BAITULMAKDIS: Berpuluh-puluh wanita dan remaja Palestin yang ditahan Israel sejak berbulan-bulan hingga beberapa tahun akan dapat menikmati kebebasan di bawah perjanjian pada Rabu yang bakal menyaksikan 50 tebusan Israel yang ditahan di Gaza dibebaskan oleh kumpulan Hamas.
Pertemuan semula antara mereka dengan keluarga Palestin untuk menyambut kepulangan ke rumah di Tebing Barat dan Baitulmakdis seawal Khamis.
Ditangkap atas kesalahan seperti cubaan menikam, membaling batu ke arah askar Israel atau mempunyai hubungan dengan organisasi musuh, mereka ditahan di bawah tahanan pentadbiran tanpa dibicarakan.
Berbeza dengan pertukaran tahanan sebelum ini, terutamanya perjanjian melibatkan seorang askar Israel Gilad Shalit yang dibebaskan oleh Hamas pada 2011, tiada seorang pun tahanan yang disabitkan dengan kesalahan membunuh orang Israel.
Dalam perjanjian pada 2011 itu, Israel membebaskan lebih daripada 1,000 banduan dengan beberapa orang disabitkan kesalahan membunuh. Ini termasuk Encik Yahya Sinwar, pemimpin Hamas di Jaluran Gaza yang juga dikatakan Israel sebagai salah seorang yang bertanggungjawab dalam serangan Hamas pada 7 Oktober di selatan Israel yang mengorbankan lebih 1,200 orang.
Perjanjian pada Rabu yang diuruskan oleh Qatar, adalah tanda konkrit pertama bagi sebarang penghentian pertempuran yang bermula dengan serangan Hamas pada 7 Oktober yang turut menawan sekitar 240 warga Israel dan warga asing sebagai tebusan.
Israel telah bersetuju dengan gencatan senjata selama empat hari, kemasukan bantuan ke Gaza dan pembebasan 150 tahanan Palestin sebagai balasan kepada tebusan Israel, kesemua kanak-kanak atau wanita.
Lagi 150 tahanan Palestin boleh dibebaskan sebagai ganti seramai 50 tebusan Israel dalam beberapa hari akan datang, kata seorang pegawai Palestin.
“Pembebasan beberapa tawanan kami semasa perang adalah perkara yang sangat penting,” kata Encik Qadura Fares, ketua Suruhanjaya Penguasa Palestin untuk Hal Ehwal Tahanan.
Penguasa Palestin kehilangan kawalan ke atas Gaza semasa perebutan kuasa 2007 dengan Hamas tetapi ia menganggap kawasan yang dikepung itu sebagai sebahagian daripada negara masa depan Palestin masa yang merangkumi Tebing Barat dengan Baitulmakdis Timur sebagai ibu kotanya.
Masih tidak jelas siapa yang akan dibebaskan. Israel telah mengeluarkan senarai 300 nama, untuk menampung potensi bantahan terhadap individu tertentu serta kemungkinan pertukaran itu boleh berkembang melebihi skala asalnya.
Bagi Encik Fares, kepentingan utama perjanjian itu adalah langkah untuk menamatkan permusuhan yang lebih meluas. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg