Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Netanyahu ikrar hancurkan Hezbollah tanpa belas selepas serangan dron maut

Oct 15, 2024 | 1:33 PM
Askar Israeli menjalankan rondaan di sekitar kawasan Binyamina yang menjadi sasaran serangan dron Hezbollah pada 13 Oktober.
Askar Israeli menjalankan rondaan di sekitar kawasan Binyamina yang menjadi sasaran serangan dron Hezbollah pada 13 Oktober. - Foto REUTERS

BAITULMAKDIS/BEIRUT: Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, pada 14 Oktober berikrar menyerang Hezbollah tanpa belas kasihan, sehari selepas serangan paling dahsyat kumpulan yang disokong Iran itu ke atas Israel sejak permulaan perang pada akhir September.

Serangan dron Hezbollah ke atas markas tentera Israel membunuh empat askar pada 13 Oktober, manakala penyelamat sukarelawan berkata 60 orang yang lain cedera.

“Kami akan terus tanpa belas kasihan menyerang Hezbollah di semua kawasan Lebanon termasuk Beirut,” kata Encik Netanyahu ketika melawat pangkalan berhampiran Binyamina, selatan Haifa.

Hezbollah berkata ia melancarkan serangan dron sebagai tindak balas kepada serangan Israel di tengah Beirut yang membunuh 22 orang.

Sejak Israel meningkatkan pengebomannya di Lebanon sebelum mengerahkan tentera daratnya merentasi sempadan pada September, perang itu telah mengorbankan sekurang-kurangnya 1,315 orang di Lebanon.

Sebelum komen Encik Netanyahu itu, serangan udara telah berlaku terhadap sasaran di sekitar Lebanon, termasuk di perkampungan majoriti penganut Kristian di utara yang membunuh sekurang-kurangnya 21 orang pada 14 Oktober, menurut kementerian kesihatan.

Tiada komen segera daripada tentera Israel dan tidak jelas apakah sasarannya.

Serangan itu melanda sebuah bangunan kediaman kecil di kampung Aito, jauh daripada pengaruh Hezbollah di selatan dan timur Lebanon.

Hezbollah berkata pada 14 Oktober bahawa ia telah melancarkan roket ke arah pangkalan tentera laut berhampiran Haifa pada tengah hari sebelum serangan roket lebih besar ke atas bandar Safed, utara Israel, pada petangnya.

Anggotanya juga “terlibat dalam pertempuran sengit” di perkampungan sempadan Lebanon, Aita al-Shaab dan juga di tempat lain, kata Hezbollah lagi.

Hezbollah selanjutnya berkata serangannya adalah untuk menyokong anggota Hamas yang menyerang Israel pada 7 Oktober 2023, mencetuskan perang Gaza.

Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi berkata bahawa sekitar 690,000 orang kehilangan tempat tinggal akibat perang di Lebanon.

Pengarah serantau Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa, Encik Nicolas Von Arx, merayu supaya ambulans, kemudahan kesihatan dan kakitangannya, dilindungi dan menyebut serangan ke atas mereka “sangat membimbangkan”. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg