebanon adalah di Lembah Bekaa di timur, pinggir bandar Beirut, dan di selatan, kawasan yang melibatkan kejadian antara tentera Israel dengan pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah mencetuskan ketegangan.

Majlis Keselamatan PBB pada 14 Oktober menzahirkan kebimbangan teramat sangat selepas beberapa kemudahan pasukan pengaman di selatan Lebanon diserang di tengah-tengah pertempuran antara tentera Israel dengan Hezbollah.

Serangan di bandar Aitou, majoriti penduduk Kristian, melanda sebuah bangunan yang telah disewakan kepada keluarga yang kehilangan tempat tinggal, kata datuk bandar, Encik Joseph Trad.

Selain menyebabkan kematian, lapan orang cedera, kata Kementerian Kesihatan Lebanon.

Israel turut mengarahkan penduduk di 25 kampung di selatan Lebanon supaya berpindah ke kawasan utara Sungai Awali, yang mengalir kira-kira 60 kilometer ke utara sempadan Israel.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, telah melawat markas tentera di tengah Israel – tempat empat askar terbunuh pada 13 Oktober akibat serangan dron Hezbollah.

Beliau berkata Israel akan terus menyerang kumpulan yang disokong Iran “tanpa belas kasihan di mana-mana di Lebanon termasuk Beirut”.

Di tengah Israel, penduduk bergegas ke pusat perlindungan apabila siren berbunyi ketika tiga peluru berpandu yang menyeberang dari Lebanon dipintas. Tiada kecederaan dilaporkan.

Tentera Israel berkata Hezbollah telah meluncurkan 115 roket ke Israel pada 14 Oktober.

Konflik antara Israel dengan Hezbollah bermula setahun lalu apabila Hezbollah melepaskan tembakan roket ke Israel bagi menyokong Hamas pada permulaan perang Gaza.

Ketegangan semakin memuncak dalam beberapa minggu kebelakangan ini, dengan Israel berkata operasinya bertujuan memastikan puluhan ribu rakyatnya dapat pulang ke rumah masing-masing di utara Israel.

Ketika Israel menggempur selatan Lebanon untuk menghapuskan Hezbollah dan prasarana ketenteraannya, ketegangan telah meningkat antara Israel dengan Pasukan Pendamai PBB di Lebanon (Unifil).

PBB berkata kereta kebal Israel telah menceroboh masuk ke pangkalannya pada 13 Oktober.

Encik Netanyahu telah menolak tuduhan bahawa tentera Israel telah sengaja mencederakan anggota Unifil dan mengulangi gesaan supaya mereka berundur dari zon pertempuran berhampiran sempadan dengan Israel.

Beliau berkata Hezbollah menggunakan kedudukan Unifil sebagai perlindungan untuk melancarkan serangan terhadap Israel, termasuk serangan dron pada 14 Oktober yang telah mengorbankan empat askarnya.

“Israel mempunyai hak mempertahankan diri terhadap Hezbollah,” kata Encik Netanyahu dalam satu kenyataan.

Jurucakap Unifil, dalam video yang disiarkan di X pada 14 Oktober, berkata: “Kami akan kekal... kami berada di selatan Lebanon di bawah mandat Majlis Keselamatan.”

Ketua Pasukan Pengaman PBB, Encik Jean-Pierre Lacroix, berkata pihaknya memutuskan bahawa Unifil akan kekal di semua kedudukan meskipun seruan dibuat oleh Pasukan Pertahanan Israel (IDF) agar mengosongkan kedudukan berhampiran ‘Garisan Biru’.

Lima anggota pengaman cedera dalam beberapa kes sejak 10 Oktober, terbaru pasukan PBB menuduh kereta kebal tentera Israel memecahkan pintu gerbang dan memasuki salah satu kedudukan mereka. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg